Kebahagiaan ialah suatu keadaan perasaan aman damai serta gembira. Dengan kata yang lain, kebahagiaan melebihi hanya perasaan kegembiraan. Umumnya, kegembiraan amat berkait dengan sesuatu kejadian atau pencapaian yang khusus, sedangkan kebahagiaan berkait dengan keadaan yang lebih umum seperti kesenangan hidup atau kehidupan berumah tangga. Bagaimanapun, kedua-dua perasaan ini adalah amat berkait dan juga amat subjektif.

Kebahagiaan seseorang tidak dapat diukur atau digambarkan, dan berubah-ubah mengikut peredaran masa dan tempat. Orang yang kelihatan bahagia tidak semestinya bahagia, dan orang yang kelihatan tidak bahagia tidak semestinya tidak bahagia. Cuma orang itu sendiri yang tahu (iaitu berasa) sama ada dia bahagia atau tidak.

Pengertian kebahagiaan berbeza-beza antara seorang dengan seorang. Ada yang berasa bahagia kalau dia mendapat makanan, pakaian dan kediaman yang paling sederhana, terelak daripada penyakit, kelaparan, dan perang. Sebaliknya, ada orang berasa tidak bahagia meskipun hidupnya dalam keadaan yang aman, mewah, sihat, dan senang-lenang. Ada orang berasa tidak bahagia sekalipun, walaupun dia mempunyai kuasa, status, dan kekayaan.

Konsep jangkaan

sunting

Lazimnya, seseorang akan berasa gembira jika apa yang dihajati dan diingininya dapat diperoleh dan dinikmati. Dengan kata yang lain, kegembiraan dan kebahagiaan adalah amat berkait dengan jangkaan. Ini dapat menerangkan mengapa seorang yang hanya mendapat kenaikan gaji sebanyak RM50 boleh berasa lebih gembira berbanding seorang yang mendapat kenaikan gaji sebanyak RM100. Keadaan ini boleh terjadi apabila orang yang mendapat kenaikan gaji sebanyak RM50 hanya menjangka dia akan mendapat RM30, sedangkan orang yang mendapat kenaikan gaji sebanyak RM100 berasa kecewa kerana dia menjangka akan naik pangkat dan mendapat kenaikan gaji sebanyak sekurang-kurangnya RM200. Contoh ini juga dapat menerangkan mengapa seorang yang hanya mendapat gaji sebanyak RM1,500 sebulan dapat berasa lebih bahagia, berbanding orang yang mendapat gaji sebanyak RM15,000 sebulan.

Namun demikian, jangan pula kita lupa bahawa emosi dan perasaan bahagia manusia adalah bersifat fana dan sementara. Kebahagiaan tidak pernah dan tidak akan kekal abadi kerana dalam kenyataan hidup, adalah mustahil sama sekali bagi sesiapa untuk memperoleh dan menikmati apa yang dia hajati dan ingini. Apatah lagi manusia sendiri tidak faham dan tidak tahu hati nuraninya, keinginan, dan hawa nafsunya. Tambahan pula, keinginan dan hawa nafsu manusia sentiasa berubah-ubah, malahan bertentangan sesama diri. Seorang yang berpuas hati dengan kenaikan gaji sebanyak RM100 tidak semestinya berasa gembira kalau dia juga mendapat kenaikan gaji sebanyak RM100 pada tahun yang berikut. Justeru itu, manusia sering kecewa, hampa, sedih, bimbang, dan putus asa. Semakin banyak keinginan yang dihajati itu tidak termakbul, semakin tidak bahagialah hidup seseorang.

Semakin seseorang tidak berasa bahagia, semakin kuat pula perasaan kecewa, sedih, dan tidak puas hati menekan dirinya. Perasaan kecewa, sedih, dan tidak puas hati akan mendorong manusia memperjuang dan menggila-gilakan kebahagiaan. Akibatnya, mereka akan terpinga-pinga dalam mencari-cari kebahagiaan, dan mengorak langkah baru demi mencapainya. Umpamanya, dalam cita-cita menikmati kebahagian berkat dari wang, seorang pemuda sanggup menyamun atau membunuh, dan seorang wanita mungkin sanggup menjual kehormatannya.

Memang benar, manusia mengalami kekecewaan, ketegangan hidup, serta ketidakpuasan jauh lebih kerap dan banyak daripada menikmati kebahagiaan dan kepuasan. Tetapi kalau kita sedar bahawa kebahagiaan terletak pada hidup, dan hidup itu ialah kebahagiaan, maka sudah tentu kita akan berasa bahagia selama-lamanya. Kebahagiaan tetap dapat dicari, dialami dan dirasai, jika kita berpuas hati dengan keadaan hidup yang berada pada kita itu. Tegasnya, kita akan hidup penuh bahagia sekiranya kita berpuas hati dengan status quo kita, sambil itu berikhtiar memperbaiki status quo kita tanpa menjejaskan kepentingan dan kebahagiaan orang lain. Perbuatan memperolehi kebahagiaan dengan mengakibatkan kerugian atau kesengsaraan pada orang lain tetap akan dikutuki oleh masyarakat.

Penyelidikan terkini

sunting

Penyelidikan terkini yang dijalankan oleh penyelidik-penyelidik, termasuk Daniel Gilbert, profesor falsafah di Universiti Harvard, menemui beberapa unsur yang baru mengenai bidang kebahagiaan manusia.

