Dalam mitologi Yunani, Agamemnon (Bahasa Yunani Kuno: Ἀγαμέμνων Agamémnōn) ialah raja Mykenai yang mengepalai puak Akhaia semasa Perang Troia. Dia ialah anak (atau cucu) kepada Raja Atreus dan Permaisuri Aerope; abang kepada Menelaus; suami kepada Clytemnestra dan bapa kepada Iphigenia, Iphianassa, Electra, Laodike, Orestes dan Chrysothemis.[1] Legenda mengatakan dia raja Mykenai atau Argos, dianggap nama yang berbeza untuk tempat yang sama.[2] Agamemnon terbunuh selepas kembali dari Troia oleh Clytemnestra, ataupun dalam versi ceritanya yang lebih tua, oleh kekasih Clytemnestra iaitu Aegisthus.

Agamemnon
Raja Mykenai
Panglima puak Akhaia
Gambaran Agamemnon dari abad ke-5 SM, terduduk sambil memegang cogan alam.
Maklumat peribadi
Adik-beradikMenelaus
PasanganClytemnestra
AnakOrestes, Iphigenia, Electra, Chrysothemis, Iphianassa, Chryses

Etimologi

sunting

Namanya dalam bahasa Yunani, Ἀγαμέμνων, bermaksud "sangat tabah", "tidak tertunduk" atau "tekad".[3] Perkataan ini berasal daripada *Ἀγαμέδμων (*Agamedmōn) daripada ἄγαν, "sangat banyak" dan μέδομαι, "fikirkan".[4]

Penerangan

sunting

Dalam penceritaan oleh Dares dari Phrygia, Agamemnon seseorang yang "...[berbadan putih], besar, dan berkuasa. Dia fasih, bijaksana dan mulia, seorang lelaki yang kaya raya" (Agamemnonem albo corpore, magnum, membris valentibus, facundum, prudentem, nobilem).[5]

Keturunan dan awal hidup

sunting

Agamemnon ialah keturunan Pelops, anak lelaki Tantalus.[6] Menurut cerita lazim (seperti yang diceritakan dalam Iliad dan Odysseia karya Homer), Agamemnon dan adik lelakinya Menelaus ialah anak-anak Atreus, raja Mykenai, dan Aerope anak perempuan kepada Catreus, raja Kriti.[7] Walau bagaimanapun, menurut tradisi lain, Agamemnon dan Menelaus adalah anak kepada anak lelaki Atreus Pleisthenes, dengan ibu mereka ialah sama ada Aerope, Cleolla atau Eriphyle. Dalam tradisi ini, Pleisthenes mati muda, dengan Agamemnon dan Menelaus dibesarkan oleh Atreus.[8] Agamemnon mempunyai saudara perempuan Anaxibia (atau Astyoche) yang berkahwin dengan Strophius, anak kepada Crisus.[9]

 
Lukisan dari abad ke-4 SM menggambarkan Chryses cuba menebus anak perempuannya Chryseis daripada Agamemnon.

Bapa Agamemnon, Atreus, membunuh anak lelaki saudara kembarnya Thyestes dan memberi mereka makan kepada Thyestes selepas mendapat tahu Thyestes bermukah dengan isteri dia Aerope. Thyestes kemudian dapat seorang anak lelaki bernama Aegisthus dengan anak perempuannya sendiri, Pelopia, dan anak lelaki itu bersumpah untuk membalas dendam terhadap anak-anak Atreus. Aegisthus membunuh Atreus, mengembalikan Thyestes ke takhta, dan mengambil alih takhta Mykenai dan memerintah bersama-sama dengan bapanya. Dalam tempoh ini, Agamemnon dan saudaranya Menelaus berlindung dengan Tyndareus, Raja Sparta.[10]

Di Sparta, Agamemnon dan Menelaus masing-masing berkahwin dengan anak perempuan Tyndareus, Clytemnestra dan Helen. Dalam beberapa cerita (seperti Iphigenia di Aulis oleh Euripides) Clytemnestra sudah pun berkahwin dengan Tantalus, dan Agamemnon membunuh dia dan anak lelaki mereka lalu berkahwin dengan Clytemnestra.[11][12]

