Azan dan iqamat

lafaz


Bahasa Arab
أَذَان
Transliterasi
azan
Terjemahan
panggilan sembahyang

Azan (Arab: أَذَان, rumi: adzān terbitan kata kerja Arab: أَذِنَ, rumi: adzina "mendengar"[1]) atau bang (Jawi: باڠ, dalam sesetengah dialek[2]) adalah satu lafaz khusus yang diamalkan oleh penganut agama Islam sebagai tanda untuk menyatakan masuknya waktu solat fardu supaya orang-orang Mukmin boleh diseru supaya bergesa berkumpul untuk mengerjakan solat fardu. Iqamat (Arab: إِقَامَة, rumi: iqāmah terbitan kata kerja َقَام qāma "berdiri; bangkit; bangun"[3]) bermaksud sebutan tertentu untuk memberitahu para jemaah untuk mula mengerjakan solat.

Latar belakang

sunting

Dari segi bahasa, azan bermaksud ialah “al-i`lam” (pemberitahuan) atau “an-nida’” (seruan). Azan ialah suatu gabungan perkataan-perkataan tertentu untuk menandakan waktu solat fardu atau boleh diertikan sebagai pemberitahuan tentang waktu solat. Penandaan ini dibuat dengan melaungkan dengan lafaz-lafaz tertentu.

Hukum melaungkan azan adalah sunat muakkad ketika hendak mendirikan sembahyang fardhu. Melaungkan azan juga adalah satu Fardu Kifayah bagi sesuatu kumpulan, dan tuntutan sunatnya terlaksana walaupun tidak dilakukan oleh semua ahli kumpulan tersebut. Bagi individu pula, ia merupakan satu sunat aini atau, dan pahala sunat akan diperolehi apabila seseorang itu melakukannya. Bagi kaum wanita, disunatkan melakukan Iqamat sahaja kerana dikhuatiri boleh menimbulkan fitnah apabila meninggikan suara mereka.

Al-Quran, as-Sunnah dan al-Ijmak menyatakan melaungkan azan mempunyai banyak kelebihan dan pahala yang besar. Dalil daripada Al-Quran ialah Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Jika kamu dipanggil (diseru) untuk sembahyang...” (Surah al-Ma’idah: 58)

Dalil daripada as-Sunnah pula merangkumi banyak hadis. Antaranya ialah sebuah hadith yang bermaksud: “Apabila tiba waktu sembahyang hendaklah salah seorang kamu melakukan azan dan yang lebih tua daripada kamu hendaklah menjadi imam.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sejarah

sunting

Azan mula diamalkan oleh orang-orang Islam pada tahun pertama Hijrah.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim daripada Ibnu `Umar RA. “Pada mulanya ketika orang-orang Islam berhijrah ke Madinah, mereka berkumpul dan menunggu untuk mengerjakan sembahyang. Ketika itu tidak ada orang yang menyeru (melaungkan azan) untuk menunaikannya. Pada suatu hari Nabi telah mengumpulkan para sahabat untuk bermesyuarat tentang cara untuk memberitahu masuknya waktu solat serta mengajak orang ramai agar ke masjid melakukan solat jemaah.

Dalam mesyuarat itu, terdapat beberapa cadangan. Ada yang mencadangkan supaya dikibarkan bendera sebagai tanda waktu solat, ada yang mencadangkan ditiup serunai ataupun trompet; dan ada yang mencadangkan supaya dibunyikan loceng. Semua usul yang diajukan telah ditolak oleh Rasulullah (kerana meniup serunai atau trompet dan memukul loceng adalah cara pemanggilan sembahyang bagi masyarakat Yahudi dan Nasrani (Kristian). Umar bin al-Khattab mencadangkan diteriakkan ucapan: “Telah datang waktu solat”. Usul ini telah diterima oleh Rasulullah tetapi baginda menukar lafaz itu dengan lafaz “assolatu jami`ah” yang bererti “marilah solat berjemaah”.

