Dalam bidang tatabahasa, kasus atau kes bagi sesuatu kata nama atau kata ganti nama menandakan fungsi tatabahasa bagi kata berkenaan dalam sesuatu ungkapan atau klausa; seperti peranan subjek, objek langsung, atau pemilik. Walaupun hampir semua bahasa mentakrifkan kasus dengan apa jua cara pun, namun kita selalu menyangka sesuatu bahasa itu jika menampakkan morfologi dalam kata namanya barulah ada kasus, iaitu jika kata nama berubah bentuk untuk mencerminkan kasus.

Jenis kasus

sunting
 
Pada tugu peringatan ulang tahun penubuhan bandar Balakhna, perkataan Balakhna di muka kanan merupakan kasus nominatif, manakala ungkapan 500 Let Balakhne ('500 Tahun Balakhna') di muka hadapan memakai kasus datif.

Biarpun tidak begitu ketara dalam bahasa Melayu mahupun Inggeris, namun kasus-kasus sebegini lebih menonjol dalam pelbagai bahasa lain, seperti bahasa Latin, Yunani, Jerman, Sanskrit, dan Rusia.

Mengikut sejarah, kebanyakan bahasa-bahasa Indo-Eropah dahulunya ada lapan kasus bermorfologi, tetapi bahasa-bahasa moden pula kurang menggunakan kasus sedemikian, sebaliknya menggunakan kata depan dan susun kata untuk menyampaikan maklumat yang pernah disampaikan dengan menggunakan bentuk kata nama yang berbeza. Lapan kasus bersejarah adalah seperti berikut, disertakan contoh:

  • Kasus nominatif, bersamaan kasus subjektif bahasa Melayu, ialah subjek bagi kata kerja finitum:
    Kami pergi ke kedai.
  • Kasus akusatif, bersama kasus datif dan ablatif (bawah) bersamaan kasus objektif bahasa Melayu, ialah objek langsung bagi kata kerja:
    Dia mengingati kami.
  • Kasus datif merupakan objek tak langsung bagi kata kerja:
    Dia memberi kami diskaun.
  • Kasus ablatif merupakan pergerakan dari sesuatu, dan/atau punca:
    Dia meninggalkan kami untuk berjumpa doktor.
    Dia bersedih kerana murung.
  • Kasus genitif, bersamaan kasus milik, merupakan pemilik kepada satu lagi kata nama:
    Buku saya di atas mejanya.
  • Kasus vokatif merupakan penerima pesanan:
    Awak di sana tak apa?
  • Kasus lokatif merupakan lokasi:
    Kami tinggal di Malaysia.
  • Kasus perantian merupakan objek yang digunakan untuk melakukan sesuatu:
    Kami bermain muzik dengan piano.

Semua contoh di atas sekadar huraian kasar; lain bahasa lain caranya menentukan kasus, apatah lagi lazimnya agak rumit. Biasanya kasus adalah berasaskan perubahan pada kata nama untuk menentukan peranan kata nama dalam ayat. Lain pula bagi bahasa Melayu, yang mana susun atur kata dan kata depan digunakan untuk menentukan peranan kata nama tersebut, oleh itu amat sukar untuk diterima bahawa contoh-contoh di atas boleh dianggap sebagai penggunaan kasus dalam bahasa Melayu.

Kasus dalam bahasa Melayu

sunting

Kasus tatabahasa jarang sekali dibincangkan dalam pengajian bahasa Melayu, namun wujudnya penggunaan kasus yang mengubah bentuk kata nama dalam bahasa Melayu, misalnya kata ganti nama "(d)aku", "kamu" dan "dia" digabungkan di akhir perkataan "rumah" bertukar menjadi bentuk kasus milik iaitu "-ku", "-mu" dan "-nya", maka membentuk kata terbitan "rumahku", "rumahmu" dan "rumahnya", serupa dengan kasus genitif yang dibincangkan tadi.