Agamemnon dan Clytemnestra mempunyai empat anak: seorang lelaki, Orestes, dan tiga anak perempuan, Iphigenia, Electra dan Chrysothemis. Menelaus menggantikan Tyndareus di Sparta, manakala Agamemnon, dengan bantuan adik lelakinya, mengusir Aegisthus dan Thyestes untuk merampas balik kerajaan bapanya. Dia meluaskan jajahannya dengan penaklukan dan menjadi pemerintah paling berkuasa di Yunani.[10]

Sejarah keluarga Agamemnon tercemar dengan pembunuhan, sumbang mahram, dan pengkhianatan, akibat daripada jenayah kejam yang dilakukan oleh moyangnya, Tantalus, dan juga sumpahan yang dikenakan ke atas Pelops, anak kepada Tantalus, oleh Myrtilus, yang telah dibunuhnya. Oleh itu, malapetaka menyerang keturunan Kerabat Atreus, sehingga ia ditebus oleh Orestes di mahkamah keadilan yang dianjurkan sama-sama oleh para manusia dan dewa.

Perang Troia

sunting

Berlayar ke Troia

sunting
 
Pengorbanan Iphigenia oleh Charles de La Fosse

Agamemnon mengumpulkan pasukan Yunani yang berat hati untuk belayar ke Troia. Untuk merekrut Odysseus, yang berpura-pura gila supaya tidak perlu pergi berperang, Agamemnon menghantar Palamedes, yang mengancam untuk membunuh bayi Odysseus Telemachus. Odysseus terpaksa berhenti berpura-pura demi anaknya dan ikut pasukan Yunani.[13] Semasa hendak berlepas dari Aulis, sebuah pelabuhan di Boeotia, tentera Agamemnon menimbulkan kemarahan dewi Artemis, tetapi setiap mitos menceritakan sebab-sebab yang berbeza. Dalam lakonan Agamemnon Aiskhilos, Artemis marah kerana dia meramalkan bahawa begitu ramai pemuda akan mati di Troia, manakala dalam Electra Sophokles, Agamemnon telah membunuh binatang suci Artemis, dan riak dirinya setara dengan Artemis dalam memburu. Nasib malang, termasuk wabak dan angin mati, menghalang tentera mereka daripada belayar. Akhirnya, ahli nujum Calchas mengumumkan bahawa kemurkaan dewi itu hanya dapat diredakan dengan mengorbankan anak perempuan Agamemnon, Iphigenia.

Terdapat kekhilafan antara drama klasik tentang betapa relanya Agamemnon atau anak perempuannya menerima nasib ini; ada yang menceritakan tipu daya seperti mendakwa Iphigenia akan berkahwin dengan Akhilleus, tetapi Agamemnon akhirnya mengorbankan Iphigenia. Kematiannya menenangkan Artemis dan tentera Yunani berangkat ke Troia. Ada beberapa alternatif kepada korban manusia ini dalam mitologi Yunani. Sumber lain, seperti Iphigenia di Aulis, mengatakan bahawa Agamemnon sedia membunuh anaknya tetapi Artemis menerima seekor rusa sebagai gantinya dan membawanya pergi ke Tauris di Semenanjung Krimea. Walau bagaimanapun, versi ini secara meluas dianggap satu penambahan dan bukan ditulis oleh Euripides.[14] Hesiodos berkata dia lalu menjadi dewi Hecate.

Semasa perang, tetapi sebelum peristiwa Iliad, Odysseus menyusun rancangan untuk membalas dendam terhadap Palamedes kerana mengugut nyawa anaknya. Dengan memalsukan surat daripada Priam, raja Troia, dan membubuh sedikit emas di khemah Palamedes, Odysseus menuduh Palamedes telah berbuat khianat dan Agamemnon mengarahkannya untuk direjam hingga mati.[15]

 
Akhilleus menyerahkan Briseis kepada Agamemnon. Dari Rumah Penyair Tragis di Pompeii, fresko, abad pertama Masihi, kini di Muzium Arkeologi Negara Naples

