Terjun udara adalah satu kaedah bergerak dari suatu titik tinggi ke Bumi dengan bantuan tarikan graviti yang melibatkan kawalan kelajuan semasa menurun dengan menggunakan payung terjun. Ia mungkin melibatkan lebih kurang terjunan bebas yang merupakan satu tempoh di mana payung terjun tidak dilepaskan dan badan manusia secara beransur-ansurnya memecut mencapai halaju terminal.

Anggota-anggota Kumpulan Taktik Khas ke-720 Tentera Udara Amerika Syarikat ditugaskan melakukan terjunan udara bebas.

Terjunan sebegini pertama kalinya dalam sejarah dibuat oleh Andre-Jacques Garnerin, pencipta payung terjun, pada 22 Oktober 1797. Garnerin menguji alat ciptaannya dengan melompat dari belon udara hidrogen setinggi 3200 meter dari bumi Paris. Reka bentuk payung terjun tersebut jauh berbeza dengan rekaan payung terjun hari ini di mana ia tidak disimpankan ke dalam apa-apa jenis bekas dan ia tidak mempunyai tali pembuka.[1] Terjunan bebas yang sengaja dibuat dengan adanya tali pembuka tidak dilakukan sehingga lebih dari satu abad kemudian oleh seorang pelagak ngeri bernama Leslie Irvin pada tahun 1919.[2] Terjunan bebas sebelumnya telah dibuat pada 1914 oleh Georgia Broadwick, namun beliau hanya melakukan sedemikian tanpa dirancang kerana tersangkut pada tali statik garis yang diikat pada pesawatnya dan beliau terpaksa memotong tali berkenaan untuk menyelamatkan diri.[3]

Pihak tentera membangunkan teknologi payung terjun sebagai cara untuk menyelamatkan penerbang dari kecemasan di atas kapal belon dan pesawat sewaktu penerbangan, dan kemudiannya sebagai satu cara membawa askar ke medan perang. Pertandingan terjun udara bermula seawal tahun 1930-an, dan ia berkembang menjadi sukan antarabangsa pada tahun 1952.

Kegunaan biasa

sunting

Terjun udara dilakukan sebagai suatu kegiatan rekreasi dan sukan kompetitif yang dianggap sebagai sukan ekstrem kerana risiko yang dihadapi penerjun. Tentera moden menggunakan payung terjun untuk menghantar angkatan udara dan bekalan keperluan. Pasukan operasi khas biasanya menggunakan gerakan ini, terutamanya terjunan jenis bebas, sebagai kaedah penyisipan. Ahli bomba hutan kadangkalanya menggunakan terjun udara sebagai cara cepat mendekati lokasi berlakunya kebakaran hutan, terutama sekali jika lokasi tersebut terpencil atau tidak boleh dicapai pengangkutan biasa.

Perlakuan mengeluarkan diri daripada pesawat dan berpayung terjun sehingga selamat telah digunakan oleh juruterbang kapal (terutama juruterbang tentera dan anak kapal), dan penumpang untuk melarikan diri daripada sebuah pesawat yang tidak dapat mendarat dengan selamat. Sementarab cara melarikan diri ini agak jarang berlaku zaman moden, olah gerak ini yang biasa digunakan dalam Perang Dunia Pertama oleh juruterbang tentera serta digunakan secara meluas di sepanjang pertempuran udara yang berlaku pada Perang Dunia yang seterusnya. Pada zaman moden, cara yang paling biasa melarikan diri dari pesawat dalam kecemasan adalah melalui kerusi lenting. Sistem ini biasanya dikendalikan oleh juruterbang, anak kapal atau penumpang, dengan menarik peranti pengaktifan secara manual. Pada kebanyakan reka bentuk kerusi lenting, tindakan ini akan menyebabkan tempat duduk yang dianmbil sesiapa yang mendudukinya didorong keluar (atau "dilenting") jauh dari pesawat  sama ada melalui bahan peledak atau sistem dorongan roket. Setelah penumpang berjaya keluar daripada pesawat, kerusi lenting akan membuka payung terjun, walaupun ada juga beberapa model yang lebih lama yang memerlukan pembukaan diaktifkan secara manual oleh penumpang.

Rujukan

sunting
  1. ^ "THIS DAY IN HISTORY: The first parachutist". History.com.
  2. ^ Stamp, Jimmy (7 Mac 2013). "An Early History of the Parachute". Smithsonian.com.
  3. ^ Hanser, Kathleen (12 Mac 2015). "Georgia "Tiny" Broadwick's Parachute" (dalam bahasa Inggeris). Muzium Udara dan Angkasa Smithson, Amerika Syarikat. Dicapai pada 26 Ogos 2016.
  NODES