Pada suatu malam Abdullah bin Zaid telah bermimpi mengenai cara yang lebih baik untuk memberitahu solat dengan mengumandangkanlah Allahu Akbar... (dan seterusnya lafaz-lafaz azan)”. Pada pagi harinya, Abdullah bin Zaid menemui Rasulullah dan baginda bersabda: “Mimpimu itu mimpi yang benar”. Nabi memerintahkan Bilal bin Rabah mengumandangkan azan tersebut. Ketika Bilal hendak menyerukan azan, Umar datang kepada Rasulullah dan menceritakan bahawa beliau juga bermimpi seperti Abdullah bin Zaid.

Al-Bazzar meriwayatkan bahawa: “Rasulullah pada malam Israk telah diperlihatkan dengan azan dan diperdengarkan kepadanya di atas langit yang ketujuh. Kemudian Jibril mendatanginya, lalu dia menjadi imam kepada ahli langit. Antara mereka ialah Nabi Adam a.s. dan Nabi Nuh a.s. Maka Allah SWT menyempurnakan kemuliaan baginya ke atas penduduk langit dan bumi”.

Adab dan tertib

sunting

Lafaz azan terdiri daripada lima belas kalimah. Ia dilaungkan sebanyak dua kali bagi setiap lafaz kecuali Takbir pada awal azan disebut sebanyak empat kali dan lafaz kalimah tauhid hanya sekali sahaja.

Sebutan Bahasa Arab Transliterasi Terjemahan
2x الله اكبر Allah u Akbar Allah Maha Besar
2x اشهد ان لا اله الا الله Ash-hadu allā ilāha illallāh Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah
2x اشهد ان محمدا رسول الله Ash-hadu anna Muhammadan rasūlullāh Aku bersaksi bahawa Muhammad adalah Pesuruh Allah
2x حي على الصلاة Hayya 'alas-salāt Marilah menunaikan solat
2x حي على الفلاح Hayya 'alal-falāh Marilah merebut kemenangan
2x الصلاة خير من النوم Aṣ-ṣalātu khayru min an-naūm Solat itu lebih baik dari tidur*
2x الله اكبر Allāhu akbar Allah Maha Besar
1x لا اله الا الله Lā ilāha illallāh Tiada Tuhan selain Allah

* Barisan "Sembahyang itu lebih baik dari tidur" hanya digunakan untuk solat Subuh (fajr).

Orang yang melaungkan azan hendaklah seorang lelaki Muslim yang berakal. Azan mestilah dilakukan oleh seorang sahaja untuk semua kariah, dan tidak boleh dibuat berulang kali untuk kariah yang sama. Azan hendaklah dilafazkan dalam Bahasa Arab.

Azan dilaungkan ketika masuk waktu solat melainkan pada waktu Subuh. Waktu Subuh mempunyai dua azan di mana Azan pertama dilaungkan sebelum masuk waktu iaitu bermula waktunya selepas berlalu separuh malam untuk memberitahu Muslimin bahawa waktu Subuh sudah hampir. Azan kedua dikumandangkan ketika masuk waktu Subuh.

Untuk Solat Jumaat, azan berkumandang sebanyak dua kali, kali pertama untuk menandakan masuk waktu Zuhur untuk memanggil orang-orang Muslim ke masjid dan kali kedua dikumandangkan sejurus sebelum Imam memulakan Khutbah Jumaat. Iqamat dilafazkan selepas imam selesai membaca khutbah, dan sebelum imam mengangkat Takbir Jumaat.

Sunat Azan

sunting

Orang yang melaungkan azan (muazzin) mestilah suci daripada hadas kecil, hadas besar dan najis. Beliau juga hendaklah menghadap kiblat ketika mengumandangkan azan. Azan sunat dilafazkan oleh muazzin yang baik dan merdu suaranya serta nyaring. Azan hendaklah dinyaringkan biarpun didengar oleh salah seorang daripada jemaah ketika sembahyang berjemaah. Sekiranya tidak menggunakan pembesar suara, azan hendaklah dilaungkan di tempat yang tinggi. Penggunaan pembesar suara di merata tempat memaafkan perbuatan ini. Azan juga sunat dilakukan berdiri kecuali jika ada uzur.