Iliad mengisahkan pertengkaran antara Agamemnon dan Akhilleus pada tahun akhir perang. Dalam Buku Satu, berikutan salah satu serbuan Tentera Akhaia, Chryseis, anak perempuan Chryses dan salah seorang pendeta Apollo, telah diambil sebagai rampasan perang oleh Agamemnon. Chryses merayu kepada Agamemnon untuk membebaskan anak perempuannya tetapi gagal. Chryses kemudian berdoa kepada Apollo supaya anaknya kembali dengan selamat. Apollo menunaikannya dengan mengutuskan wabak ke atas Tentera Akhaia. Nujum Calchas memberitahu bahawa wabak itu boleh dihilangkan dengan mengembalikan Chryseis kepada bapanya. Selepas memarahi Calchas kerana ramalannya yang pedih, mula-mula memaksanya mengorbankan anaknya dan sekarang memulangkan gundiknya, Agamemnon dengan berat hati bersetuju. Walau bagaimanapun, Agamemnon menuntut hadiah baharu daripada tentera itu sebagai pampasan dan merampas hadiah Akhilleus, Briseis yang jelita. Ini menimbulkan dendam maut antara Akhilleus dan Agamemnon, menyebabkan Akhilleus menarik diri daripada pertempuran dan enggan berlawan.

Agamemnon kemudian dilawat dalam mimpi oleh Zeus memberitahunya untuk mengumpulkan pasukannya dan serang Troia (dalam Buku Dua). Selepas beberapa hari bertempur, termasuk pertarungan antara Menelaus dan Paris, dan antara Ajax dan Hector, Tentera Akhaia dipaksa berundur ke kubu di sekeliling kapal mereka. Dalam Buku Sembilan, Agamemnon, setelah menyedari kepentingan Akhilleus untuk menang perang itu, menghantar wakil memohon agar Akhilleus kembali, menawarkan dia harta dan anaknya untuk dikahwini. Akhilleus enggan, hanya kembali berlawan apabila Patroclus terbunuh dalam pertempuran oleh Hector, anak sulung Raja Priam dan Ratu Hecuba. Dalam Buku Sembilan Belas, Agamemnon, setelah berdamai dengan Akhilleus, memberinya ganjaran yang ditawarkan untuk kembali berperang. Akhilleus lalu mengundurkan tentera Troia dan bertarung dengan Hector. Selepas Hector mati, Agamemnon membantu Akhilleus mengebumikan Patroclus dalam Buku Kedua Puluh Tiga. Agamemnon menawarkan diri dalam pertandingan merejam lembing, salah satu permainan yang diadakan untuk menghormati Patroclus, tetapi kemahirannya melembing sangat terkenal sehingga Akhilleus memberikannya hadiah tanpa bertanding.

Walaupun tidak seberani Akhilleus, Agamemnon ialah wakil "kuasa raja". Sebagai panglima besar, dia memanggil para pemimpin lain untuk bermesyuarat dan memimpin mereka dalam pertempuran. Silap utamanya ialah kesombongannya; terlalu besar kepala dengan kedudukannya menyebabkan dia menghina Chryses dan Akhilleus, yang menimpakan bencana besar ke atas puak Yunani.[10]

Agamemnon ialah panglima besar Yunani semasa Perang Troia. Semasa bertempur, Agamemnon membunuh Antiphus dan lima belas askar Troia yang lain, menurut satu sumber.[16] Dalam Iliad pula, dia dikatakan telah membantai ratusan lagi dalam Buku Sebelas semasa aristeanya, diterjemahkan lebih kurang kepada "hari gemilang", yang paling mirip dengan aristea Akhilleus dalam Buku Dua Puluh Satu. Malah sebelum aristeanya, Agamemnon dianggap salah satu daripada tiga pahlawan terbaik dalam puak Yunani, yang terbukti apabila Hector mencabar mana-mana juara Yunani untuk bertarung dengannya dalam Buku Tujuh, dan Agamemnon (bersama Diomedes dan Ajax yang Lebih Besar) adalah salah satu antara tiga orang yang Hector paling ingin tarungi daripada sembilan pahlawan Yunani terkuat yang menawarkan diri.