Contoh

sunting

Bahasa Latin

sunting

Berikut ialah contoh infleksi kasus dalam bahasa Latin, menggunakan pelbagai bentuk mufrad untuk perkataan yang bererti "pelaut," yang tergolong dalam deklensi pertama bahasa Latin.

  • nauta (nominatif) "pelaut" [sebagai subjek] (cth. nauta ibi stat pelaut berdiri di sana)
  • nautae (genitif) "milik pelaut" (cth. nomen nautae est Claudius nama pelaut itu Claudius)
  • nautae (datif) "untuk/kepada pelaut" [sebagai objek tak langsung] (cth. nautae donum dedi Kuberikan hadiah kepada pelaut.
  • nautam (akusatif) "pelaut" [sebagai objek langsung] (cth.nautam vidi Kulihat pelaut)
  • nautā (ablatif) "dari/dengan/di/oleh pelaut" [pelbagai guna yan tidak dibincangkan di atas] (cth. sum altior nautā Saya lebih tinggi dari pelaut).


Bahasa Sanskrit

sunting

Kasus tatabahasa atau karaka amat ketara dalam bahasa Sanskrit. Jurubahasa masyhur Pāṇini mengenal pasti enam kasus sedemikian, khususnya dari segi fungsi semantik, ditambah pula dengan hukum-hukum terperinci yang menentukan terbitan morfosintaktik yang bersamaan:

  • agen (kartri, selalunya di kedudukan subjek, bertindak sendirian)
  • patien (karman, selalunya di kedudukan objek)
  • kaedah (karaṇa, alat)
  • penerima (sampradāna, serupa dengan datif)
  • punca (apādāna, serupa tetapi tidak sama dengan ablatif)
  • lokus (adhikaraṇa, tempat atau tujuan)

Contohnya:

vrikśh[at] parṇ[am] bhūm[au] patati
[dari] pokok daun [ke] tanah gugur
"daun gugur dari pokok ke tanah"

Bahasa Tamil

sunting

Sistem kasus bahasa Tamil terdiri daripada sebilangan kasus yang tertentu.[1][2]Biasanya sistem kasus bahasa Tamil (Arden 1942)[3] dianggap terdiri daripada tujuh kasus, iaitu nominatif (kasus pertama), akusatif (kedua), perantian (ketiga), datif (fourth), ablatif (kelima), genitif (keenam), dan lokatif (ketujuh). Mengikut kupasan tradisional, sentiasa adanya perbezaan jelas antara morfem pasca-lingkungan dan akhiran kasus. Kasus vokatif adakalanya diberi tempat kelapan dalam sistem kasus Tamil, namun tidak membuat perubahan morfofonemik ataupun mengawal penggunaan pasca-lingkungan.

Tamil Melayu Erti Akhiran
Kasus pertama Nominatif Subjek ayat, Pelaku perbuatan [tiada]
Kasus kedua Akusatif Objek langsung, Objek perbuatan -ai
Kasus ketiga Perantian, Sosial Kaedah perbuatan (Perantian), Persekutuan atau kaedah yang dilalui dalam perbuatan (Sosial) -al, -otu
Kasus keempat Datif Objek tidak langsung, Objek yang menerima kesan perbuatan (u)kku,(u)kkàka
Kasus kelima Ablatif Pergerakan dari objek hidup/tak hidup -il, -ininru, -iliruntu, -iruntu, -itattiliruntu
Kasus keenam Genitif Milikan [tiada], -in, -utaiya, -inutaiya
Kasus ketujuh Lokatif Tempat yang dihadiri orang atau benda hidup -il,itam
Kasus kelapan Vokatif Panggilan e, a


Rujukan

sunting
  1. ^ http://ccat.sas.upenn.edu/~haroldfs/public/h_sch_9a.pdf
  2. ^ http://www.jstor.org/pss/600654
  3. ^ Arden, A. H. 1942, repr. 1969. A Progressive Grammar of the Tamil Language. Madras: Christian Literature Society.
  NODES
mac 2
os 6