Kartografi (dari bahasa Yunani: chartis = peta + graphein = tulis) ialah kajian dan amalan penyediaan peta geografi yang menggabungkan ilmu sains, estetika, dan teknik, berasaskan prasimpul bahawa alam sekeliling kita boleh dimodelkan dengan cara-cara yang menyalurkan maklumat ruang dengan berkesan.

Artifak kartografi asli terlama dalam simpanan Perpustakaan Kongres: sehelai carta nautika Laut Mediterranean. Suku kedua abad ke-14.

Masalah-masalah utama kartografi:

  • Penyuntingan peta: menetapkan agenda peta dan memilih ciri-ciri objek yang dipetakan. Ciri-ciri ini mungkin bersifat fizikal, seperti jalan raya atau daratan, ataupun abstrak seperti toponim atau sempadan politik.
  • Unjuran peta: mewakili rupa bumi objek untuk dipetakan pada bahantara bermuka rata.
  • Generalisasi: menghapuskan ciri-ciri objek pemetaan yang tidak relevan kepada tujuan peta, dan mengurangkan kerumitan ciri-ciri yang dipetakan.
  • Reka bentuk peta: Mengaturkan unsur-unsur peta secara terperinci untuk menyampaikan mesejnya kepada penggunanya dengan berkesan sekali.

Sejarah

sunting
 
Salinan (1475) peta dunia TO St. Isidore.

Peta yang mana paling awal di dunia masih belum dipastikan, kerana apa yang dimaksudkan sebagai "peta" tidak begitu jelas dan sesetengah artifak yang dipercayai sebagai peta mungkin lain bendanya. Sebuah lukisan tembok yang mungkin memetakan kota lama Çatalhöyük di Anatolia mungkin berasal dari akhir alaf ke-7 SM.[1][2] Peta-peta dunia purba yang lain termasuk lukisan dinding “Rumah Laksamana” Minos dari sekitar tahun 1600 SM, yang menunjukkan masyarakat pesisir pantai dari perspektif tidak langsung, dan sebuah peta ukiran kota suci Nippur di Babylonia yang diukir pada zaman Kassite (ke-14 – ke-12 SM).[3]

Masyarakat Yunani dan Rom Purba pandai mencipta peta selewat-lewatnya sejak zaman Anaximander pada abad ke-6 SM.[4] Pada abad ke-2 Masihi, Ptolemy menghasilkan karangan kartografinya iaitu Geographia[5] yang mengandungi peta dunia Ptolemy, iaitu dunia yang dikenali masyarakat Barat ketika itu (Ecumene). Seawal-awal tahun 700-an, para ilmuwan Arab berusaha menterjemah karya-karya ahli geografi Yunani ke dalam bahasa Arab.[6]

Di China, kesusasteraan geografi digiatkan sejak seawal abad ke-5 SM. Peta terlama dari China yang masih wujud berasal dari Negeri Qin pada abad ke-4 SM, ketika Zaman Negeri Berperang. Dalam buku Xin Yi Xiang Fa Yao yang diterbit oleh ilmuwan China Su Song pada tahun 1092, terdapat peta bintang dalam unjuran silinder sama jarak.[7][8] Walaupun kaedah pemetaan ini nampaknya sudah pun wujud di China sebelum tibanya buku tersebut di dunia, namun peta bintang Su Song ini terkenal sebagai peta bintang terlama yang masih wujud dalam bentuk cetakan.

Karya-karya katrografi terawal di India termasuklah lukisan berlegenda, seperti peta-peta tempat yang disebut dalam kisah epik India, misalnya Ramayana.[9] Tradisi kartografi India juga meliputi lokasi bintang kutub dan banyak lagi buruj yang berguna.[10] Peta-peta ini mungkin digunakan sejak bermulanya Tahun Masihi untuk tujuan pengemudian di laut.[10]

Mappa mundi ialah istilah am yang digunakan untuk menghuraikan peta-peta dunia yang berasal di Eropah pada Zaman Pertengahan. Terdapat lebih kurang 1,100 mappae mundi Zaman Pertengahan yang masih wujud sampai sekarang, 900 daripadanya didapati menggambarkan manuskrip dan selebihnya merupakan dokumen bebas (Woodward, p. 286).

 
Tabula Rogeriana lukisan Muhammad al-Idrisi untuk Roger II dari Sicily pada tahun 1154.

Ahli grografi Arab Muhammad al-Idrisi menghasilkan atlas Tabula Rogeriana pada tahun 1154, dengan menerapkan pengetahuan mengenai benua Afrika, Lautan Hindi dan Timur Jauh yang dihimpunkan oleh para saudagar dan pengembara Arab beserta maklumat yang diwarisi dari para ahli geografi klasik untuk menghasilkan peta dunia yang paling tepat dari sewaktu hayat beliau sehingga tiga abad seterusnya.[11]

Sewaktu Zaman Penjelajahan dari abad ke-15 hingga ke-17, para ahli kartografi Eropah menyalin peta-peta terawal (yang diwarisi sejak berabad-abad lalu) sambil melukis peta baru berasaskan pemerhatian dari para penjelajah dan teknik pemantauan terbaru. Penciptaan kompas magnetik, teleskop dan sekstan banyak membantu meningkatkan ketepatan peta. Pafa tahun 1492, seorang ahli kartografi berbangsa Jerman, Martin Behaim, menghasilkan glob Bumi terlama yang masih wujud.[12]

Johannes Werner memperhalusi dan memperkenalkan "unjuran peta Werner". Pada tahun 1507, Martin Waldseemüller menghasilkan sebiji glob dunia dan sehelai peta dunia dinding sebesar 12 panel (Universalis Cosmographia) yang memaparkan penggunaan nama "America" yang terawal. Ahli kartografi Portugis, Diego Ribero, ialah pengarang kepada planisfera terawal yang dikenali dengan senggatan Khatulistiwa (1527). Battista Agnese dari Itali pula menghasilkan sekurang-kurangnya 71 atlas peta laut dalam bentuk manuskrip.