Tamat perang

sunting
 
Babak Ajax membunuh diri pada tembikar Yunani oleh Exekias, kini dipamerkan di Château-musée de Boulogne-sur-Mer

Dalam Ajax oleh Sophokles, selepas Akhilleus mati dalam pertempuran, Agamemnon dan Menelaus memberikan baju besi Akhilleus kepada Odysseus. Ini menyebabkan Ajax sangat marah kerana dia fikir dia layak mendapat perisai itu sebagai pahlawan terkuat di kalangan Akhaia. Ajax terfikir hendak membunuh mereka tetapi sebaliknya Athena membuatnya gila. Ajax kemudian membunuh semua pengembala dan lembu yang belum dibahagikan sebagai rampasan perang. Merasa malu dengan tindakannya, Ajax membunuh diri. Semasa mati, Ajax menyumpah Agamemnon dan Menelaus, serta seluruh tentera Akhaia. Agamemnon dan Menelaus hampir meninggalkan mayat Ajax mereput tanpa dikebumikan, tetapi mereka dipujuk oleh Odysseus dan adik tiri Ajax, Teucer.[17] Selepas penaklukan Troia, Agamemnon mendapat Cassandra, anak perempuan Priam dan seorang nabiah, sebagai sebahagian daripada hadiah perang.[10]

Kembali ke Yunani dan akhir hayat

sunting
 
Pembunuhan Agamemnon, ilustrasi daripada Stories from the Greek Tragedians oleh Alfred Church, 1897.

Selepas pelayaran penuh ribut, Agamemnon dan Cassandra mendarat di Argolis—atau kalau dalam versi lain, tersasar dan mendarat di negeri Aegisthus. Clytemnestra, isteri Agamemnon, telah curang bersama Aegisthus anak lelaki Thyestes. Apabila Agamemnon pulang, dia dibunuh oleh Aegisthus (dalam versi tertua kisah ini)[18] atau oleh Clytemnestra. Menurut penceritaan oleh Pindar dan ahli-ahli tragedi, Agamemnon dibunuh di tempat mandi dan oleh isterinya sahaja, selepas dilemparkan selimut atau jala ke atasnya.[19] Ini juga diceritakan dalam Oresteia karya Aiskhilos.[20]

 
Orestes membunuh Clytemnestra

Dalam versi Homer dalam Odysseia, Aegisthus menyerang hendap dan membunuh Agamemnon dalam dewan keraian dengan berpura-pura mengadakan jamuan sempena kepulangan Agamemnon dari Troia.[21] Clytemnestra juga membunuh Cassandra. Dia didorong oleh kemarahannya kerana Iphigenia dikorbankan (seperti dalam Oresteia dan Iphigenia di Aulis) dan kecemburuannya terhadap Cassandra dan hadiah-hadiah perang lain yang diambil oleh Agamemnon (seperti dalam Odysseia dan karya-karya Ovidius).[10][22]

Aegisthus dan Clytemnestra kemudian memerintah kerajaan Agamemnon untuk suatu masa. Aegisthus percaya dia berhak membalas dendam atas jenayah Atreus terhadap Thyestes (Thyestes kemudiannya menjerit "dengan itu binasalah seluruh keturunan Pleisthenes!",[23] dan Aegisthus percaya tindakannya halal kerana sumpahan ini). Anak lelaki Agamemnon, Orestes kemudiannya membalas dendam atas pembunuhan bapanya, dengan bantuan atau sokongan kakaknya Electra, dengan membunuh Aegisthus dan Clytemnestra (ibunya sendiri). Ini mendatangkan kemurkaan Erinyes, dewi-dewi bersayap yang menjejaki pesalah dengan hidung anjing mereka dan membuat mereka gila.

