Luncur ais berbunga

Luncur ais berbunga (bahasa Inggeris: figure skating)[1] adalah suatu sukan di mana seseorang individu atau sebuah kumpulan membuat persembahan sembil meluncur atas ais dengan menggunakan kasut luncur khas. Ia merupakan sukan musim sejuk pertama yang dimasukkan dalam sukan Olimpik pada tahun 1908.[2] Displin-displin yang ada dalam sukan ini pada peringkat Olimpik ialah perseorangan lelaki, perseorangan wanita, pasangan, dan luncur ais tari.

Peluncur dari Kesatuan Soviet, Ludmila Belousova dan Oleg Protopopov, melakukan pertunjukan luncur ais pada tahun 1968

Para peluncur bersaing di beberapa peringkat dari tahap permulaan sampailah ke tahap Olimpik (senior) di peringkat tempatan, wilayah, negara dan antarabangsa. Kesatuan Peluncur Antarabangsa (International Skating Union, ISU) mengatur semua pertandingan dan penghakiman sukan ini pada peringkat antarabangsa, termasuklah Sukan Olimpik Musim Sejuk, Kejuaraan Dunia, Kejuaraan Junior Sedunia, Kejuaraan Eropah, Kejuaraan Empat Benua, siri Grand Prix (peringkat senior dan junior), dan Siri Challenger ISU.

Sukan itu juga berkaitan dengan seni pertunjukan. Pertandingan yang utama biasanya tamat dengan gala pertunjukan di mana peluncur-peluncur dari setiap disiplin melakukan persembahan yang tidak kompetitif. Kebanyakan peluncur ini turut terlibat dalam persembahan luncur ais yang berlangsung sewaktu dan selepas musim pertandingan, baik semasa mereka aktif mahupun bersara dari kerjaya sukan mereka.

Kasut luncur khas

sunting
 
Pandangan dekat kasut luncur berbunga yang menunjukkan hujung bergeriginya (toe picks), suatu alur di bawah permukaan bilah (hollow), dan sambungan skru pada kasut.

Kasut luncur yang digunakan dalam sukan ini berbeza daripada kasut luncur dalam sukan lainnya seperti hoki ais di mana ia mempunyai satu set hujung gerigi besar (toe picks) pada bahagian depan bilah yang digunakan terutamanya untuk melompat dan tidak boleh digunakan untuk mengusap atau berputar. Sekiranya penggunaan sebaliknya berlaku, gerigi tersebut akan menyebabkan peluncur kehilangan momentum, atau menjauh dari pusat pusingannnya. Bilah dipasangkan pada tapak dan tumit kasut menggunakan skru. Peluncur profesional bukan sahaja akan dipasangkan kasut dan bilah khas tetapi pakar juga diupah untuk mengasah bilah untuk memenuhi keperluan tertentu peluncur.[3]

Gelanggang dan peralatan

sunting

Kesatuan Peluncur Antarabangsa memilih gelanggang bersaiz piawaian Olimpik (30 m × 60 m) untuk tujuan pertandingan, terutamanya acara utama. mengikut peraturan ISU nombor 342: "sekiranya boleh, [gelanggang luncur hendaklah] berukuran enam puluh (60) meter dalam satu arah dan tiga puluh (30) meter di satu arah lain, tetapi tidak lebih, dan tidak kurang daripada lima puluh enam (56) meter dalam satu arah dan dua puluh enam (26) meter pada satu arah yang lain."[4] Sistem skor memberi ganjaran kepada peluncur yang meliputi seluruh permukaan ais gelanggang dalam program mereka. Gelanggang saiz Olimpik mampu menunjukan perbezaan antara peluncur yang lebih berkemahiran namun tempat sebegini tidak sedia ada di semua tempat. Sekiranya sesebuah gelanggang itu mempunyai dimensi yang berbeza, persediaan dan kelajuan peluncur barangkali boleh terhalang ketika peluncur tersebut menyesuaikan diri.[5][6]

Kualiti ais luncuran diadili berdasarkan ciri-ciri kelancaran, geseran, kekerasan, dan kerapuhan.[7] Faktor yang mempengaruhi kualiti sebegini termasuk suhu, kualiti air, dan kadar penggunaan, di mana gelanggang akan lebih rosak jika menggunakan bahagian kasut yang salah. Suhu gelanggang biasanya ditetapkan secara optimumnya pada 24 °F (-4 °C).[7] Ais yang bermutu tidak seberapa boleh mempengaruhi prestasi para peluncur.[8]

