Betina (Jawi: بتينا) ialah jantina sesuatu ataupun sebahagian organisma yang menghasilkan ovum (sel telur) yakni gamet yang lebih besar dalam sistem pembiakan heterogami, sedangkan gamet yang lebih kecil dan yang biasanya bergerak ialah sperma yang dihasilkan oleh jantan yang berlawanan. Betina tidak boleh membiak secara seks tanpa gamet jantan. Sesetengah organisma boleh membiak, baik secara seks ataupun secara aseks.

Gambaran Cermin dewi Romawi Venus sering dipergunakan untuk melambangkan jantina betina dan perempuan.

Tidak terdapatnya satu mekanisme genetik yang tunggal di belakang perbezaan-perbezaan antara jantina. Kewujudannya dua jantina mungkin merupakan hasil perkembangan berbilang yang berasingan dalam keturunan-keturunan evolusi yang berbeza-beza. Selain daripada perbezaan utama dari segi jenis gamet yang dihasilkan, perbezaan antara jantan dan betina dalam sesuatu keturunan sentiasanya tidak dapat diramalkan daripada perbezaan-perbezaan dalam keturunan yang lain.

Konsep dimorfisme jantan/betina antara individu ataupun organ pembiakan tidak dihadkan kepada haiwan sahaja; sel telur juga dihasilkan oleh kitrid, diatom, dan tumbuhan darat, antara lain. Dalam tumbuhan darat, istilah "betina" dan "jantan" merujuk bukan sahaja kepada organisma dan struktur yang menghasilkan telur dan sperma, tetapi juga struktur sporofit yang menghasilkan tumbuhan jantan dan betina.

Peristilahan

sunting

Istilah "betina" turunan dari akar Austronesia *ina bermaksud "ibu".[1]

Penggunaan perkataan "betina" dalam bahasa Melayu adalah khusus untuk haiwan dan boleh dianggap menghina untuk manusia yang lebih dirujuk jantinanya sebagai perempuan.

Penentuan jantina

sunting

Jantina bagi sesuatu organisma dapat ditentukan melalui berbagai-bagai faktor genetik atau persekitaran. Walaupun kebanyakan spesies mempunyai kedua-dua jantina, terdapatnya juga haiwan hermafrodit yang mempunyai kedua-dua organ pembiakan jantan serta betina.

Penentuan genetik

sunting

Kebanyakan mamalia, termasuknya manusia, boleh ditentukan melalui sistem penentuan jantina XY yang mentakrifkan kromosom seks XY untuk jantan dan XX untuk betina. Sewaktu pembiakan, jantan boleh menyampaikan sperma X ataupun sperma Y, sedangkan betina hanya dapat menyampaikan telur X. Sperma Y dan telur X akan menghasilkan jantan, sedangkan sperma X dan telur Y akan menghasilkan betina.

Dalam sistem penentuan jantina WZ, jantan yang mempunyai kromosom seks ZZ (berbanding betina yang mempunyai WZ) boleh didapati di burung serta di sesetengah serangga dan organisma yang lain. Ahli-ahli himenoptera, seperti semut dan lebah, merupakan spesies haplodiploid. Dalam spesies ini, kebanyakan daripada jantannya adalah haploid, sedangkan betina dan sesetengah jantan yang mandul adalah diploid.

Penentuan persekitaran

sunting

Dalam sesetengah spesies reptilia, termasuknya aligator, jantina ditentukan oleh suhu telurnya yang dieram. Spesies yang lain, umpamanya sesetengah siput, mengamalkan pertukaran jantina: dewasanya bermula sebagai jantan, dan kemudiannya menjadi betina. Untuk clown fish, sejenis ikan tropika, ikan yang dominan di dalam sesuatu kumpulan akan menjadi betina, sedangkan yang lain kekal menjadi jantan.

Bagi beberapa artropod, jantina ditentukan melalui jangkitan. Bakteria daripada genus Wolbachia dapat menggantikan jantina mereka; beberapa spesies artropod terdiri daripada jantan pada keseluruhannya, dengan wujudnya betina ditentukan oleh kehadiran Wolbachia.

Mamalia betina

sunting

Mamalia betina disifatkan oleh kepunyaan dua salinan kromosom X berbanding jantan yang mempunyai satu kromosom X dan satu kromosom Y yang lebih kecil. Untuk memperseimbangkan perbezaan saiz, salah satu daripada kromosom X betina tidak diaktifkan secara rawak di dalam setiap sel. Keadaan yang sebaliknya terjadi dalam burung, iaitu burung betina merupakan heterozigot yang mempunyai kromosom Z dan W, sedangkan burung jantan mempunyai dua kromosom Z.

Perempuan

sunting

Bagi manusia, terdapatnya banyak komponen (selain daripada genetik) yang menentukan jantina biologi dan identiti jantina.

Lambang

sunting

Lambang jantina yang lazim dipergunakan untuk menggambarkan jantina betina ialah ♀ (Unikod: U+2640) — sebuah bulatan dengan palang yang kecil di bawah. Lambang ini juga menggambarkan planet Zuhrah dan merupakan perwakilan cermin tangan Venus.

Lihat juga

sunting

Rujukan

sunting
  1. ^ Blust, Robert; Trussel, Stephen (2010). "*ina: mother, mother's sister". Austronesian Comparative Dictionary. Dicapai pada 12 Ogos 2022.
  NODES