Revolusi Amerika (bahasa Inggeris: American Revolution) merujuk kepada pergolakan politik semasa separuh abad terakhir kurun ke-18 di mana tiga belas koloni Amerika Utara menggulingkan pemerintahan Empayar British dan menolak monarki British untuk menjadi sebuah negara republik yang bebas merdeka. Dalam tempoh ini, pihak koloni pada mulanya menolak kekuasaan Parlimen Great Britain untuk mentadbir mereka tanpa perwakilan, dan membentuk negeri-negeri bebas yang mempunyai pentadbiran sendiri. Negeri-negeri ini kemudian bekerjasama menentang Britain untuk mempertahankan pemerintahan mereka dalam konflik bersenjata dari tahun 1775 hingga 1784 yang dikenali sebagai Perang Revolusi Amerika. Ini melahirkan satu negara yang bersatu, dan berpisah dari empayar pada tahun 1776 dengan Perisytiharan Kemerdekaan yang bukan sahaja menolak pentadbiran Parlimen British tetapi juga kesetiaan kepada monarki British. Selepas perang selama tujuh tahun, kemenangan Amerika di medan perang dicapai pada bulan Oktober 1781, dan Britain memperakui kemerdekaan Amerika Syarikat pada tahun 1783.

Revolusi Amerika
Sebahagian daripada Revolusi Atlantik
Gambaran pembentangan draf Perisytiharan Kemerdekaan Amerika Syarikat dalam sidang Kongres Benua Kedua pada 28 Jun 1776 dilukis John Trumbull.
Tarikh22 March 1765 – 3 September 1783
LokasiTiga Belas Jajahan
HadirinPara penduduk jajahan Amerika British
Hasil

Revolusi Amerika termasuk siri perubahan sosial dan intelek yang berlaku dalam masyarakat awal Amerika seperti prinsip republikan dan demokrasi. Kebanyakan isu mengenai pemerintahan negara tidak selesai sehingga Perlembagaan Amerika Syarikat (1787) termasuk Perakuan Hak Amerika Syarikat (1789) digubal menggantikan Artikel Konfederasi. Perlembagaan ini melindungi hak asasi seperti yang diimpikan oleh golongan revolusi republikan. Nilai demokrasi yang semakin kuat juga menyebabkan pergolakan dalam hierarki masyarakat tradisional dan mewujudkan etika yang membentuk nilai teras politik rakyat Amerika.[1]

Asal mula

sunting
 
Sebelum Revolusi: Tiga belas koloni berwarna merah jambu.

Revolusi Amerika tidak dapat dielakkan berdasarkan idea dan peristiwa yang membawa kepada pemisahan pertautan politik dan sosial antara negara asal dan koloni yang mahukan kemerdekaan.

Secara ringkas

sunting

Era revolusi bermula pada tahun 1763 apabila ancaman ketenteraan Perancis ke atas koloni British di Amerika Utara berakhir. Britain kemudian memperkenalkan beberapa siri cukai dan undang-undang ke atas koloni untuk menunjukkan kekuasaannya. Dasar Britain ini tidak popular di kalangan penduduk terutamanya apabila pihak koloni tidak mempunyai perwakilan di Parlimen Great Britain. Ramai penduduk koloni merasakan tindakan Britain ini melanggar hak mereka sebagai orang Inggeris. Keadaan diburukkan dengan dasar merkantilis Britain seperti sekatan perdagangan yang hanya memberi manfaat kepada Britain dan membantut perkembangan ekonomi koloni. Pada tahun 1772, kumpulan Patriot mula mewujudkan jawatankuasa yang membawa kepada Kongres Wilayah mereka sendiri di koloni. Dalam masa dua tahun, Kongres Wilayah dan yang seumpamanya menolak Parlimen dan menukar system pentadbiran British di koloni dengan kemuncaknya pada tahun 1774 dengan Kongres Kontinental Pertama.