Pakaian dan muzik

sunting

Para peluncur dibenarkan memilih pakaian sendiri dengan sedikit sahaja larangan yang diberikan. Peserta perempuan dibolehkan memakai gaun dengan pakaian dalam yang sama warna, ataupun mereka boleh memakai seluar (sejak tahun 2004).[9] Sarung balut kaki berwarna kulit yang tidak jarang barangkali dipakai dalam gaun atau skirt mereka sehingga mencecah paras kasut luncur. Peluncur lelaki pula dimestikan memakai seluar biasa – yakni, seluar sama sendat (tights) tidak dibenarkan sama sekali, namun pihak pengadil tidak selalunya mengenakan penolakan markah untuk pelanggaran peraturan sebegini.[10] Pakaian atau kostum yang berpadanan tidak perlu dalam displin-displin berpasangan dan tarian.[11]

 
Contoh kostum berhias yang dipakai sewaktu persembahan luncur ais secara berpasangan.

Pertandingan-pertandingan dahulunya hanya dibenarkan beriringan dengan muzik instrumental, atau nyanyian vokal tanpa sebarang lirik. ISU mula membenarkan muzik berlirik dalam displin luncur ais tarian pada musim 1997—1998. Kesatuan ini kemudiannya membenarkan para peserta semua displin memilih muzik berlirik sendiri dalam pertandingan mereka pada musim 2014-2015.[12][13] Kerja-kerja penyuntingan muzik profesional juga dilibatkan agar muzik yang dipilih memenuhi kriteria persembahan para peluncur,[14] di mana peluncur hendaklah meluncur mengikut rentak atau irama yang jelas.

Displin

sunting

Peringkat Olimpik

sunting

Sukan ini dalam peringkat Olimpik terdiri daripada displin berikut:[15]

  • Perseorangan - untuk lelaki dan wanita di dalamnya peluncur individu melakukan lompatan, putaran, urutan langkah (step sequence), lingkaran (spiral) serta unsur-unsur lain.
  • Berpasangan - terdiri daripada seorang lelaki dan seorang wanita sepasukan melakukan unsur yang khusus kepada displin seoerti lompat baling (throw jump, di mana peluncur wanita melompat dari pegangan tinggi peluncur lelaki; putaran berpasangan (pair spin), death spiral serta unsur-unsur lain bersama-sama.
  • Tarian (ice dancing) - pasukan berpasangan lain jantina seperti di atas, di mana pasangan tersebut menari rapat seiring dengan muzik. Peluncur diangkat tidak melebihi paras bahu manakala "balingan" dan lompatan tidak dibenarkan.

Displin-displin lain

sunting
  • Luncur ais segerak (synchronized skating) - untuk pasukan yang terdiri daripada 12 hingga 20 orang peluncur campur jantina.
  • Luncur ais berempat (fours) - untuk pasukan terdiri daripada 2 peluncur lelaki dan 2 peluncur perempuan menggabungkan unsur-unsur displin perseorangan dan berpasangan.
  • Luncur ais adagio - displin jenis berpasangan yang sering dilihat dalam pertunjukan di mana peluncur membuat banyak angkatan akrobatik (acrobatic lift) tanpa banyak atau langsung melakukan banyak unsur-unsur dalam displin luncur berpasangan yang lain.
  • Luncur ais akrobatik - melibatkan aksi lagak sarkas dan kemahiran gimnastik artistik teknikal bersama dengan teknik luncur ais berbunga yang asas.

Perbelanjaan dan dana

sunting

Sukan ini mengambil kos yang sangat mahal,[16][17][18][19] disebabkan faktor tempoh ais dan latihan.[20] Sesetengah persatuan negara tertentu akan menyediakan dana untuk peluncur jika mereka memenuhi kriteria tertentu persatuan.[21] Banyak peluncur mengambil kerja sambilan, malah ada daripadanya yang telah mencuba kaedah crowdfunding untuk mendapatkan sokongan kewangan bagi kegiatan sukan mereka.[22][23][24] Di Jerman, banyak peluncur elit menyertai tentera untuk menampung kos pembiayaan sukan.[25] Beberapa peluncur kompetitif turut bergantung kepada pendapatan daripada pertunjukan.[26][27] Persembahan sebegini harus mendapat kebenaran persatuan mereka, yakni peluncur barangkalinya akan kehilangan kelayakan untuk bertanding secara kompetitif jika mereka mengambil bahagian tanpa izin. Terdapat juga kes-kes tertentu di mana peluncur akan berada dalam keadaan terpaksa untuk bersaing dalam keadaan yang cedera agar mereka dibenarkan terlibat dalam pertunjukan.[26]

