Komet Halley, atau nama rasminya ditetapkan 1P/Halley, adalah komet jangka pendek yang dapat dilihat dari Bumi setiap 74-79 tahun.[1][2] Komet Halley ialah satu-satunya komet jangka pendek yang dapat dilihat dengan mata kasar dari Bumi dan satu-satunya komet sedemikian yang mungkin dapat muncul dua kali dalam seumur hidup manusia. Halley terakhir muncul di bahagian dalaman Sistem Suria pada tahun 1986 dan ia akan muncul kembali pada pertengahan tahun 2061.[3]

Komet Halley seperti yang diperhatikan pada 9 Mac 1986.

Perjalanan berulang-alik Halley ke dalam Sistem Suria telah lama dicerapkan dan dicatatkan oleh ahli astronomi sejak sekurang-kurangnya tahun 240 SM. Catatan-catatan kemunculan komet ini telah banyak dibuat dengan telitinya oleh para periwayat Cina, Babylonia serta Eropah Zaman Pertengahan namun catatan-catatan tersebut tidak diakui sebagai kemunculan semula komet yang sama pada masa itu. Jangkaan komet ini pertama kalinya ditentukan pada tahun 1705 oleh seorang ahli astronomi Inggeris yang bernama Edmond Halley, di mana komet ini dinamai sempena memperingati beliau.

Ketika kemunculannya pada tahun 1986, Halley menjadi komet pertama yang dilihat dari kapal angkasa. Kerja-kerja pencerapan terhadap komet tersebut telah menyumbangkan data yang pertama mengenai nukleus komet serta mekanisme pembentukan koma dan ekornya. Pemerhatian ini menyokong hipotesis-hipotesis lama mengenai tentang pembentukan komet, terutamanya model "bola salji kotor" yang diilhamkan ahli astronomi Amerika Fred Whipple - model Whipple meramalkan dengan betulnya bahawa Halley akan terdiri dari campuran ais tidak menentu - seperti air, karbon dioksida dan ammonia - serta debu. Misi-misi yang berkaitan juga memberikan data yang mengukuhkan serta memperbaharui semula idea-idea ini: misalnya, permukaan komet Halley diketahui sebahagian besarnya terdiri daripada bahan berdebu yang tidak mudah meruap manakala hanya sebahagian kecil komet itu sahaja yang terdiri daripada ais.

Struktur dan komposisinya

sunting

Halley adalah komet berkala yang paling aktif berbanding dengan komet sejenisnya seperti Komet Encke dan Komet Holmes yang mempunyai satu atau dua turutan magnitud kurang aktif berbanding ia. Sisi menghadap Mataharinya adalah jauh lebih aktif daripada sisi belakangnya. Pemerhatian yang dilakukan melalui kapal angkasa menunjukkan bahawa gas yang dibebaskan daripada nukleus komet itu terdiri daripada 80% wap air, 17% karbon monoksida dan 3-4% karbon dioksida,[4] serta sedikit kesan hidrokarbon[5] walaupun lebih baru-baru ini sumber memberi nilai 10% untuk karbon monoksida dan juga termasuk jejak metana dan amonia.[6] Partikel-partikel debu didapati daripada campuran asas sebatian karbon–hidrogen–oksigen–nitrogen (CHON) yang kerap didapati di luar Sistem Suria, serta silikat, seperti yang ditemukan pada batu-batu Bumi.

Rujukan

sunting
  1. ^ G. W. Kronk. "1P/Halley". cometography.com. Dicapai pada 13 October 2008.
  2. ^ Yeomans, D. K.; Kiang, T. (1981-12-01). "The long-term motion of comet Halley". Monthly Notices of the Royal Astronomical Society (dalam bahasa Inggeris). 197 (3): 633–646. doi:10.1093/mnras/197.3.633. ISSN 0035-8711.
  3. ^ O. Ajiki; R. Baalke. "Orbit Diagram (Java) of 1P/Halley". Jet Propulsion Laboratory Solar System Dynamics. Dicapai pada 1 August 2008.
  4. ^ T. N. Woods; P. D. Feldman; K. F. Dymond; D. J. Sahnow (1986). "Rocket ultraviolet spectroscopy of comet Halley and abundance of carbon monoxide and carbon". Nature. 324 (6096): 436–438. Bibcode:1986Natur.324..436W. doi:10.1038/324436a0.
  5. ^ C. Chyba; C. Sagan (1987). "Infrared emission by organic grains in the coma of comet Halley". Nature. 330 (6146): 350–353. Bibcode:1987Natur.330..350C. doi:10.1038/330350a0.
  6. ^ "Giotto:Halley". esa. 2006. Dicapai pada 5 December 2009.
  NODES
Idea 2
idea 2
mac 1
os 3