Sumpahan Keturunan Atreus

sunting

Seluruh keluarga Agamemnon penuh dengan nasib malang, akibat beberapa sumpahan ke atas keluarga mereka. Sumpahannya bermula dengan moyang Agamemnon, Tantalus, yang disukai Zeus sehinggalah dia cuba memberi anaknya Pelops kepada para dewa untuk menguji kemahatahuan mereka, serta mencuri beberapa ambrosia dan nektar. Tantalus lalu dibuang ke alam ghaib, di mana dia berdiri di dalam kolam air yang menjadi wap setiap kali dia mencapai ke bawah untuk minum, dan di atasnya sebatang pokok buah yang dahannya ditiup angin jauh dari capaiannya apabila dia cuba mencapai buahnya.[24] Inilah permulaan sumpahan keturunan Atreus, dan semua zuriatnya menghadapi nasib yang sama atau lebih teruk.[25]

 
Salasilah keturunan Atreus

Kemudian, Pelops menggunakan hubungannya dengan dewa Poseidon untuk dapat sebuah kereta kuda supaya dia boleh mengalahkan Oenomaus, raja Pisa, dalam perlumbaan. Dia ingin memenangi tangan anak perempuan Oenomaus, Hippodamia. Seorang lagi bernama Myrtilus membantu Pelops dalam beberapa versi untuk menang perlumbaan kereta kuda itu. Kemudian Myrtilus cuba meniduri dengan isteri baharu Pelops iaitu Hippodamia. Pelops, dalam keadaan marah, mencampak Myrtilus dari tebing. Sebelum jatuh, Myrtilus menyumpah Pelops dan seluruh keturunannya. Pelops dan Hippodamia mendapat ramai anak, seperti Atreus dan Thyestes, yang dikatakan membunuh saudara tiri mereka Chrysippus. Pelops menghantar Atreus dan Thyestes pergi ke Mykenai, di mana Atreus menjadi raja. Kemudian, Thyestes bersubahat dengan isteri Atreus, Aerope, untuk menggantikan Atreus tetapi mereka gagal. Atreus kemudian membunuh anak lelaki Thyestes, memasaknya dan memberinya makan kepada Thyestes. Selepas itu, Atreus menunjukkan tangan dan kaki anaknya kepada Thyestes. Mengikut nasihat seorang takahun, Thyestes mendapat seorang anak lelaki dengan anak perempuannya sendiri, Pelopia. Pelopia cuba mendedahkan kebenaran tentang bayi itu, Aegisthus, tetapi sebaliknya seorang penggembala menemuinya dan membesarkannya di rumah Atreus. Apabila Aegisthus membesar, Thyestes memberitahu kebenaran kelahirannya, dan Aegisthus membunuh Atreus.[26]

Atreus dan Aerope mempunyai tiga anak, Agamemnon, Menelaus dan Anaxibia. Sumpahan keturunan Atreus termanifestasi dalam beberapa peristiwa sepanjang hidup mereka. Agamemnon terpaksa mengorbankan anak perempuannya sendiri, Iphigenia, untuk menenangkan para dewa dan membenarkan tentera Yunani belayar ke Troia. Apabila Agamemnon enggan mengembalikan Chryseis kepada bapanya Chryses, dia mendatangkan wabak ke atas puak Yunani. Dia juga kemudiannya dibunuh oleh isterinya, Clytemnestra, yang bersekongkol dengan kekasih barunya Aegisthus untuk membalas dendam atas kematian Iphigenia. Isteri Menelaus, Helen dari Troia, melarikan diri dengan Paris, akhirnya mencetuskan Perang Troia. Menurut buku 4 Odysseia, selepas perang armadanya diserakkan oleh para dewa ke Mesir dan Kreta. Apabila Menelaus akhirnya pulang ke rumah, perkahwinannya dengan Helen menjadi tegang dan mereka tidak mendapat seorang pun anak lelaki.[21] Kedua-dua Agamemnon dan Menelaus disumpah oleh Ajax kerana tidak memberikannya perisai Akhilleus sambil dia membunuh diri.[17]

Agamemnon dan Clytemnestra mempunyai tiga orang anak lagi: Electra, Orestes dan Chrysothemis. Selepas dewasa dan didesak oleh Electra, Orestes bersumpah untuk menuntut bela ayahnya Agamemnon dengan membunuh ibunya Clytemnestra dan Aegisthus. Selepas berjaya, dia meronta-ronta di perdesaan Yunani selama bertahun-tahun, dihantui oleh para Erinyes (Furies) kerana dosanya. Akhirnya, dengan bantuan Athena dan Apollo dia dibebaskan daripada jenayahnya, merungkaikan sumpahan keturunan Atreus.[25]

