Rusuhan Nika
Rusuhan Nika (Yunani: Στάσις τοῦ Νίκα ) atau pemberontakan Nika merupakan sebuah rusuhan terhadap Maharaja Byzantium, Justinianus I, di Konstantaniah selama seminggu pada 532 TM. Ia sering dianggap sebagai rusuhan yang paling ganas dalam sejarah bandar itu: hampir separuh Konstantaniah terbakar atau musnah dan berpuluh-puluh ribu orang terbunuh.
Rusuhan Nika | |||
---|---|---|---|
Tarikh | Januari 532 | ||
Lokasi | |||
Punca | Lihat Punca | ||
Matlamat | Guling Justinianus | ||
Kaedah | Merusuh, merosakkan harta benda, membunuh | ||
Pihak terlibat | |||
| |||
Tokoh dan pemimpin utama | |||
| |||
Korban | |||
Maut | 30 000 perusuh dibunuh[1] |
Latar belakang
suntingEmpayar Rom dan Byzantium kuno terbahagi kepada perkumpulan, dipanggil deme,[2] yang menyokong puak (atau pasukan) tertentu dalam sukan seperti perlumbaan kereta kuda. Asalnya, terdapat empat pasukan utama dalam perlumbaan kereta kuda, dibezakan dengan warna pakaian seragam pemain; warna itu juga dipakai oleh penyokong mereka. Pasukan-pasukan itu Biru (Veneti), Hijau (Prasini), Merah (Russati) dan Putih (Albati),[3] namun pada abad ke-6 pasukan yang paling berpengaruh ialah Biru dan Hijau. Maharaja Justinianus I penyokong pasukan Biru.
Deme telah menjadi tempat untuk orang ramai meluahkan pendapat tentang isu sosial dan politik apabila mereka tidak mempunyai saluran lain.[4] Ia mempunyai ciri-ciri kumpulan kongsi dan parti politik, mengambil pendirian tentang isu semasa, seperti agama dan juga siapa yang sepatutnya menjadi maharaja. Mereka sering melaungkan desakan politik mereka semasa perlumbaan untuk cuba mempengaruhi kerajaan. Tentera dan pengawal diraja tidak dapat menjaga keamanan tanpa sokongan puak-puak ini, yang disokong pula oleh keluarga-keluarga kaya di bandar itu. Antara mereka ada yang percaya mereka sepatutnya menjadi maharaja dan bukan Justinianus.[perlu rujukan]
Pada tahun 531, beberapa orang ahli Biru dan Hijau telah ditangkap kerana membunuh dalam sebuah rusuhan selepas satu perlumbaan.[5] Rusuhan bukanlah jarang berlaku di perlumbaan kereta kuda, sama seperti tindakan buas yang kadang-kadang berlaku selepas perlawanan bola sepak pada zaman moden. Kebanyakan pembunuh-pembunuh itu dihukum mati.[6] Akan tetapi, pada 10 Januari 532, dua orang antara mereka, seorang Biru dan seorang Hijau, terlepas dan berlindung di sebuah gereja dikelilingi oleh sekumpulan perusuh.
Justinianus mula cemas kerana dia sedang membuat perundingan damai dengan Parsi selepas Perang Iberia dan kini satu krisis baru muncul di bandarnya. Dia memutuskan untuk mengadakan perlumbaan pada 13 Januari dan menukarkan hukuman mereka kepada penjara. Bagaimanapun, puak Biru dan Hijau menuntut kedua-dua lelaki itu diampunkan.[perlu rujukan]
Punca
suntingJustinianus, bersama dua pegawai utamanya Ioannis dari Kappadokia dan Tribonianus, tidak popular kerana cukai yang tinggi,[7] dakwaan rasuah dua pegawai itu[7] dan penganiayaan penghutang oleh Ioannis.[7][8] Justinianus dan Ioannis juga mengurangkan bajet untuk perkhidmatan awam dan mengambil langkah untuk memerangi rasuah.[8] Ramai bangsawan yang kehilangan kuasa dan kekayaan (akibat pengecilan dan pembaharuan perkhidmatan awam) menyertai Hijau.[8] Justinianus turut mengambil langkah untuk mengurangkan pengaruh kedua-dua perkumpulan. Hijau berasa ditindas dengan reformasi perkhidmatan awam ini manakala Biru berasa dikhianati.[8] Kanun undang-undang Rom dilihat sebagai perkara yang membezakan orang Rom yang bertamadun daripada orang gasar.[9] Kanun tersebut juga penting dalam soal agama kerana orang Rom percaya mereka bangsa yang "dipilih oleh Tuhan," dan kanun itu simbol keadilan.[9] Pembaharuan undang-undang yang berjaya dilaksanakan oleh seorang maharaja akan memberi keabsahan pada pemerintahannya, manakala kegagalan dalam perkara ini dianggap sebagai tanda ketidakredaan ilahi.[9] Perkara yang kanun Theodosius ambil sembilan tahun untuk dilaksanakan diselesaikan oleh Justinianus dalam masa 13 bulan sahaja.[9]