British menghantar askar sebagai tindak balas terhadap protes Patriot di Boston. Sebagai tindakan balas, tiga belas koloni mengerahkan militia dan pertelingkahan meletus pada tahun 1775. Untuk menunjukkan kesetiaan kepada Raja George III, Kongres merayu berkali-kali kepada campur tangan raja tetapi hanya kesudahannya mereka diisytiharkan sebagai penderhaka. Pada tahun 1776, wakil-wakil dari setiap Tiga belas Koloni mengundi sebulat suara untuk menerima pakai Perisytiharan Kemerdekaan yang juga menolak monarki dan Parlimen British. Perisytiharan ini membentuk Amerika Syarikat yang pada awalnya ditadbir sebagai gabungan longgar melalui kerajaan perwakilan yang dipilih oleh badan perundangan negeri.

Penduduk Amerika membentuk pakatan dengan Perancis pada tahun 1778 untuk memperkukuhkan tentera darat dan laut mereka. Walaupun penduduk yang setia kepada Britain (Loyalis) dianggarkan seramai 15-20%,[2] sepanjang perang, Patriot pada umumnya mengawal 80-90% wilayah; dan British hanya memegang sebilangan kecil bandar di pesisir pantai. Dua pasukan tentera utama British menyerah kalah dalam Pertempuran Saratoga pada tahun 1777 dan semasa Pengepungan Yorktown pada tahun 1781 menandakan kemenangan bagi pihak bekas koloni. Melalui Perjanjian Paris pada tahun 1783, British mengakhiri tuntutan ke atas tiga belas negeri.

Liberalisme, republikanisme, dan agama

sunting

Idea John Locke mengenai liberalisme banyak mempengaruhi pemikiran politik revolusi. Contohnya, teori Locke mengenai kontrak sosial yang membayangkan hak untuk menggulingkan pemimpin apabila pemimpin ini mengkhianati hak orang Inggeris adalah hak semula jadi manusia.[3][4] Selain itu, pendorong kepada revolusi adalah ideologi politik yang dipanggil republikanisme yang dianuti oleh rakyat Amerika terutamanya di koloni menjelang tahun 1775. Ahli politik Amerika dipengaruhi dengan kritikan korupsi parti politik terhadap kerajaan British. Penduduk koloni mengaitkan mahkamah British dengan kemewahan dan kebangsawanan yang tidak disukai dan dikeji oleh penduduk koloni. Korupsi dilihat sebagai kejahatan yang perlu ditentang dan tanggungjawab seluruh rakyat Amerika bagi kebaikan negara.

Bapa Pengasas merupakan penyokong nilai republikan terutamanya Samuel Adams, Patrick Henry, George Washington, Thomas Paine, Benjamin Franklin, John Adams, Thomas Jefferson, James Madison dan Alexander Hamilton.[5] Bagi golongan wanita pula, tokoh seperti Abigail Adams dan Mercy Otis Warren memberikan contoh bagaimana menyemai nilai republikan dalam diri anak-anak supaya mereka tidak bermewahan-mewah dan menunjuk-nunjuk. Komitmen kebanyakan rakyat Amerika kepada nilai republikan dan hak mereka membawa kepada Revolusi Amerika dan Britain dilihat semakin korup dan musuh kepada kepentingan Amerika yang mengancam kebebasan yang mereka kecapi. [6] Ancaman kebebasan yang terbesar adalah korupsi – bukan sahaja di London tetapi juga di tanah Amerika sendiri.[7]

Bagi golongan Patriot biasa, mereka tidak pernah mengenali Locke atau membaca tulisan pemikir kesedaran lain. Pengetahuan mereka terhad kepada pembacaan Bible dan bahan bacaan keagamaan lain. Mereka hanya mengetahui ringkasan idea-idea politik terkini kemudiannya melalui risalah yang ditulis oleh Tom Paine, Common Sense. Risalah ini dicetak pada tahun 1776 selepas bermulanya revolusi dan ia menjadi risalah hangat yang selalu dibaca kuat ketika mereka berkumpul untuk minum di tavern. Perkara ini menyumbang kepada peningkatan sokongan kepada revolusi, tuntutan pemisahan dari Great Britain dan pengambilan ahli bagi Tentera Kontinental.