Cerita-cerita lain

sunting

Athenaeus menceritakan kisah bagaimana Agamemnon meratapi kehilangan rakan atau kekasihnya Argynnus, semasa dia lemas di sungai Cephisus.[27] Dia menguburkannya, mendirikan makam dan keramat kepada Aphrodite Argynnis.[28] Kisah ini juga ditemui dalam karya Clemens dari Iskandariah,[29] Stefanos dari Byzantium (Kopai dan Argunnos), dan dalam Propertius, III dengan sedikit kelainan.[30]

Nasib Agamemnon telah menjadi subjek pelbagai tragedi, kuno dan moden. Yang paling terkenal ialah Oresteia oleh Aiskhilos. Dalam legenda-legenda Peloponnesos, Agamemnon dianggap sebagai raja yang berkuasa tertinggi, dan di Sparta dia dipuja dengan gelaran Zeus Agamemnon. Makamnya dikatakan berada antara di runtuhan-runtuhan Mykenai dan Amyclae.

Dalam karya-karya seni, terdapat banyak persamaan antara gambaran Zeus, raja para dewa, dan Agamemnon, raja manusia. Dia biasanya digambarkan dengan cogan alam dan gandik, objek-objek konvensional raja.

Kuda betina Agamemnon bernama Aetha. Ia juga salah satu daripada dua kuda yang dipandu oleh Menelaus dalam sukan pengebumian Patroclus.[31]

Dalam Odysseia oleh Homer, Agamemnon muncul di kerajaan Hades selepas mati. Di sana, bekas raja itu bertemu Odysseus dan menerangkan bagaimana dia dibunuh, lalu memberi Odysseus amaran tentang bahaya mempercayai wanita.[32]

Agamemnon ialah watak dalam drama Troilus dan Cressida karya William Shakespeare, berlatarkan Perang Troia.

Dalam Dune oleh Frank Herbert, Keturunan Atreides mempunyai susur galur ke Keturunan Atreus. Pada titik penting dalam Children of Dune, Alia Atreides, semasa bergelut dengan kenangan nenek moyangnya, mendengar Agamemnon menjerit "Aku, moyang kamu Agamemnon, menuntut menghadap!"

Dalam media dan seni

sunting

Seni visual

sunting

Karya umum

sunting
 
Clytemnestra dan Agamemnon oleh Pierre-Narcisse Guérin

Dengan Iphigenia

sunting
 
Pengorbanan Iphigenia oleh Giovanni Battista Tiepolo

Dengan Akhilleus

sunting
 
Kemarahan Akhilleus oleh Jacques-Louis David

Gambaran dalam filem dan televisyen

sunting
  • Filem <i id="mwAdg">Helena</i> 1924 oleh Karl Wüstenhagen
  • Filem 1956 Helen of Troy oleh Robert Douglas
  • Filem 1961 The Trojan Horse oleh Nerio Bernardi
  • Filem 1962 The Fury of Achilles oleh Mario Petri
  • Filem 1962 Electra oleh Theodoros Dimitriou
  • Siri TV 1965 Doctor Who: The Myth Makers oleh Francis de Wolff
  • Minisiri TV 1968 The Odyssey oleh Rolf Boysen
  • Filem 1977 Iphigenia oleh Kostas Kazakos
  • Filem 1981 Time Bandits oleh Sean Connery
  • Siri TV 1994 “Babylon 5” arahan John Sheridan sebelum ini ialah EAS Agamemnon.
  • Minisiri TV 1997 The Odyssey oleh Yorgo Voyagis
  • Minisiri TV 2003 Helen of Troy oleh Rufus Sewell
  • Filem Troy 2004 oleh Brian Cox
  • Filem 2014 Mr. Peabody dan Sherman oleh Patrick Warburton
  • Minisiri TV 2018 Troy: Fall of a City oleh Johnny Harris

