Faks atau nama penuhnya faksimili (daripada bahasa Latin fac simile, "menjadikan serupa", iaitu "membuat salinan") ialah teknologi telekomunikasi yang digunakan untuk memindahkan salinan (faksimili) dokumen, khususnya menggunakan peranti-peranti (mesin faks) yang disambungkan dengan rangkaian telefon. Mesin faks juga dikenali sebagai telecopier di industri-industri tertentu. Kelebihan faks berbanding perkhidmatan pos nampak dalam pengiriman dokumen melalui jarak jauh dengan serta-merta, sementara kelemahannya dari segi mutu salinan yang telah menyebabkan mesin faks diketepikan oleh e-mel sebagai kaedah pemindahan dokumen elektronik yang terpenting, kecuali apabila status sah faks kiriman serta laporan kirimannya diperlukan.

Mesin faks HP.

Sesebuah "mesin faks" biasanya terdiri daripada pengimbas imej, modem, dan pencetak.

Sungguhpun wujudnya pelbagai jenis peranti penghantaran dokumen cetakan secara elektrik sejak abad ke-19, namun mesin faks moden hanya diterima ramai pada pertengahan 1970-an apabila teknologi menjadi cukup canggih dan kos ketiga-tiga tekonologi sandaran tersebut menurun. Mesin faks digital mula-mulanya menjadi laris di Jepun, di mana mesin faks digital jelas mengatasi teknologi-teknologi lain yang bersaing seperti teleprinter, kerana ketika itu adalah lebih cepat untuk menulis tulisan kanji berbanding menaipnya (sebelum kemudahan editor kaedah input dibangunkan). Lama-kelamaan, faks menjadi murah dan laris di seluruh dunia pada tahun 1980-an.

Walaupun kebanyakan perniagaan masih menggunakan kemudahan faks, namun teknologi faks kian menghadapi saingan dari sistem-sistem yang berasaskan Internet. Namun demikian, mesin faks masih ada kelebihan, khususnya bagi penghantaran bahan-bahan sensitif yang tidak boleh dikirim melalui Internet tanpa penyulitan, berikutan mandat-mandat seperti Sarbanes-Oxley dan Akta Kemudahalihan dan Kebertanggungjawaban Insurans Kesihatan (HIPAA). Di sesetengah negara, memandangkan tandatangan elektronik pada kontrak tidak diiktiraf oleh undang-undang seperti mana bagi kontrak bertandatangan yang difakskan, maka mesin faks masih laris digunakan oleh perniagaan.

Dalam sebilangan besar syarikat, mesin faks kendiri telah diganti oleh "pelayan faks" dan bermacam-macam sistem berkomputer yang mampu menerima dan menyimpan faks secara elektronik, kemudian menujukan faks tersebut kepada pengguna pada kertas atau melalui e-mel (yang boleh dijamin keselamatannya). Sistem-sistem sedemikian berkelebihan dalam mengurangkan kos dengan menidakkan cetakan yang tidak perlu serta mengurangkan bilangan talian telefon analog yang diperlukan dalam pejabat.

Kebolehan

sunting

Kebolehan faks diukur melalui ciri-ciri berikut: kumpulan, kelas, kadar penghantaran data, dan pematuhan cadangan-cadangan ITU-T (dahulunya CCITT). Mesin faks menggunakan talian dan nombor telefon piawai PSTN.

Kumpulan

sunting

Analog

sunting

Faks kumpulan 1 dan 2 dihantar dengan cara yang serupa dengan sebidang gambar televisyen analog, iaitu setiap garis imbas dipancarkan sebagai isyarat analog yang selanjar. Leraian melintang bergantung pada mutu pengimbas, talian penghantaran, dan pencetak. Mesin faks analog kini lapuk dan tidak lagi dikilangkan. Sehubungan itu, Cadangan ITU-T T.2 dan T.3 digugurkan pada tahun 1996.

  • Faks kumpulan 1 mematuhi Cadangan ITU-T T.2. Faks kumpulan 1 memakan masa enam minit untuk menghantar sehelai muka surat, dengan leraian menegak 96 garis imbas seinci. Mesin faks kumpulan 1 sudah tidak digunakan atau dihasilkan lagi.
  • Faks kumpulan 2 mematuhi Cadangan ITU-T T.30 dan T.3. Faks kumpulan 2 memakan masa tiga minit untuk menghantar sehelai muka surat, dengan leraian menegak 96 garis imbas seinci. Mesin faks kumpulan 2 sudah jarang sekali digunakan dan tidak dihasilkan lagi. Mesin faks kumpulan 2 boleh saling beroperasi dengan mesin faks kumpulan 3.

Digital

sunting

Faks kumpulan 3 dan 4 pula berformat digital dan menggunakan kaedah pemampatan digital sebaiknya untuk mengurangkan lagi masa penghantaran.

