Lorong
Lorong merupakan satu bahagian jalan raya yang ditandakan untuk digunakan oleh satu barisan kenderaan untuk mengawal aliran trafik pemandu serta mengurangkan konflik. Kebanyakan jalan raya awam mempunyai sekurang-kurangnya dua lorong - selorong bagi setiap hala - serta dipisahkan oleh garisan penanda lorong. Lebuh raya utama mempunyai dua bahagian jalan yang dipisahkan oleh pembahagi jalan, setiap satunya mempunyai berbilang lorong. Jalan raya selorong pula berkongsi satu lorong yang sama untuk lalu lintas di kedua-dua arah. Sesetengah jalan raya perbandaran menggunakan nama "lorong" walaupun mempunyai dua lorong atau lebih, misalnya Lorong Maarof di Bangsar, Kuala Lumpur. Jalan raya kecil luar bandar selalunya dirujuk sebagai jalan kampung.
Jenis-jenis lorong
sunting- Lorong trafik - merupakan lorong-lorong utama bagi sesebuah jalan raya, tidak termasuk bahu jalan serta lorong tambahan.
- Lorong terus - lorong trafik untuk lalu lintas bergerak terus tanpa membelok, ditandakan dengan anak panah terus ke hadapan pada persimpangan.
- Lorong membelok - lorong trafik yang diasingkan daripada lorong terus untuk kenderaan yang membelok, terdiri daripada lorong paling kanan atau kiri pada persinpangan. Di persimpangan lampu isyarat, lorong membelok juga menyimpan sementara kenderaan-kenderaan yang hendak membelok sehinggalah lampu hijau menyala.
- Lorong memotong - lorong tambahan yang disediakan di sesetengah jajaran jalan raya untuk membolehkan sesebuah kenderaan memotong kenderaan lain yang lebih perlahan tanpa perlu beralih ke lorong trafik dari arah hadapan. Di kawasan bukit pula, dia turut dikenali sebagai lorong mendaki untuk membolehkan kenderaan bergerak perlahan seperti lori dan bas beralih ke tepi supaya tidak mengganggu kelancaran aliran trafik. Bagi jalan raya tunggal dua lorong, lorong trafik dari arah hadapan boleh dijadikan sebagai lorong memotong di kawasan yang ditandakan dengan garisan putus-putus di tengah jalan, biasanya di jajaran jalan raya yang lurus dan rata.
- Lorong pengumpul digunakan oleh kenderaan bergerak perlahan serta lalu lintas tempatan yang keluar basuk berikutan terdapat banyak persimpangan jalan kecil di sepanjang lorong. Ia disediakan sebagai langkah kawalan masuk jalan raya yang lebih baik di lebuh raya perbandaran.
- Lorong ekspres digunakan oleh kenderaan laju yang bergerak terus di lebuh raya.
- Lorong kecemasan atau bahu jalan dikhaskan untuk kenderaan rosak serta kenderaan kecemasan. Bagi jalan raya tunggal pula, bahu jalan membolehkan pemandu beralih ke tepi apabila kenderaan dari arah hadapan hilang kawalan serta memasuki laluan trafik ke arah hadapan.
- Lorong basikal - bahagian jalan raya atau bahu jalan yang dikhaskan untuk digunakan oleh penunggang basikal.
- Lorong motosikal mengasingkan motosikal daripada kenderaan lain di jalan raya yang sibuk untuk mengurangkan kemalangan yang melibatkan penunggang motosikal.
- Lorong bas dikhaskan untuk bas dan teksi sahaja untuk memberi keutamaan kepada kenderaan pengangkutan awam tersebut. Sesetengah negara turut membenarkan motosikal menggunakan lorong bas.
Lebar lorong
suntingJabatan Kerja Raya Malaysia telah menetapkan lebar minimum jalan raya mengikut kelas piawaian masing-masing. Kebanyakan jalan raya di Malaysia mempunyai lebar lorong antara 3.25 - 3.5 m, manakala lebuh raya mempunyai lebar lorong minimum 3.5 m. Jalan raya selorong pula mempunyai lebar lorong minimum 5 m termasuk bahu jalan, bagi membolehkan kenderaan berselisih dengan selamat.
Sejarah
suntingSepanjang sebahagian besar sejarah manusia, jalan raya tidak perlu ditanda kerana kebanyakan orang berjalan kaki atau menunggang kuda pada kelajuan yang perlahan. Selain itu, penandaan permukaan jalan juga mempunyai kos penyelenggaraan yang mahal.
Semasa kereta, lori dan bas mula digunakan secara meluas sepanjang dua dekad pertama abad ke-20, pelanggaran berdepan semakin kerap berlaku.
Terdapat dua orang yang dinamakan dalam penciptaan penandaan jalan. Pada tahun 1911, Edward N. Hines, pengerusi Suruhanjaya Jalan Raya Wayne County, Michigan cuba menjadikan jalan raya lebih selamat. Dia mendapat idea mengecat garisan tengah bagi mengasingkan lorong-lorong trafik setelah menunggang di belakang sebuah lori susu yang tertumpah ke atas jalan sehingga meninggalkan garisan.
June McCarroll, seorang doktor dari Indio California mula bereksperimen dengan mengecat garisan pada jalan raya pada tahun 1917 setelah dia dilanggar oleh seorang pemandu lori. Pada November 1924, setelah bertahun-tahun dilobi oleh Dr. McCarroll dan sekutunya, California akhirnya menerima secara rasmi dasar mengecat garisan pada jalan raya. Sebahagian jajaran Interstate 10 berhampiran Indio dinamakan sebagai Lebuhraya Memorial Dr. June McCarroll atas jasa-jasanya.
Menjelang 1939, penandaan lorong menjadi begitu popular sehinggakan ia mula diseragamkan di Amerika Syarikat, sebelum sistem tersebut ditiru di seluruh dunia.