Rujukan

sunting
  1. ^ "'figure skating' — Maklumat Kata". Pusat Rujukan Persuratan Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka. Dicapai pada 23 Februari 2018.
  2. ^ "About Figure Skating". Sochi2014.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 29 Januari 2014.
  3. ^ Belluck, Pam (22 Jun 2009). "Science Takes to the Ice". The New York Times.
  4. ^ "Special Regulations & Technical Rules: Single & Pair Skating and Ice Dance 2012" (PDF). Kesatuan Peluncur Antarabangsa. Jun 2012. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 29 Oktober 2013.
  5. ^ "Michal Brezina leads Skate America". Associated Press. Dicapai pada 22 Oktober 2011 – melalui ESPN.
  6. ^ Berlot (7 Oktober 2013). "French skaters debut programs in Orléans". IceNetwork.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-04-14. Dicapai pada 2018-02-23..
  7. ^ a b Theiler, Jeff; Kurko, Sara (Mei 2011). ""What makes quality ice?"" (PDF). Skating Magazine. m/s. 46–47.
  8. ^ Kondakova, Anna (28 Mac 2012). "Savchenko and Szolkowy land throw triple Axel; lead pairs in Nice". Golden Skate.
  9. ^ Mittan, Barry (5 Disember 2004). "Slovak Pair Tests New ISU Costume Rules". Skate Today.
  10. ^ Flade, Tatjana (31 Oktober 2012). "Savchenko and Szolkowy off to strong start in pre-Olympic season". Golden Skate.
  11. ^ Golinsky, Reut (18 Ogos 2012). "Costumes on Ice, Part I: Ice dance". Absolute Skating.
  12. ^ Clarey, Christopher (18 Februari 2014). "'Rhapsody in Blue' or Rap? Skating Will Add Vocals". The New York Times.
  13. ^ Brannen, Sarah S.; Meekins, Drew (16 Julai 2014). "The Inside Edge: Programs with vocals on the way". IceNetwork.com.
  14. ^ Howard Heithaus, Harriet (17 Februari 2014). "Programmer makes music jump for Olympic skaters". Naples Daily News. Miami Herald. Diarkibkan daripada yang asal pada 26 Februari 2014. Unknown parameter |deadurl= ignored (bantuan)
  15. ^ "Figure skating at Olympic.org". Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 4 September 2006.
  16. ^ Bodmer, Doris (Oktober 2004). "What Does It Cost to Skate Competitively?". U.S. Figure Skating: Focus for Parents. Dicapai pada 20 September 2011.
  17. ^ Gerstner, Joanne C (26 Mac 2011). "It Isn't Over Until She Says". The New York Times. Dicapai pada 26 Jun 2011.
  18. ^ Karatchuk, Tammy (11 Mac 2013). "Full family sacrifice' big reason behind success of Edmonton figure skater Kaetlyn Osmond". Edmonton Journal. Diarkibkan daripada yang asal pada 2013-03-12. Dicapai pada 2018-02-23.
  19. ^ Brannen, Drew; Meekins (20 September 2011). "The Inside Edge: The new quad king". Icenetwork. Dicapai pada 20 September 2011.
  20. ^ Castronovo Fusco, Mary Ann (19 Disember 1999). "The Costs Of Pursuing A Medal". The New York Times.
  21. ^ "Funding". U.S. Figure Skating.
  22. ^ Brannen, Sarah S (31 Mei 2012). "Workin' for a livin': Skaters take part-time jobs". Ice Network. Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-06-03. Dicapai pada 2018-02-23.
  23. ^ Kwong, P. J. (18 November 2015). "Figure skaters get creative to cover massive costs". CBC Sports.
  24. ^ "Lubov Iliushechkina & Dylan Moscovitch". pursu.it. Diarkibkan daripada yang asal pada 2017-06-25. Dicapai pada November 2015. Check date values in: |access-date= (bantuan)
  25. ^ Kany, Klaus-Reinhold (13 Julai 2011). "European News: Aliona Savchenko and Robin Szolkowy and More: Summer Updates". IFS Magazine. Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-11-20. Dicapai pada 2018-02-23.
  26. ^ a b Kany, Klaus-Reinhold (24 Januari 2012). "Wounded Savchenko and Szolkowy in tough spot". Ice Network.
  27. ^ Berlot, Jean-Christophe (2 Februari 2011). "Amodio, Meite seek prominence in different ways"". Ice Network. Dicapai pada 2 Februari 2011.

Pautan luar

sunting
  NODES
INTERN 2