  • Faks kumpulan 3 mematuhi Cadangan ITU-T T.30 dan T.4. Faks kumpulan 3 mengambil masa 6–15 saat untuk menghantar sehelai muka surat (tidak termasuk masa permulaan yang diperlukan mesin faks untuk berjabat tangan dan berselaras). Leraian melintang dan menegak yang dibenarkan oleh piawaian T.4 adalah ditetapkan seperti berikut:
    • Melintang: 100 garis imbas seinci
      • Menegak: 100 garis imbas seinci
    • Melintang: 200 atau 204 garis imbas seinci
      • Menegak: 100 atau 98 garis imbas seinci ('Standard')
      • Menegak: 200 atau 196 garis imbas seinci ('Fine')
      • Menegak: 400 atau 391 garis imbas seinci ('Superfine')
    • Melintang: 300 garis imbas seinci
      • Menegak: 300 garis imbas seinci
    • Melintang: 400 atau 408 garis imbas seinci
      • Menegak: 400 atau 391 garis imbas seinci ('Ultrafine')
  • Faks kumpulan 4 mematuhi Cadangan ITU-T T.563, T.503, T.521, T.6, T.62, T.70, T.72, T.411 dan T.417, dan direka untuk dijalankan melalui litar ISDN digital 64 kbit/s. Leraianya ditetapkan oleh cadangan T.6, iaitu superset kepada cadangan T.4. Fax Over IP (FOIP) boleh menghantar dan menerima dokumen yang didigitalkan dalam kelajuan yang hampir meyamai masa nyata. Prosesnya hanya mengambil masa yang diambil oleh pengguna untuk memuatkan dokumen dalam mesin pengimbas dan juga masa yang diambil oleh pengimbas untuk memproses fail digital. Leraiannya boleh mencapai serendah 150 DPI atau mencecah 9600 DPI. Jenis faks ini tidak sama seperti perkhidmatan e-mel atau faks yang masih menggunakan modem faks secara sehala atau dua hala.

Modem komputer biasanya diberi kelas faks tertentu yang menandakan berapa banyak pemprosesan dimuatkan dari CPU komputer ke modem faks.

  • Peranti faks kelas 1 mengefakskan pemindahan data yang mana mampatan data T.4/T.6 dan pengurusan sesi T.30 dilakukan oleh perisian dalam komputer pengawal, seperti yang diterangkan oleh cadangan ITU-T T.31.
  • Peranti faks kelas 2 melakukan sesi pengurusan T.30 dengan sendiri, tetapi pemampatan data T.4/T.6 dilakukan oleh perisian dalam komputer pengawal, berkaitan dengan cadangan ITU-T T.32.
  • Peranti faks kelas 2.0 berlainan dari kelas 2.
  • Peranti faks kelas 2.1 merupakan peningkatan kelas 2.0. Peranti faks kelas 2.1 dipanggil "super G3" kerana kelihatan lebih laju sedikit berbanding kelas-kelas 1, 2 dan 2.0.
  • Peranti faks kelas 3 bertanggungjawab terhadap seluruh sesi faks, setakat diberi nombor telefon dan teks yang hendak dikirim (termasuk paparan teks ASCII sebagai imej raster). Bukan senang untuk menemui peranti sebegini.

Kadar pemindahan data

sunting

Mesin faks menggunakan beberapa teknik modulasi talian telefon yang berbeza. Kedua-dua mesin faks pengirim dan penerima dirundingkan dalam proses berjabat tangan modem faks, dan menggunakan kadar data tertinggi yang disokong oleh kedua-dua mesin faks, iaitu biasanya sekurang-kurangnya 14.4 kbit/s bagi faks kumpulan 3.

Piawaian ITU Tarikh Keluaran Kadar Data (bit/s) Kaedah modulasi
V.27 1988 4800, 2400 PSK
V.29 1988 9600, 7200, 4800 QAM
V.17 1991 14400, 12000, 9600, 7200 TCM
V.34 1994 28800 QAM
V.34bis 1998 33600 QAM

Diingatkan bahawa faks 'Super Group 3' menggunakan modulasi V.34bis yang membolehkan kadar data mencapai 33.6 kbit/s.

Pemampatan

sunting

Di samping menetapkan leraian (dan saiz fizikal imej faks yang dibenarkan), cadangan ITU-T T.4 menetapkan dua kaedah pemampatan untuk mengurangkan jumlah data yang perlu dihantar antara mesin faks untuk menghantar imej, iaitu:

Modified Huffman

sunting

Modified Huffman (MH) ialah skim pengekodan panjang jalan berdasarkan buku kod yang dioptimumkan untuk memampatkan ruang putih dengan cekap. Memandangkan kebanyakan kiriman faks banyak diisi ruang putih, maka cara ini mengurangkan masa penghantarannya. Setiap garis yang diimbas dimampatkan secara berasingan dari garis sebelum dan selepasnya.