Walau bagaimanapun, sebelum rusuhan Nika pada Januari 532, pembaharuan undang-undang menjadi semakin perlahan.[9] Pada masa yang sama, Justinianus terlibat dalam peperangan yang tidak berjaya melawan Empayar Parsi. Walaupun kemenangan awal Byzantium di Dara pada musim bunga tahun 530 dan Satala pada musim panas tahun 530 telah meningkatkan reputasinya, kekalahan di Callinicum pada tahun 531, situasi tentera serta politik yang semakin merosot menjejaskan imejnya.[9] Golongan bangsawan menentang pembaharuan undang-undang kerana tidak dapat memanfaatkan kekaburan teks undang-undang untuk kepentingan mereka.[9] Selanjutnya, Justinianus dan isterinya Theodora berasal daripada golongan yang lebih rendah berbanding golongan aristokrasi.[9] Puak Hijau tergolong dalam mazhab dengan kepercayaan yang berbeza tentang sifat Yesus, dan memperjuangkan kepentingan individu kaya yang tidak memiliki tanah. Justinianus tidak tergolong dalam mana-mana satu pun.[10] Akibat semua perkara ini, keengganan Justinianus untuk mengampunkan dua individu yang ditahan berkaitan dengan rusuhan itu memburukkan lagi kebencian terhadapnya oleh kedua-dua khalayak awam dan golongan bangsawan.
Rusuhan
suntingPada 13 Januari 532 TM, orang ramai yang marah berkumpul di hipodrom untuk perlumbaan[perlu rujukan] di sebelah kawasan istana tempat Justinianus sedang menonton. Orang ramai menghina Justinianus sepanjang hari, dan pada akhir perlumbaan ke-22, daripada menyorak "Biru" atau "Hijau" mereka semua mula melaungkan Nίκα "Nika" ("Kemenangan!" atau "Tawan!") dan menyerang istana.[perlu rujukan] Selama lima hari, istana dikepung dan kebakaran yang tercetus waktu itu memusnahkan sebahagian besar bandar itu, termasuklah gereja utama mereka, Aya Sophia (yang Justinianus akan membina semula nanti).
Beberapa orang senator melihat ini sebagai peluang untuk menggulingkan Justinianus kerana mereka menentang cukai barunya dan dia kurang menyokong golongan bangsawan.[perlu rujukan] Perusuh tadi, kini bersenjata dan mungkin dikawal oleh sekutu mereka di dalam Dewan Senat, juga menuntut Justinianus memecat pegawai pentadbir Ioannis dari Kappadokia dan quaestor Tribonianus. Mereka kemudian mengisytiharkan seorang maharaja baru, Hypatius, anak saudara bekas Maharaja Anastasius I.[perlu rujukan]
Justinianus terfikir untuk melarikan diri tetapi isterinya Theodora meyakinkan dia untuk tidak melakukannya dengan berkata, "Dia yang telah memakai mahkota tidak patut teruskan hidup jika kehilangannya. Saya tidak mahu melewat hari yang saya tidak disapa sebagai permaisuri."[11] Theodora juga berkata, "Sesiapa yang telah dilahirkan ke dalam cahaya matahari pasti suatu hari akan mati; dan mana patut seorang Maharaja membiarkan dirinya menjadi seorang pelarian."[12] Walaupun terdapat cara untuk Justinianus melarikan diri melalui laut, Theodora berkeras akan tinggal di bandar itu, memetik pepatah Yunani, "Kedirajaan ialah kain kapan yang indah," atau mungkin, "Ungu ialah kain kapan yang indah." Ungu ketika itu ialah warna kebesaran diraja.[13]
Justinianus membuat rancangan melibatkan Narsis, seorang sida yang terkenal, dan jeneral Belisarius dan Mundus. Dengan membawa emas daripada Justinianus, sida yang kecil itu memasuki hipodrom sendirian tanpa bersenjata. Narsis pergi terus ke seksyen Biru, di mana dia mendekati puak Biru dan mengingatkan mereka bahawa Justinianus sentiasa menyokong mereka berbanding Hijau. Dia juga mengingatkan mereka bahawa Hypatius, lelaki yang mereka mahkotakan, merupakan seorang Hijau. Dia mengagihkan emas itu dan pemimpin Biru berbincang secara senyap antara satu sama lain dan dengan pengikut-pengikut mereka. Semasa permahkotaan Hypatius, ramai Biru meninggalkan hipodrom itu, manakala Hijau tinggal. Kemudian, tentera maharaja yang diketuai oleh Belisarius dan Mundus menyerbu hipodrom, membunuh semua yang tinggal tanpa mengira kesetiaan mereka.[12]
Kira-kira tiga puluh ribu orang dilaporkan terbunuh.[14] Justinianus menghukum mati Hypatius dan membuang senator-senator yang menyokong rusuhan itu ke luar negeri. Dia kemudian membina semula Konstantaniah dan Aya Sophia dan bebas untuk memerintah.