Ketika muazzin membaca “hayya `ala as-salah”, muazzin hendaklah menghadapkan muka dan dadanya ke sebelah kanan dan ketika membaca “hayya `ala al-falah” menghadapkan muka dan dadanya ke sebelah kiri. Juga disunatkan melakukan tarji‘ semasa azan iaitu menyebut dua kalimah syahadah secara senyap sebelum dinyaringkan.

Disunatkan juga muazzin memasukkan dua anak jarinya ke dalam kedua telinganya dengan tujuan untuk meninggikan suara. muazzin tidak boleh bercakap ketika mengumandangkan azan. Orang-orang yang mendengar azan hendaklah menyahutnya secara perlahan-lahan dengan lafaz yang diucapkan oleh muazzin, kecuali pada lafaz “hayya `ala as-salah” dan “hayya `ala al-falah”. Kedua-duanya disahut dengan “la haula wala quwwata illa bi Allah” yang bermaksud “tiada daya dan kekuatan kecuali daripada Allah”.

Azan itu hendaklah dilakukan dengan Tertib dan Muwalat di antara lafaz azan dan Iqamat.

Al-Imam al-Nawawi di dalam Syarh Sahih Muslim menyebut lebih [4]:

"Dan ketahuilah bahawasanya disunatkan menjawab seruan muazzin sepertimana laungannya bagi setiap orang yang mendengarnya samaada yang berada dalam keadaan suci atau berhadath atau berjunub atau seorang perempuan yang Haid dan selain mereka dari kalangan orang yang tidak dilarang untuk menjawabnya. Adapun antara sebab larangan dari menjawab azan ialah jika berada di dalam tandas atau ketika sedang berjimak dengan pasangannya atau seumpama dengannya..."

Doa selepas Azan

sunting

Setelah selesai azan, doa berikut adalah sunat dibaca oleh muazzin dan penganut Muslim lain yang mendengar azan:

اللهم رب هذه الدعوة التامة والصلاة القائمة

Wahai Allah, Tuhan yang menguasai seruan yang sempurna ini dan solat yang sedang didirikan,

آت محمداً الوسيلة و الفضيلة
Datangkanlah Nabi Muhammad (kepadaku) sebagai penghubung (kepada Allah) dan keutamaan (bagiku),

وابعثه مقاماً محموداً الذي وعدته
Serta kedudukan yang terpuji yang telah Engkau janjikan untuknya.

(Riwayat Imam Bukhari).

Iqamat

sunting

Lafaz Iqamat mempunyai sebelas kalimah. Lafaz Iqamat adalah seperti berikut:

 

Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, الله اكبر الله اكبر āllahu ākbar, āllahu ākbar
Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah, اشهد ان لا اله الا الله āsh'hadu ān lā ilaha illā-llah
Aku bersaksi bahawa Muhammad adalah Pesuruh Allah, اشهد ان محمد رسول الله āsh'hadu ānna mūhammadār rasūlu-llah
Marilah menunaikan solat, حي على الصلاة hayyā `alā-s-salat
Marilah merebut kemenangan, حي على الفلاح hayyā `alā-l-falāh
Berdiri untuk sembahyang, (dua kali) قد قامت الصلاة qad qāma tis-salaat
Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, الله اكبر الله اكبر āllahu ākbar, āllahu ākbar
Tiada tuhan selain Allah لا اله الا الله lā ilaha illā-llah.

Iqamat disyaratkan tidak diselangi dengan diam yang lama di antaranya dengan takbiratul ihram kecuali sekadar imam menyuruh agar membetulkan saf. Iqamat hendaklah dilakukan dengan cepat kerana ia disyariatkan bagi memberitahu mereka yang telah hadir untuk mengerjakan sembahyang.

Teks Azan bagi Ahl Sunnah

sunting
Sebutan Bahasa Arab Transliterasi Terjemahan
4x الله اكبر Allah u Akbar Allah Maha Besar
2x اشهد ان لا اله الا الله Ash-hadu allā ilāha illallāh Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah
2x اشهد ان محمدا رسول الله Ash-hadu anna Muhammadan rasūlullāh Aku bersaksi bahawa Muhammad adalah Pesuruh Allah
2x حي على الصلاة Hayya 'alas-salāt Marilah menunaikan solat
2x حي على الفلاح Hayya 'alal-falāh Marilah merebut kemenangan
2x الصلاة خير من النوم Aṣ-ṣalātu khayru min an-naūm Solat itu lebih baik dari tidur*
2x الله اكبر Allāhu akbar Allah Maha Besar
1x لا اله الا الله Lā ilāha illallāh Tiada Tuhan selain Allah

*Dilafazkan hanya untuk Azan Subuh.