Pihak gereja Protestan (yang bukan dari Gereja England) juga memainkan peranan sebagai “sekolah demokrasi” .”[8] Golongan Congregasionalis, Baptis dan Presbiterian menganggap prinsip dan kesediaan untuk menentang pemerintah zalim selari dengan kisah dalam Perjanjian Lama terutamanya Eksodus apabila Bani Israel membantah Firaun dan melarikan diri untuk bebas.[9] Presiden Kolej New Jersey (sekarang Universiti Princeton), John Witherspoon, merupakan antara yang berpengaruh.[10] Syarahannya mengenai pemberontakan Bani Israel dibaca dengan meluas dan disebarkan kepada 500 gereja Presbiterian tujuh minggu sebelum Perisytiharan Kemerdekaan.[11] Di seluruh koloni, paderi-paderi menyampaikan syarahan yang menyelitkan tema Revolusi. Tidak seperti idea pemikir kesedaran, unsur keagamaan bagi berjuang untuk Kemerdekaan mempengaruhi segenap lapisan masyarakat termasuk golongan miskin dan kaya, lelaki dan wanita, penduduk desa dan bandar serta petani dan pedagang.[12]

Undang-undang British menyemarakkan Revolusi

sunting

Revolusi disemarakkan dengan beberapa undang-undang Parlimen British yang bagi penduduk Amerika tidak sah. Undang-undang ini diluluskan Parlimen yang tidak mempunyai hak ke atas mereka kerana mereka tidak mempunyai perwakilan dan penduduk Amerika tidak melantik ahli Parlimen ini untuk mewakili mereka. Bagi British, undang-undang ini perlu untuk subjek jajahan mereka atas nama pembangunan ekonomi British.

Akta Pelayaran

sunting

Empayar British pada masa itu berjalan mengikut sistem merkantil. Dalam sistem ini, aset ekonomi atau modal dalam bentuk bulion (jongkong emas, perak dan nilai perdagangan) yang dipegang oleh negara dapat ditingkatkan melalui imbangan perdagangan positif dengan negara lain. Di bawah merkantilisme, pemerintah hendaklah mengamalkan dasar perlindungan (protectionism) dalam ekonomi dengan menggalakkan eksport dan tidak menggalakkan import terutamanya melalui penggunaan tarif. Great Britain mengawal selia ekonomi koloninya melalui Akta Navigasi mengikut doktrin merkantilisme. Pelanggaran undang-undang ini berlaku dengan meluas sebelum penguatkuasaan melalui arahan writ menjadi amalan. Pada tahun 1761, seorang peguam dari Massachusetts bernama James Otis berhujah bahawa writ tersebut melanggar hak perlembagaan penduduk koloni. Dia kalah dalam kes tersebut tetapi John Adams menulis, “kemerdekaan Amerika kemudian lahir di situ”.

Pada tahun 1762, Patrick Henry yang terlibat dalam satu kes terkenal "Parson's Cause" di Virginia di mana badan perundangan tempatan meluluskan satu undang-undang tetapi dibatalkan oleh raja. Henry menyatakan, “bahawa Raja, dengan tidak membenarkan Akta berfaedah seperti ini, daripada menjadi bapa kepada rakyatnya, merendahkan martabatnya kepada seorang pemerintah zalim dan hilang hak ke atas subjeknya.”[13]

Undang-undang sempadan

sunting

Perisytiharan 1763 oleh British menyekat penerokaan dan pemilikan tanah dari merentasi Pergunungan Appalachian kerana mahu memelihara Rizab Orang Asli Indian. Ini semua tidak dihiraukan penduduk koloni dari terus meneroka tanah dan menjadikan tanah tersebut milik mereka. Perisytiharan ini dipinda dan tiada lagi sekatan bagi penempatan. Tetapi pengisytiharannya dan atas dasar ia dibuat tanpa mendapatkan pandangan penduduk Amerika telah menaikkan kemarahan penduduk koloni. Akta Quebec 1774 meluaskan sempadan Quebec hingga ke Sungai Ohio, dan menidakkan tuntutan tiga belas koloni. Pada masa itu, penduduk Amerika tidak lagi menghormati apa saja undang-undang yang datang dari London. Mereka sibuk merekrut militia dan bersiap sedia untuk berperang.[14]

