Chester F. Carlson (8 Februari 1906 - 19 September 1968) ialah seorang ahli fizik, pereka, dan peguam paten Amerika Syarikat yang merekacipta proses penyalinan segera yang dipanggilnya elektrofotografi. Prosesnya itu kemudian dinamakan xerografi dan diperdagangkan oleh Perbadanan Haloid (Xerox).

Chester Carlson

Seorang pekerja yang rajin, Carlson menghadapi banyak kekecewaan dan kegagalan selama belasan tahun sebelum akhirnya berjaya. Rekaannya menyebabkannya menjadi seorang jutawan berkali-kali ganda, dan mengubahkan undang-undang hak cipta, serta cara bagaimana orang bekerja. Perubahan-perubahan yang dibawa oleh xerografi masih dirasai, dan telah membolehkan banyak rekaan baru, termasuk pencetak laser.


Kehidupan awal

sunting

Dilahirkan kepada sebuah keluarga sederhana di Seattle, Amerika Syarikat, kedua-dua ibu bapa Carlson menghidap penyakit batuk kering, dengan bapanya juga menghidap artritis tulang belakang, ketika beliau masih muda. Disebabkan penyakit mereka, Carlson terpaksa bekerja untuk menyara keluarganya pada masa yang awal. Ibunya meninggal dunia ketika Carlson berumur 17 tahun, dan ayahnya ketika Carlon berumur 26 tahun.

Carlson pernah berkata, "Bekerja di luar waktu sekolah merupakan satu keperluan [kepada saya] pada masa yang awal dan dengan masa yang masih ada, saya menceburkan diri dalam minat-minat saya untuk merekacipta dan membuat barang-barang, menguji kaji, dan merancang untuk masa hadapan. Saya telah membaca tentang [Thomas Alva] Edison dan pereka-pereka yang berjaya, dan idea untuk mencipta suatu rekaan menarik saya sebagai salah satu daripada beberapa cara yang sedia ada untuk mencapai perubahan status ekonomi seseorang, sementara menumpukan perhatian kepada minat saya terhadap benda-benda teknikal, serta membolehkan saya menyumbang kepada masyarakat pada masa yang sama."

Carlson memperoleh ijazah Sarjana Muda Sains dalam Fizik dari Institut Teknologi California pada tahun 1930, dan memulakan kerjayanya di Makmal Telefon Bell sebagai jurutera penyelidikan. Mendapati bahawa kerja itu amat bosan dan rutin, Carlson berpindah ke jabatan paten. Dihentikan pekerjaan semasa Zaman Meleset, akibat pengurangan tenaga kerja, beliau mendapat pekerjaan sebagai kerani kepada sebuah firma guaman paten berhampiran dengan Wall Street di Bandaraya New York. Selepas hampir setahun, beliau mendapat kerja yang lebih baik di Syarikat P. R. Mallory, sebuah syarikat elektronik. Di sana, beliau kemudian dinaikkan pangkat menjadi ketua jabatan paten. Pada tahun 1936, Carlson menyertai sekolah malam di Pusat Pengajian Undang-undang New York, dan menerima ijazah LL.B. pada tahun 1939. Latihannya dalam undang-undang paten kemudian menjadi berguna apabila usahanya dalam prinsip-prinsip elektrofotografi menunjukkan kemajuan.

Pembentukan idea

sunting

Carlson mula berfikir tentang membuat salinan bercetak pada awal kerjayanya. Ketika ditanya oleh pengarang A. Dinsdale tentang mengapa beliau memilih bidang ini, Carlson berkata, "Saya terpesona dengan seni grafik sejak masa kanak-kanak. Salah satu benda awal yang saya mahu ialah sebuah mesin taip — walaupun masih di sekolah menengah. Kemudian, apabila saya di sekolah tinggi, saya suka akan kimia dan saya mendapat idea untuk menerbitkan sebuah majalah bagi ahli-ahli kimia amatur. Saya juga bertugas dengan sebuah syarikat percetakan pada masa lapang dan pemilik syarikat itu menjual kepada saya sebuah mesin cetak yang telah dibuangnya. Saya membayar untuk mesin itu melalui bekerja dengan syarikat itu. Saya kemudian memulakan mengeset taip sendiri dan mencetak majalah kecil ini. Kalau saya tak teringat salah, saya tidak mencetak melebihi dua buah terbitan, dan ini juga pada jumlah yang tidak banyak. Bagaimanapun, pengalaman ini tertarik saya kepada kesukaran untuk membuat perkataan dalam salinan cetak dan ini kemudian menyebabkan saya berfikir tentang proses-proses duplikasi. Saya memulakan sebuah buku nota pereka untuk mencatat idea-idea saya dari semasa ke semasa."

"Terdapat lompang selama beberapa tahun tetapi menjelang tahun 1935, kehidupan saya lebih kurang tetap. Saya mempunyai pekerjaan, tetapi saya berpendapat bahawa saya tidak memajukan diri dengan amat pantas ketika itu. Saya hanya hidup kais pagi makan pagi, anda boleh berkata, dan saya hanya baru berkahwin. Kehidupan saya susah payah. Oleh itu, saya berfikir terhadap kemungkinan bahawa perekaan dapat membantu saya menyelam sambil minum air; ini merupakan peluang untuk saya memanfaatkan dunia sementara memanfaatkan diri sendiri."

Semasa membuat kerja paten, Carlson sering berfikir tentang betapa senangnya kalau spesifikasi-spesifikasi paten dapat disalin dengan mudah. Kerjanya memerlukan penyediaan berbilang salinan untuk diserahkan kepada Pejabat Paten Amerika Syarikat, dan kerja itu sering menelan banyak jam untuk menulis dan menaip semula. Sedangkan fotostat merupakan satu alternatif, cara itu amat mahal. Carlson mengetahui bahawa terdapat cara yang lebih baik.