Petikan

sunting
  1. ^ Homer, Iliad 9.145.
  2. ^ Leeming, David (2005). "Argos". Oxford Companion to World Mythology. Oxford University Press. ISBN 0-19-515669-2.
  3. ^ Graves, Robert (2017). The Greek Myths - The Complete and Definitive Edition. Penguin Books Limited. m/s. 418 & 682. ISBN 9780241983386.
  4. ^ R. S. P. Beekes, Etymological Dictionary of Greek, Brill, 2009, hlm. 8.
  5. ^ Dares Phrygius, History of the Fall of Troy 13. Latin.
  6. ^ For a discussion of the house of Tantalus see Gantz, pp. 531–556. For Agamemnon's genealogy see, Grimal, p. 526, Table 2, and p. 534, Table 13.
  7. ^ Grimal, s.v. Menelaus; Hard, hlm. 355 Diarkibkan 2022-01-13 di Wayback Machine, 507 Diarkibkan 2021-05-19 di Wayback Machine, 508 Diarkibkan 2021-05-06 di Wayback Machine; Collard dan Cropp 2008a, hlm. 517; Gantz, hlm. 552; Parada, s.v. Agamemnon; Euripides, Helen 390–392 Diarkibkan 2021-05-17 di Wayback Machine, Orestes 16 Diarkibkan 2021-04-30 di Wayback Machine; Hyginus, Fabulae 97 Diarkibkan 2019-03-29 di Wayback Machine; Apollodorus, E.3.12 Diarkibkan 2021-04-30 di Wayback Machine; Scholia pada Iliad 1.7 (memetik "Homer" = Hesiod Catalogue of Women fr. 137a Most) dan Scholia pada Tzetzes, Exegesis in Iliadem 1.122 (memetik "Homer" = Hesiod Catalogue of Women fr. 137c Most). Mereka juga anak-anak lelaki Atreus, dalam Iliad dan Odysseia, lihat contohnya Iliad 11.131 Diarkibkan 2021-04-30 di Wayback Machine, Odyssey 4.462, namun Aerope tidak disebutkan (lihat Gantz, hlm. 522). Lihat juga Euripides, Iphigenia in Tauris 4–5 Diarkibkan 2021-06-07 di Wayback Machine, (Atreus sebagai bapa, tidak menyebut ibu); Hesiodos Catalogue of Women fr. 138 Most [= fr. 195 MW], dan Sophokles, Ajax 1295–1297 Diarkibkan 2021-05-02 di Wayback Machine (Aerope sebagai ibu, tidak menyebut bapa).
  8. ^ Hard, hlm. 355 Diarkibkan 2022-01-13 di Wayback Machine, 508 Diarkibkan 2021-05-06 di Wayback Machine; Collard dan Cropp 2008a, p. 517; Collard dan Cropp 2008b, hlm. 79; Gantz, hlm. 552–553; Parada, s.v. Agamemnon. Untuk Aerope sebagai ibu lihat: Apollodorus, 3.2.2 Diarkibkan 2021-12-17 di Wayback Machine; Dictys Cretensis, 1.1 Diarkibkan 2020-11-11 di Wayback Machine; Scholia pada Iliad 1.7 (memetik "Hesiodos" = Hesiod Catalogue of Women fr. 137a Most) dan Scholia pada Tzetzes Exegesis in Iliadem 1.122 (memetik "Hesiodos" = Hesiod Catalogue of Women fr. 137c Most). Untuk Cleolla, lihat Tzetzes, Exegesis in Iliadem 1.122 (memetik "Hesiod, Aeschylus, dan beberapa yang lain" = Hesiod Catalogue of Women fr. 137b Most). Untuk Eriphyle lihat Gantz, hlm. 553 (memetik Scholia pada Euripides Orestes 4).
  9. ^ Hard, hlm. 566 Diarkibkan 2021-06-24 di Wayback Machine; Gantz, hlm. 223; Parada, s.vv. Anaxibia 4, Astyoche 6. Untuk Anaxibia sebagai adik perempuan lihat Pausanias, 2.29.4; Dictys Cretensis, 1.1 Diarkibkan 2020-11-11 di Wayback Machine; Tzetzes, Exegesis in Iliadem 1.122 (= Hesiod Catalogue of Women fr. 137b Most); Scholia pada Tzetzes Exegesis in Iliadem 1.122 (= Hesiod Catalogue of Women fr. 137c Most). Untuk Astyoche sebagai adik perempuan lihat Hyginus, Fabulae 117 Diarkibkan 2019-03-29 di Wayback Machine.