Azan Dan Iqamat untuk tujuan selain sembahyang

sunting

Selain untuk tujuan sembahyang, azan dan Iqamat juga sunat dilakukan untuk beberapa perkara lain: Azan juga sunat dibisikkan ke telinga kanan kanak-kanak (lelaki/perempuan)yang baru lahir, begitu juga sunat diiqamatkan pada telinga kiri. Ini adalah kerana Nabi Muhammad telah mengazankan telinga Hasan ketika beliau dilahirkan oleh Fatimah.

Azan juga digunakan sebagai isyarat untuk memaklumkan umat pada waktu mudarat ataupun bahaya seperti kebakaran ataupun waktu perang. Azan juga sering dilaungkan dalam keadaan gangguan dirasuk jin atau Syaitan.

Azan sebelum Subuh

sunting

Nabi bersabda yang bermaksud: 'Bilal akan melaungkan azan di sebelah malam, maka makanlah dan minumlah hingga Ibnu Ummi Maktum pula yang azan.'

lni bererti ketika 'Bilal melaungkan azan, harus bagi orang Islam bersahur, makan dan minum sehinggalah lbnu Ummi Maktum melaungkan azan menandakan masuk waktu sembahyang.

Dalam azan yang pertama disunatkan agar tidak menyebut 'الصلاة خير من النوم‎ "sembahyang itu lebih baik daripada tidur". Ini adalah satu perbezaan yang penting yang dapat membezakan di antara azan yang pertama dan azan yang kedua. Azan dalam bentuk ini disyaratkan pada waktu fajar dan orang ramai akan kenal suara azan pertama dan suara yang lain pada azan kedua.

Sejarah kelaziman

sunting

Di Turki

sunting

Sewaktu zaman 1920-an dan 1930-an, kerajaan İsmet İnönü (Presiden ke-2 Republik Turki) mengenakan azan bahasa Turki untuk menggantikan secara adat yang dalam bahasa Arab; sebagai percubaan, dan hanya dari segi perbandingan, berjaya, menggalakkan bahasa Turki sebagai kegunaan bahasa liturgi; dengan mengejutkan orang ramai. Larangan Azan bahasa Arab telah dimansuhkan pada 6 Jun 1950 selepas kejayaan pilihan raya berpihak kepada pembangkang.

Di Syria

sunting

Di Syria, Masjid Umaiyyad, sebuah masjid yang terletak di kota Damsyik yang telah dibina sejak zaman pemerintahan Bani Umaiyyah. Masjid tersebut melaungkan azan dalam bentuk laungan beramai-ramai ala koir. Alunan azan yang ditampilkan itu begitu indah sehingga dikatakan dapat mengharmonikan suasana kota sekeliling.

Di Singapura

sunting

Di Singapura, laungan Azan hanya dibolehkan untuk dikumandang dalam masjid-masjid saja, kerajaan Singapura tidak memperbolehkan suara azan dikumandangkan dengan kuat menerusi corong-corong pembesar suara di luar dari bangunan masjid.

Lihat pula

sunting

Rujukan

sunting
  1. ^ Abd. Rauf Dato' Haji Hassan; Abdul Halim Salleh; Khairul Amin Mohd Zain (2005). Kamus Bahasa Melayu-Bahasa Arab Bahasa Arab-Bahasa Melayu. Shah Alam: Oxford Fajar. m/s. 8–9. ISBN 967-65-7321-3.
  2. ^ "bang". Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka. Dicapai pada 13 November 2020.
  3. ^ Abd. Rauf Dato' Haji Hassan; Abdul Halim Salleh; Khairul Amin Mohd Zain (2005), m/s. 305
  4. ^ Larangan bercakap ketika Azan - Institut Al-Qayyim

Pautan luar

sunting
  NODES
os 1