Oleh sebab betapa payahnya menghasilkan peta dari segi fizikal, para pembuat peta sering menyalin bahan dari hasil kerja terawal tanpa memberi penghargaan kepada pelukis asalnya. Contohnya, salah satu peta lama Amerika Utara yang paling terkenal diberi jolokan "Beaver Map", terbitan Herman Moll pada tahun 1715, tetapi sebenarnya merupakan salinan bulat-bulat dari peta lukisan Nicolas de Fer pada tahun 1698. De Fer pun turut menyalin gambar-gambar yang asalnya dicetak dalam buku-buku terbitan Louis Hennepin dari tahun 1697, dan François Du Creux dari tahun 1664. Menjelang tahun 1700-an, para pembuat seni mula memberi penghargaan kepada pelukis asal dengan mencetakkan ungkapan "Berdasarkan [ahli kartografi asal]" pada karya-karya mereka.[13]

Persatuan Kartografi Melaka

sunting

Di Malaysia, terdapat beberapa buah persatuan atau pertubuhan (NGO) yang aktif dalam kajian berkaitan kartografi antaranya ialah Persatuan Kartografi Melaka (Melaka Cartography Association). Persatuan atau pertubuhan ini secara aktif membuat kajian berkaitan ilmu dan unsur kartografi yang meliputi peta-peta lama mahupun zaman moden dan juga maklumat dan analisis sejarah yang terkandung di dalam peta tersebut. Selain itu juga, persatuan juga secara aktif terlibat dalam pencarian dan ekpedisi menjejaki kawasan yang terkandung dan terpapar di dalam peta lama dalam usaha untuk mengkaji dan menerangkan sejarah yang terdapat di lokasi tersebut. Persatuan Kartografi Melaka[14] telah dirasmikan oleh YB Senator Wan Ahmad Fayhsal Bin Wan Ahmad Kamal pada Mac 2021 selaku Timbalan Menteri Belia & Sukan Malaysia pada waktu tersebut.

 
Logo Rasmi Persatuan Kartografi Melaka.

Persatuan ini dipimpin oleh YBrs. Encik Shahrul Azzim Bin Abd Aziz selaku pengerusi dan enam lagi ahli jawatankuasa tertinggi yang lain. Selain daripada itu, Persatuan Kartografi Melaka juga mempunyai beberapa orang penyelidik di bawah Kumpulan Penyelidik Kartografi Melaka yang terlibat secara langsung dalam penyelidikan berasaskan sejarah dan kartografi. Terdapat beberapa buah projek kajian & jawatankuasa yang dijalankan oleh Persatuan Kartografi Melaka dalam mengangkat maklumat dan sejarah berasaskan elemen pemetaan antaranya ialah Projek Penyelidikan Kartografi Malaysia, Projek Penyelidikan Kartografi Muhammad al-Idrisi, Projek Penyelidikan Sejarah Kartografi Melaka, Projek Jejak Sejarah Jasin, Malaysia Cartography Gallery Committee (MCGC) & Railway Cartographic Research Project (RailCREP).

Persatuan Kartografi Melaka juga aktif dalam penglibatan dan kerjasama bersama agensi kerajaan, swasta dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha membincang dan merangka program berkaitan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan sejarah berasaskan kartografi tanah air.

Rujukan

sunting
  1. ^ [1] "A Tale of two obsessed archeologists, one ancient city, and nagging doubts about whether science can ever hope to reveal the past" by Robert Kunzig. Discover Magazine, May 1999.
  2. ^ [2] "A bird’s eye view - of a leopard’s spots. The Çatalhöyük ‘map’ and the development of cartographic representation in prehistory" by Stephanie Meece. Anatolian Studies, 56:1-16, 2006.
  3. ^ http://www-oi.uchicago.edu/OI/PROJ/NIP/PUB93/NSC/NSCFIG7.html Diarkibkan 2008-09-05 di Wayback Machine The Nippur Expedition
  4. ^ "History of Cartography". Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-10-31. Dicapai pada 2010-01-19. Unknown parameter |deadurl= ignored (bantuan)
  5. ^ J. L. Berggren, Alexander Jones; Ptolemy's Geography By Ptolemy, Princeton University Press, 2001 ISBN 0-691-09259-1
  6. ^ "Geography". Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-10-31. Dicapai pada 2010-01-19. Unknown parameter |deadurl= ignored (bantuan)
  7. ^ Miyajima, Kazuhiko (1997). Projection Methods in Chinese, Korean and Japanese Star Maps from "Highlights of Astronomy" vol. 11B p. 714. Ed. J. Andersen. Norwell: Kluwer Academic Publishers.
  8. ^ Needham, Volume 4, Part 3, 569.
  9. ^ Sircar 327
  10. ^ a b Sircar 330
  11. ^ S. P. Scott (1904), History of the Moorish Empire, pp. 461-2.
  12. ^ Globes and Terrain Models -- Geography and Maps: An Illustrated Guide, Library of Congress
  13. ^ "Map Imitation" in Detecting the Truth: Fakes, Forgeries and Trickery Diarkibkan 2007-10-01 di Wayback Machine, a virtual museum exhibition at Library and Archives Canada
  14. ^ https://www.facebook.com/kartografimelaka/

Pautan luar

sunting
  NODES
Association 1
mac 3
os 2