Unsur pertama adalah bahawa peristiwa utama dalam kehidupan kita tidak mempunyai banyak kesan pada kebahagiaan keseluruhan kita dalam jangka masa panjang. Adakah anda baru berkahwin? Adakah anda terlibat dalam perang baru-baru ini, atau menjadi mangsa jenayah? Tanpa menghiraukan jawapan anda, adalah amat mungkin bahawa kebahagiaan anda adalah lebih kurang sama dalam jangka masa panjang. Kesimpulan ini dapat difahami jika kita menerima kenyataan bahawa otak manusia mempunyai mekanisme untuk mengesetkan semula garis pangkal kebahagiaan dengan berlalunya masa.

Unsur kebahagiaan yang kedua adalah kenyataan bahawa keupayaan kita untuk meramalkan apa yang dapat memberikan kita kebahagiaan adalah amat buruk. Adakah anda menjangka bahawa sebuah kereta atau rumah baru akan dapat memberikan anda kebahagiaan? Sudah tentu, benda-benda itu boleh memberikan anda kebahagiaan, tetapi tidak sebanyak seperti yang anda jangka. Yang lawannya adalah sama juga. Adakah anda baru-baru ini ditolak oleh lamaran anda atau kalah dalam sesuatu permainan yang mengakibatkan anda rasa tidak gembira? Sudah tentu juga, kejadian-kejadian ini boleh mengakibatkan anda rasa tidak gembira, tetapi tidak sebanyak seperti yang anda jangka.

Lihat juga

sunting

Rujukan

sunting
  • Chew Hock Thye, Bahasa Malaysia Tinggi, Penerbit dan Pengedar Utusan (Anggota Kumpulan Utusan Melayu), 1979.
  • Wladyslaw Tatarkiewicz, Analysis of Happiness, The Hague, Martinus Nijhoff, 1976.
  • Daniel Gilbert, Stumbling on Happiness, Knopf, 2006
  • Stefan Klein, The Science of Happiness, Marlowe 2006, ISBN 1-56924-328-X

Pautan luar

sunting
  • Laman web Pangkalan Data Kebahagiaan – daftar penyelidikan saintifik mengenai penikmatan hidup yang subjektif
  • Jurnal untuk Kajian Kebahagian – jurnal psikologi sosial, dengan kajian yang mendasarkan sebahagian besarnya pada laporan diri penyerta-penyerta
  • Rahsia Kebahagian Rohaniah – bacalah seluruh buku dalam talian
  • Laman web Pertunjukan Kebahagian – rancangan televisyen pertama di dunia yang mengkhusus dalam bidang kebahagiaan, dan menawarkan maklumat kebahagiaan, sumber, dan melebihi 100 pertunjukan dalam talian dengan percuma.
  • Kemasukan "Kegembiraan" dalam Ensiklopedia Falsafah Stanford – menumpukan pada soalan "Apakah itu kegembiraan?", dan termasuk pendekatan-pendekatan sejarah serta terkini, dan falsafah serta neurosaintifik, dengan biblografi yang panjang
  • Majalah Times Ahad – makalah mengenai kajian saintifik kebahagiaan
  • Laman web Sains & Semangat Diarkibkan 2006-12-29 di Wayback Machine — "Usaha Mencari Kebahagiaan" oleh Robert Biswas-Diener — Sains memberitahu kita bahawa pandangan hidup yang sederhana dan agak positif adalah kewarasan semula jadi. Ini bermaksud bahawa ke mana-mana kita pergi dan mengenai apa-apa yang kita buat, yang tinggi adalah hadnya.
  • Laman web Sains & Semangat Diarkibkan 2006-12-29 di Wayback Machine — "Perlawanan takat set" oleh Nancy Etcoff — Kajian kembar seiras menunjukkan bahawa kegembiraan adalah terletak pada gen-gen kita. Bagaimanapun, imej-imej otak menunjukkan bahawa tahap kebahagiaan kita boleh bertukar-tukar mengikut keadaan, kegiatan, dan pola pemikiran. Adakah pengejaran emosi-emosi positif merupakan satu permainan bercampur aduk antara fenomena alam dengan pemeliharaan?
  • Sains kebahagiaan


Emosi
Belas kasihan • Cinta • Ekstasi • Enui • Epifani • Fanatisisme • Harga diri • Iri hati • Kasihan pada diri sendiri • Keambivalenan • Keangkuhan • Kebahagiaan • Kebanggaan • Kebencian • Kebosanan • Keghairahan • Kekecewaan • Kekeliruan • Kekosongan • Kemarahan • Kemarahan salih • Kemurungan • Kepahitan  • Keprihatinan • Kesangsian • Kesedihan • Kesepian • Ketakutan • Ketenangan • Kompersi • Limerens • Melankolia • Nafsu • Panik • Pemuasan • Penderitaan • Penerimaan • Pengharapan • Penghinaan • Perasaan cemburu •

Perasaan disingkirkan • Perasaan gerun • Perasaan terkejut • Rasa bersalah • Rasa malu • Rasa menyampah • Rasa segan • Rasa sesal • Rasa terhutang budi • Rindu kampung halaman • Sikap apati • Taubat

  NODES
mac 2
os 11
web 4