Tiada cukai tanpa perwakilan

sunting

Menjelang tahun 1763, Great Britain mempunyai koloni yang banyak di Amerika Utara. Selain daripada tiga belas koloni, 22 koloni kecil diperintah secara langsung oleh gabenor diraja. Dengan kemenangan dalam Perang Tujuh Tahun, Great Britain mendapat Perancis Baru (Kanada), Florida Sepanyol, dan tanah Orang Asli Amerika di timur Sungai Mississippi. Di Amerika Utara, terdapat enam koloni yang masih setia dengan Britain. Koloni ini termasuk Quebec, Nova Scotia, Bermuda, Florida Barat dan Florida Timur. Pada tahun 1765, penduduk koloni masih menganggap mereka sebagai taklukan di bawah Monarki British dengan hak dan tanggungjawab sama seperti penduduk di Britain. [15]

British tidak mengharapkan sumbangan dari koloni bagi kepentingannya atau melangsaikan hutang Perang Perancis dan India, tetapi mereka mahukan sebahagian daripada perbelanjaan pertahanan penjajahan dibayar oleh penduduk Amerika. Anggaran perbelanjaan pertahanan koloni di benua dan Hindia Barat lebih kurang £200,000 setahun. British berhasrat mengenakan cukai £78,000 kepada koloni apabila perang selesai. [16] Bagi koloni, isunya adalah cukai yang tinggi dan mereka tidak mempunyai wakil di Parlimen yang meluluskan undang-undang bagi mereka.

Slogan “Tiada cukai tanpa wakil” menjadi popular di kalangan penduduk Amerika. Walaupun kerajaan British mengatakan kepentingan penduduk Amerika dipelihara (virtual representation), Amerika menolak pandangan British yang bagi mereka wakil-wakil di Parlimen tidak mengetahui kehendak dan kepentingan penduduk Amerika. [17]

Cukai baru 1764

sunting

Pada tahun 1764, Parlimen menggubal Akta Gula dan Akta Matawang yang terus menyusahkan penduduk koloni. Protes membawa kepada pemulauan barangan British. British menghukum penduduk koloni dengan menggubal Akta Kuartering yang menyatakan askar British hendaklah dilayan dengan baik seperti menyediakan tempat tinggal di sesetengah tempat.

Akta Setem 1765

sunting
 
Pembakaran Gaspée

Pada tahun 1765, Parlimen British memperkenalkan Akta Setem yang merupakan cukai langsung pertama dikenakan ke atas koloni. Semua surat khabar, kalendar, risalah dan dokumen rasmi – malah daun terup – diwajibkan meletakkan setem yang berharga satu peni ke $50. Kesemua 13 koloni membantah keras cukai ini dan pemimpin popular seperti Patrick Henry di Virginia dan James Otis di Massachusetts, memimpin protes orang ramai. Satu kumpulan rahsia yang dikenali sebagai "Sons of Liberty" ditubuhkan di pekan dan bandar dan mengancam sesiapa yang menjual setem, akibatnya tiada siapa pun yang berani menjual setem.[18] Di Boston, kumpulan ini membakar rekod mahkamah dan menjarah rumah ketua hakim Thomas Hutchinson. Pada bulan Oktober 1765, Kongres Akta Setem dianjurkan dan dihadiri oleh sembilan wakil dari koloni. Kongres menggariskan satu Deklarasi Hak dan Kesukaran. Dokumen ini menyatakan penduduk koloni di Amerika mempunyai hak seperti orang Inggeris di Britain. Mereka membantah cukai setem yang dikenakan ke atas mereka oleh Parlimen dan menghantar petisyen kepada Raja agar dibatalkan. Kongres ini penting kerana menyatukan sembilan dari 13 jajahan. Pedagang koloni juga menunjukkan tentangan mereka kepada cukai setem melalui satu persetujuan untuk memboikot barangan Inggeris. Boikot menampakkan hasil apabila import ke tanah koloni jatuh daripada £2,250,000 pada tahun 1764 kepada £1,944,000 pada tahun 1765. Akhirnya pada tahun 1776, undang-undang ini dibatalkan. Walaupun telah dibatalkan, Parlimen memperkenalkan Akta Deklarasi pada bulan Mac 1766 yang menekankan mereka ada hak untuk membuat undang-undang bagi penduduk koloni termasuk yang berkaitan dengan cukai. Perkara ini menambahkan lagi kemarahan penduduk koloni.