Modified Read

sunting

Modified read (MR) mengekodkan garis imbas pertama menggunakan MH. Garis seterusnya dibandingkan dengan garis pertama, bezaannya ditentukan, kemudian bezaan tersebut dikodkan dan dihantar. Cara ini berkesan kerana setiap garis sedikit berbeza dari garis sebelumnya. Proses ini tidak diteruskan hingga ke hujung penghantaran faks, sebaliknya dihadkan kepada sebilangan garis tertentu sehingga proses tersebut diset semula dan 'garis pertama' yang berkod MH dihasilkan. Bilangan garis terhad adalah untuk mengelakkan ralat yang timbul di seluruh faks, memandangkan piawaian tidak memperuntukkan pembetulan ralat. MR tidak diwajibkan, oleh itu sesetengah mesin faks tidak menggunakan MR untuk meminimumkan pengiraan yang diperlukan oleh mesin. Had bilangan garis adalah dua untuk faks leraian 'Standard' dan empat untuk faks leraian 'Fine'.

Modified Modified Read

sunting

Cadangan ITU-T T.6 menambah lagi sejenis kaedah pemampatan Modified Modified READ (MMR) yang membolehkan sebilangan besar garis yang untuk dikodkan oleh MR berbanding T.4. Ini adalah kerana T.6 beranggapan bahawa penghantaran melalui litar yang mengalami bilangan ralat garis yang kecil seperti ISDN digital. Jika begitu, tiadanya had maksimum garis yang dikodkan bezaannya.

Matsushita Whiteline Skip

sunting

Skim pemampatan khusus yang digunakan oleh mesin faks Panasonic ialah Matsushita Whiteline Skip (MWS) yang boleh melapisi skim pemampatan lain, tetapi hanya berfungsi antara dua mesin Panasonic. Sistem ini mengesan tempat-tempat kosong antara baris-baris teks, lalu memampatkan garis imbas kosong ke dalam ruang data sebesar satu aksara.

Ciri-ciri biasa

sunting

Mesin faks kumpulan 3 memindahkan beberapa halaman bercetak atau bertulis tangan dalam hitam putih (bitonal) pada leraian 204×98 (biasa) atau 204×196 (halus) titik seinci persegi. Kadar pemindahan modem dan sesetengah mesin faks adalah sekurang-kurangnya 14.4 kbit/s, tetapi mesin faks biasanya boleh menampung kelajuan sekurang-kurangnya 2400 bit/s dan biasanya berjalan pada kadar 9600 bit/s. The transferred image formats are called ITU-T (formerly CCITT) fax group 3 or 4.

Mod faks yang paling asas menghantar imej hitam putih sahaja. Halaman asli diimbas dalam leraian 1728 piksel segaris dan 1145 garis sehalaman (untuk kertas A4). Hasil data mentah dimampatkan dengan menggunakan kod Huffman terubah suai yang dioptimumkan untuk tulisan tangan, maka mencapai faktor mampatan purata sekitar 20. Biasanya, satu halaman memerlukan 10 saat untuk dihantar, bukannya 3 minit yang digunakan oleh data mentah sama yang belum dimampatkan pada 1728×1145 bit dalam kelajuan 9600 bit/s. Kaedah pemampatan ini menggunakan kod-kod Huffman untuk panjang larian hitam putih dalam satu garis imbas tunggal, dan juga boleh memanfaatkan kenyataan bahawa setiap dua garis imbas yang bersebelahan selalunya amat serupa, maka menjimatkan lebar jalur dengan mengekodkan bezaan sahaja.

Kelas faks menandakan cara atur cara faks berinteraksi dengan perkakas faks. Kelas faks yang didapati termasuklah kelas 1, kelas 2, kelas 2.0 dan 2.1, dan Intel CAS. Kebanyakan modem menyokong sekurang-kurangnya kelas 1, ditambah dengan kelas 2 atau 2.0. Kelas yang mana sesuai tertakluk kepada faktor-faktor seperti perkakas, perisian, perisian tegar modem, dan jangkaan kegunaan.

Mesin faks dari 1970-an hingga 1990-an sering menggunakan teknologi cetakan terma terus, tetapi sejak pertengahan 1990-an beralih pula kepada cetakan pindahan terma, jet dakwat dan laser.

Salah satu kelebihan cetakan jet dakwat adalah mampu mencetak warna dengan murah. Oleh itu, kebanyakan mesin faks jet dakwat diakui dilengkapi kebolehan mengefaks warna. Wujudnya piawaian ITU-T30e bagi faks warna, tetapi belum diterima ramai lagi, oleh itu kebanyakan mesin faks warna hanya boleh mengefaks warna ke mesin yang sama pembuatnya.

Rujukan

sunting

Pautan luar

sunting
  NODES
Done 1
jung 1
jung 1
Story 2