  10. ^ a b c d e Chisholm 1911.
  11. ^ Euripides. "Iphigenia in Aulis, baris 1148-1152". Poetry in Translation.
  12. ^ Tzetzes, John. "Chiliades 1.18 baris 463-465". Classical Texts Library.
  13. ^ "APOLLODORUS, THE LIBRARY EPITOME - Theoi Classical Texts Library". www.theoi.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 2021-05-18. Dicapai pada 2021-05-18.
  14. ^ Richard Rutherford, dalam John Davie (tr.), Euripides: The Bacchae and Other Plays, London, Penguin, 2005, hlm. 174, 326–7.
  15. ^ "Ovid, Metamorphoses XII-XV". www.gutenberg.org. Diarkibkan daripada yang asal pada 2022-03-03. Dicapai pada 2021-05-18.
  16. ^ Hyginus, Fabulae 114 Diarkibkan 2019-03-29 di Wayback Machine.
  17. ^ a b "Sophocles - The Seven Plays". www.gutenberg.org. Diarkibkan daripada yang asal pada 2021-06-05. Dicapai pada 2021-06-04.
  18. ^ Homeros, Odyssey 3:266
  19. ^ Aeschylus, Agamemnon 1381–1385 Diarkibkan 2022-03-19 di Wayback Machine.
  20. ^ Aeschylus. Oresteia. Disunting oleh C. (Christopher) Collard, Oxford University Press, 2017.
  21. ^ a b Homer (2003). The Odyssey. New York: Barnes and Noble Classics. m/s. 48–49, 140. ISBN 9781593080099. Ralat petik: Tag <ref> tidak sah, nama ":3" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza
  22. ^ Haynes, Natalie (28 Mac 2022). "Is Clytemnestra an Archetypically Bad Wife or a Heroically Avenging Mother?". Literary Hub. Dicapai pada 15 Mei 2023.
  23. ^ Aeschylus, Agamemnon, 1602.
  24. ^ "Pindar, Olympian, Olympian 1 For Hieron of Syracuse Single Horse Race 476 B. C." www.perseus.tufts.edu. Diarkibkan daripada yang asal pada 2021-02-27. Dicapai pada 2021-05-18.
  25. ^ a b "The Project Gutenberg eBook of The House of Atreus by Aeschylus". www.gutenberg.org. Diarkibkan daripada yang asal pada 2021-02-10. Dicapai pada 2021-05-18. Ralat petik: Tag <ref> tidak sah, nama ":1" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza
  26. ^ "Apollodorus, Epitome, book E, chapter 2". www.perseus.tufts.edu. Diarkibkan daripada yang asal pada 2021-06-05. Dicapai pada 2021-06-04.
  27. ^ Lewis, Charlton T.; Short, Charles. "Argynnus". A Latin Dictionary. Perseus Project. Diarkibkan daripada yang asal pada 16 October 2012. Dicapai pada 16 September 2011.
  28. ^ Athenaeus, Deipnosophistae ('Para Penjamu Terpelajar') 13.603d-e.
  29. ^ Clement dari Iskandariah, Protrepticus II.38.2
  30. ^ Butler, Harold Edgeworth & Barber, Eric Arthur, eds. (1933) The Elegies of Propertius. Oxford: Clarendon Press; hlm. 277
  31. ^ Pausanias, 5.8.3 Diarkibkan 2022-03-19 di Wayback Machine; Ploutarkhos, Moralia. How the Young Man Should Study Poetry 12.
  32. ^ Homer, Odyssey 11.385–465 Diarkibkan 2022-03-19 di Wayback Machine.

Rujukan umum

sunting

Sumber sekunder

sunting

Sumber primer

sunting

Pautan luar

sunting
  NODES
Note 1
Project 2