Akta Townshend 1767 dan tragedi pembunuhan di Boston 1770

sunting

Pada tahun 1767, Parlimen meluluskan Akta Townshend yang mengenakan cukai ke atas barangan penting seperti kertas, kaca dan teh. Cukai ini menimbulkan kemarahan penduduk koloni dan mereka memboikot barangan British. Di Boston pada 5 Mac 1770, satu kumpulan askar British di kepung orang ramai. Mereka membaling batu dan kepalan salji ke askar tersebut yang menyebabkan salah seorang jatuh. Keadaan menjadi tegang dan askar-askar menembak orang ramai. Sebelas orang terkena tembakan, tiga orang awam terbunuh dan dua lagi meninggal dunia selepas insiden. Peristiwa ini dikenali dengan Pembunuhan Boston. Walaupun askar tersebut dibicarakan dan dibebaskan dari tuduhan membunuh, peristiwa ini menaikkan sentiment menentang British. Ia juga memburukkan hubungan di antara Britain dan Wilayah Massachusetts.

Akta Teh 1773

sunting
 
Imej litograf tahun 1846 Jamuan Teh Boston yang terkenal.

Pada bulan Jun 1772, satu peristiwa penting yang dikenali sebagai Peristiwa Gaspée berlaku apabila sebuah kapal perang British yang menguatkuasakan peraturan perdagangan tidak popular dibakar oleh kumpulan Patriot. Pada 16 Disember 1773, sekumpulan lelaki yang diketuai oleh Samuel Adams dan memakai baju kaum Indian Amerika, menaiki kapal Syarikat Hindia Timur Inggeris dan membuang teh bernilai lebih kurang £10,000 (lebih kurang £636,000 pada tahun 2008) di atas kapal ke dalam laut. Peristiwa ini dikenali sebagai Jamuan Teh Boston dan kekal menjadi peristiwa penting bagi rakyat Amerika.

Akta Pelabuhan Boston dan akta-akta menekan lain

sunting
Fail:RAPEBOSTON.JPG
Versi Amerika tentang ang mengutuk "pencabulan" Boston pada tahun 1774 oleh Intolerable Acts

Peristiwa di pelabuhan Boston telah menimbulkan kemarahan pihak British dan membawa kepada pengenalan Akta Pelabuhan Boston serta akta-akta lain (Akta Kerajaan Massachusetts, Akta Pentadbiran Keadilan dan Akta Kuartering) yang dipanggil “Intolerable Acts”. Undang-undang ini merupakan tindakbalas serius British terhadap penduduk di Boston. Akta ini telah meyebabkan pelabuhan di Boston ditutup dan perdagangan di sini digantung sehingga penduduk membayar ganti rugi di atas kemusnahan teh di Boston. Selain itu, Akta Kerajaan Massachusetts telah meletakkan Massachusetts di bawah kawalan gabenor. Ini menyebabkan kebebasan penduduk koloni bertambah terhad dan akta ini juga terlalu menekan. Di samping itu keadaan politik yang liberal menyebabkan penduduk koloni mula merasakan kebebasan mereka telah disekat. Akta dan cukai yang diperkenalkan menimbulkan amarah kepada rakyat yang menghadkan kebebasan mereka di negara sendiri apatah lagi dengan berkembangnya idealogi liberalisme di Eropah telah banyak mempengaruhi penduduk koloni terutama tokoh-tokoh yang menggerakkan Revolusi Amerika. Kongres Kontinental Pertama mengisytiharkan akta-akta ini sebagai tidak mengikut perlembagaan dan memanggil orang ramai menubuhkan militia dan Wilayah Massachusetts untuk menubuhkan kerajaan Patriot.