Petikan
sunting- ^ Ini angka yang diberi oleh Procopius, Wars (Internet Medieval Sourcebook Diarkibkan 2006-02-12 di Wayback Machine.)
- ^ Joseph Henry Dahmus (1968). The Middle Ages: A Popular History. Doubleday. m/s. 86. ISBN 9780575003156.
- ^ Gibbon, Edward (1867). The History of the Decline and Fall of the Roman Empire (dalam bahasa Inggeris). London: Bell & Daldy. m/s. 301.CS1 maint: date and year (link)
- ^ Hugh Chisholm; James Louis Garvin (1926). The Encyclopædia Britannica: A Dictionary of Arts, Sciences, Literature & General Information. Encyclopædia Britannica Company, Limited. m/s. 121.
- ^ "CLIO History Journal – Justinian and the nike riots". Cliojournal.wikispaces.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-06-19. Dicapai pada 2013-09-25.
- ^ Norwich, John Julius (1999). A Short History of Byzantium. New York: Vintage Books, A Division of Random House, Inc. m/s. 64. ISBN 0-679-77269-3.
- ^ a b c Charles River Editors (2014-11-11). The Dark Ages 476-918 these taxes were levied against the rich.A.JUSTINIAN THE GREAT: THE LIFE AND LEGACY OF THE BYZANTINE EMPEROR. CreateSpace Independent Publishing Platform. ISBN 9781503190375.
- ^ a b c d Hughes, Ian (Historian) (2009). Belisarius : the last Roman general. Yardley, Pa.: Westholme. ISBN 978-1-59416-085-1. OCLC 294885267.
- ^ a b c d e f g h Heather, P. J. (Peter J.) (2018). Rome resurgent : war and empire in the age of Justinian. New York, NY. ISBN 978-0-19-936274-5. OCLC 1007044617.
- ^ Charles River Editors (2014-11-11). JUSTINIAN THE GREAT: THE LIFE AND LEGACY OF THE BYZANTINE EMPEROR. CreateSpace Independent Publishing Platform. ISBN 9781503190375.
- ^ Diehl, Charles. Theodora, Empress of Byzantium (1972). Frederick Ungar Publishing (diterjemah oleh S. R. Rosenbaum daripada Perancis yang asal Theodora, Imperatice de Byzance), hlm. 87.
- ^ a b Norwich, John Julius (1999). A Short History of Byzantium. New York: Vintage Books, A Division of Random House, Inc. m/s. 64. ISBN 0-679-77269-3.
- ^ Procopius, Wars 1.24.32–37. Bagi kemungkinan kata-kata semangat Theodora sebagai rekaan Procopius (yang biasanya tidak memuji kehidupan Theodora), lihat John Moorhead, Justinian (London/NY 1994), hlm. 46–47, dengan merujuk kepada J. Evans, "The 'Nika' rebellion and the empress Theodora", dalam: Byzantion 54 (1984), hlm. 380–382.
- ^ Ini angka yang diberikan oleh Procopius, Wars (Internet Medieval Sourcebook Diarkibkan 2006-02-12 di Wayback Machine.)
Sumber umum dan yang dipetik
sunting- Diehl, Charles (1972). Theodora, Empress of Byzantium. Frederick Ungar Publishing, Inc. ISBN 0-8044-1230-8. Penceritaan popular berdasarkan kajian mendalam penulis.
- Weir, William (2004). 50 Battles That Changed the World: The Conflicts That Most Influenced the Course of History. Savage, Md: Barnes and Noble Books. ISBN 0-7607-6609-6.
Pautan luar
sunting- Procopius, "Justinian Suppresses the Nika Revolt, 532", daripada Buku Sumber Abad Pertengahan Internet .
- JB Bury, "The Nika Revolt", bab XV bahagian 5 dari History of the Later Roman Empire (1923).
- James Grout: "The Nika Riot", sebahagian daripada Encyclopædia Romana
- Samuel Vancea: "Justinian and the Nike Riots" Diarkibkan 2012-06-19 di Wayback Machine , diterbitkan dalam Jurnal Sejarah Clio