Usaha-usaha uji kaji

sunting

Carlson mengetahui bahawa banyak makmal penyelidikan syarikat yang lain telah memulakan kerja tentang cara-cara kimia dan haba untuk menyalin kertas dan oleh itu, beliau mula berfikir tentang cara-cara yang lain untuk membuat perkara yang sama. Penyelidikan berbulan-bulan di Perpustakaan Awam New York menyebabkannya menumpukan perhatian kepada kefotokonduksian, satu fenomena yang meningkatkan kekonduksian elektrik bagi sebilangan bahan di bawah keadaan yang tertentu. Secara prinsip, perkara-perkara yang pokok bagi proses tersebut adalah mudah sahaja: apabila cahaya dan bayang-bayang terkena pada sesuatu plat yang mempunyai cas elektrik, bahagian-bahagian yang gelap akan menarik serbuk elektrostatik atau magnet, manakala bahagian-bahagian yang terang akan menolaknya. Jika serbuk itu dapat melakur dengan kertas itu, sebuah salinan yang hampir serupa dengan kertas asal akan dibentuk.

Usaha untuk mengasaskan prinsip-prinsip elektrofotografi mengambil masa Carlson selama 15 tahun, dan beliau mempatenkan setiap perkembangan yang dikembangkannya pada sepanjang tempoh uji kaji. Carlson memfailkan permohonan paten yang pertama pada 18 Oktober 1937. Ujikaji-ujikaji awalnya yang dilakukan dengan sulfur di dapur pangsapurinya amat berasap dan berbau, dan ini menyebabkannya mencari tempat yang lain. Pada masa yang lebih kurang sama, beliau menghidap artritis tulang belakang yang serupa dengan ayahnya. Walaupun demikian, Carlson meneruskan ujikaji-ujikajinya, selain daripada menyertai kursus undang-undang serta menjalani pekerjaan tetapnya.

Untuk memudahkan hal bagi dirinya, Carlson menggajikan Otto Kornei, seorang ahli fizik pendatang yang melarikan diri dari rejim Nazi di Jerman. Mereka memulakan sebuah makmal di bilik belakang di dalam sebuah rumah di Astoria, Queens. Pada 22 Oktober 1938, mereka mencapai satu kejayaan cemerlang yang bersejarah. Kornei menulis perkataan-perkataan 10.-22.-38 ASTORIA. pada slaid mikroskop kaca dengan dakwat India. Mereka kemudian menyediakan sekeping plat zink berlapisan sulfur dan selepas menggelapkan bilik, menggosok-gosok permukaan sulfur dengan sapu tangan untuk menghasilkan cas elektrostatik. Mereka kemudian meletakkan slaid itu pada plat zink, dan mendedahkannya kepada cahaya pijar yang terang. Selepas mengeluarkan slaid itu, mereka menabur serbuk likopodium ke atas permukaan sulfur, meniup serbuk yang berlebihan, dan memindahkan imej yang terbentuk kepada sehelai kertas lilin. Kertas itu kemudian dipanaskan untuk mencairkan lilin dan dengan itu, mereka berjaya mencipta pendua yang hampir sempurna buat pertama kali. Selepas mengulang uji kaji ini beberapa kali, mereka ke luar untuk merayakan kejayaan ini dengan makan tengah hari yang lumayan.

Kejayaan unggul

sunting

Kerja, kekecewaan, dan kegagalan untuk menyakinkan syarikat-syarikat seperti General Electric, IBM, RCA, dan Kor Isyarat Tentera Amerika Syarikat supaya melabur dalam rekaan ini menyusul selama bertahun-tahun. Akhirnya pada tahun 1944, Carlson mencapai persetujuan dengan Perbadanan Battelle, sebuah pertubuhan bukan untung di Columbus, Ohio yang berdedikasi kepada penajaan rekaan-rekaan baru. Tidak lama kemudian, Battelle mendapat Syarikat Haloid untuk mengembangkan lagi konsep Carlson. Haloid menamakan proses ini sebagai xerografi, dan mencipta nama XeroX (ejaan yang asal). Pada tahun 1961, Syarikat Haloid menukarkan namanya menjadi Perbadanan Xerox.

Pada 22 Oktober 1948, tepat sepuluh tahun dari hari slaid mikroskop pertama disalin, Syarikat Haloid membuat pengumuman umum yang pertama terhadap xerografi. Mesin salin Xerox Haloid yang pertama dijual pada tahun 1950. Syarikat Haloid meneruskan pembaikan konsep ini dan menghasilkan Xerox 914 pada tahun 1959. Mesin ini merupakan mesin salin kertas-kosong butang-tekan benar-benar mudah yang pertama. Xerox 914 amat berjaya dan menjual pada jumlah yang sama dengan ramalan jualan syarikat bagi seluruh hayat keluaran ini dalam tempoh hanya enam bulan.

Carlson akhirnya berjaya mencapai impian kewangannya. Beliau menerima lebih kurang ASD$150,000,000 untuk rekaannya, dan mendermakan melebihi ASD$100,000,000 kepada pertubuhan-pertubuhan amal sebelum meninggal dunia pada tahun 1968. Pada tahun 1981, Carlson dilantik untuk Dewan Kemasyhuran Pereka Negara.

Bacaan tambahan

sunting
  • David Owen. Copies in Seconds: How a Lone Inventor and an Unknown Company Created the Biggest Communication Breakthrough Since Gutenberg - Chester Carlson and the Birth of the Xerox. ISBN 0-7432-5117-2, ISBN 0-7432-5118-0

Patuan luar

sunting
  NODES
Idea 6
idea 6