Penentangan politik rakyat Amerika

sunting

Penentangan politik rakyat Amerika pada mulanya dibuat melalui perhimpunan seperti Kongres Akta Setem yang dihadiri wakil dari semua tiga belas koloni. Pada tahun 1765, Sons of Liberty ditubuhkan yang menggunakan demonstrasi, keganasan dan ancaman untuk memastikan tiada penguatkuasaan undang-undang cukai British. Walaupun penentangan dinyatakan secara terbuka, penduduk koloni masih menggunakan petisyen dan rayuan campur tangan monarki yang mereka masih hormat. Pada akhir tahun 1772, selepas Peristiwa Gaspée, Samuel Adams menubuhkan Jawatankuasa Koresponden (Jawatankuasa Perhubungan) yang menghubungkan Patriot di seluruh tiga belas koloni. Ini menyediakan rangka bagi kerajaan pemberontak. Pada awal 1773, koloni terbesar iaitu Virginia menubuhkan Jawatankuasa Korespondennya sendiri di mana Patrick Henry dan Thomas Jefferson berkhidmat. [19]

Sebagai reaksi kepada Akta Kerajaan Massachusetts, Teluk Massachusetts dan koloni lain menubuhkan kerajaan sementara yang dipanggil Kongres Wilayah. Pada tahun 1774, Kongres Kontinental ditubuhkan yang terdiri daripada wakil dari setiap Kongres Wilayah atau yang setaraf dengannya untuk berkhidmat sebagai kerajaan kebangsaan sementara.

Puak: Patriot, Loyalis dan Neutral (Berkecuali)

sunting

Penduduk di tiga belas koloni tidak sekata terutamanya pandangan dan sikap politik mereka. Kesetiaan dan taat setia mereka pelbagai dan tidak sahaja di antara wilayah dan masyarakat tetapi juga di antara keluarga dan kadang-kadang boleh berubah.

Nota kaki

sunting
  1. ^ Wood (1992); Greene & Pole (1994) bab 70
  2. ^ Calhoon, "Loyalism and neutrality" in Greene and Pole, A Companion to the American Revolution (2000) ms.235
  3. ^ Charles W. Toth, Liberte, Egalite, Fraternite: The American Revolution & the European Response. (1989) ms. 26.
  4. ^ ms 101, Philosophical Tales, oleh Martin Cohen, (Blackwell 2008)
  5. ^ Robert E. Shalhope, "Toward a Republican Synthesis," William and Mary Quarterly, 29 (Jan. 1972), ms 49-80
  6. ^ Bernard Bailyn, The Ideological Origins of the American Revolution (1967)
  7. ^ Gordon S. Wood The Radicalism of the American Revolution (1992) ms 174-5
  8. ^ Bonomi, ms 186
  9. ^ David Gelernter, Americanism, the Fourth Great Western Religion, (2007). ms 64,71,81,96
  10. ^ Michael Novak, "On Two Wings. Humble Faith and Common Sense at the American Founding", (2002), ms. 15
  11. ^ Novak, ms. 15
  12. ^ Bonomi, ms. 186, Bab7 “Religion and the American Revolution
  13. ^ Miller (1943)
  14. ^ Greene & Pole (1994) bab 15
  15. ^ Greene & Pole (1994) bab 11
  16. ^ Middlekauff ms. 62.
  17. ^ William S. Carpenter, "Taxation Without Representation" dalam Dictionary of American History, Volume 7 (1976); Miller (1943)
  18. ^ Pauline Maier, From Resistance to Revolution: Colonial Radicals and the Development of American Opposition to Britain, 1765-1776 (1972)
  19. ^ Greene & Pole (1994) bab 22-24

Pautan luar

sunting
  NODES
Done 1
Story 1