Theodora (isteri Justinianus I)
Theodora ( /ˌθiːəˈdɔːrə/ ; Greek : Θεοδώρα; s. 500 – 28 Jun 548) [1] ialah seorang maharani Byzantium dan isteri kepada maharaja Justinianus. Theodora menjadi maharani selepas Justinianus naik takhta pada tahun 527 dan merupakan salah seorang penasihat utamanya. Dia dan Justinianus berasal daripada kelas sederhana. Bersama suaminya, Theodora merupakan seorang santa di Gereja Ortodoks Timur dan di Gereja Ortodoks Oriental, dan diperingati di setiap satunya pada 14 November dan 28 Jun.
Theodora | |
---|---|
Augusta | |
Maharani Byzantium | |
Tempoh | 1 April 527 – 28 Jun 548 |
Keputeraan | s. 500 |
Kemangkatan | 28 Jun 548 (umur 48) Konstantaniah, Empayar Byzantium |
Pemakaman | Gereja Para Hawari Suci |
Pasangan | Justinianus I |
Wangsa | Justinianus |
Agama | Miafisitisme |
Awal hidup
suntingKebanyakan kisah hidup awal Theodora tidak diketahui; banyak yang diceritakan di dalam Sejarah Rahsia karya Prokopios yang kontroversial yang perlu diteliti untuk menentukan kebenarannya, terutamanya berkaitan sikap berat sebelah golongan bangsawan, masyarakat dan ahli sejarah Rom terhadap peranan wanita di luar batas adat masyarakat.[2]
Menurut Mikhael dari Syam, Theodora lahir di Mabbug, Syria;[3] Nikeforos Kallistos Xantopoulos menulis Theodora berasal dari Cyprus,[4] manakala Patria karya Georgios Kodinos mendakwa Theodora berasal dari Paflagonia. Theodora dilahirkan sekitar 500 TM.[5] Bapanya, Akakios, ialah seorang pelatih beruang untuk kumpulan Hijau di hipodrom Konstantaniah. Ibunya, yang namanya tidak direkod, seorang penari dan pelakon.[6] Ibu bapa Theodora mempunyai dua lagi anak perempuan, yang sulung bernama Komito dan yang bongsu Anastasia.[7] Selepas kematian bapanya, ibunya cepat-cepat berkahwin semula tetapi mereka tidak mempunyai sumber pendapatan: jawatan mendiang bapanya telah diberikan kepada seseorang yang telah menyogok penari balet utama, Asterios, yang juga memilih pekerja. Sewaktu Theodora berumur empat tahun, ibunya membawa anak-anaknya memakai kalungan ke hipodrom untuk meminta bantuan kumpulan Hijau, tetapi mereka mengabaikan dia. Oleh itu, ibu Theodora pergi kepada kumpulan Biru.[8] Kumpulan Biru mengasihani mereka dan memberikan bapa tiri Theodora bekerja sebagai penjaga beruang—menyelamatkan mereka daripada kemiskinan.
Menurut Sejarah Rahsia karya Prokopios, Theodora mengikuti contoh kakaknya Komito sejak kecil dan bekerja di dalam rumah pelacuran di Konstantaniah, melayan pelanggan berstatus rendah dan tinggi; kemudiannya, dia membuat persembahan di atas pentas. Dalam catatan terkenal Edward Gibbon tentang Theodora, yang berdasarkan Sejarah Rahsia, beliau menulis:
Dia menawarkan pesona jualan dirinya kepada pelbagai golongan yang berbeza, orang keramaian dan asing dari pelbagai lapisan masyarakat dan pangkat. Kekasih beruntung yang dijanjikan malam bersamanya sering kali dihalau oleh seseorang yang lebih kuat atau lebih kaya. Orang ramai akan mengelak daripada bertemu dengannya ketika dia berjalan di luar bagi mengelakkan terlibat dalam skandal atau godaan.[9]
Theodora, menurut catatan Prokopios, menjadi terkenal kerana persembahan lucahnya dalam Leda dan Sang Angsa.[10][11] Pekerjaan berlakon pada zaman itu sering melibatkan persembahan tidak senonoh di atas pentas dan perkhidmatan seks di luar pentas. Sama ada tepat atau tidak kelakuan Theodora ini adalah sangsi kerana pelakon-pelakon wanita pada era itu sering dikatakan membuat perbuatan stereotaip sedemikian. Sesetengah ahli sejarah berpendapat bahawa golongan yang berkuasa pada masa itu mungkin mereka kisah-kisah buruk ini apabila Theodora menjadi permaisuri kerana takut dia akan mempengaruhi empayar. Melihat Theodora ditunjukkan secara negatif akan merendahkan ancaman dia terhadap mereka dan status quo.[12] Penerangan terperinci dan lucah mengenai kehidupan silam Theodora di dalam "Sejarah Rahsia" dilihat fitnah menurut beberapa tafsiran moden; beberapa penulis kontemporari, seperti Ioannes dari Efesus, jelas menggambarkan Theodora berasal "dari rumah pelacuran". Selaras dengan prinsip-prinsip mengenai taubat dan pengampunan dalam agama Kristian, Ioannes melihat penebusan diri Theodora sebagai cerita positif.[13] Strategi wanita menggunakan badannya untuk keuntungan politik bukanlah sesuatu yang baharu, dan wanita yang melakukannya dianggap mempunyai kuasa pengaruh yang sama seperti lelaki, dan pandang sama oleh ahli sejarah kontemporari zaman Rom dan Byzantium. Hal ini juga boleh disamakan dengan ahli sejarah Rom, Takitus, dan karangannya mengenai Maharani Messalina. Takitus memandang hina terhadap Messalina, sama seperti Prokopios memandang hina Theodora dengan cerita seks bebasnya, yang menurutnya tidak mencerminkan kebangsawanan orang berkuasa. Di dalam istana, Maharani Theodora ada dua peranan: menjadi maharani dan menjadi isteri maharaja. Dia telah memainkan dua peranan dan pengaruhnya di belakang takhta telah menimbulkan banyak perasaan kurang senang dengan ahli-ahli sejarah mengenai wanita berkuasa.[14] Pada masa ini, Theodora mungkin telah bertemu dengan bakal isteri Belisarius, Antonina, yang kemudiannya akan menyertai para wanita istana, diketuai oleh Theodora.
Kemudian, Theodora pergi ke Afrika Utara sebagai gundik kepada seorang pegawai Syam bernama Hekebolus semasa beliau pergi ke Pentapolis Libya untuk menjadi gabenor.[15] Selepas dilayan dengan teruk dan ditinggalkan oleh Hekebolus, dia memulakan perjalanan pulang ke ibu kota Empayar Rom, Konstantaniah, lalu singgah di Iskandariah, Mesir. Ada yang menspekulasikan bahawa dia bertemu dengan Paus Timotius III di Iskandariah, paus mazhab Miafisitisme, dan mungkin waktu itu jugalah dia memeluk agama Kristian Miafisitisme. Dari Iskandariah dia pergi ke Antokiah, di mana dia bertemu dengan seorang penari kumpulan Biru bernama Makedonia. Ada kemungkinan bahawa Makedonia ialah ampamar kepada Justinianus.
Sewaktu Justinianus ingin mengahwini Theodora, beliau dihalang oleh satu undang-undang Rom dari zaman Konstantianos yang melarang senator daripada mengahwini pelakon. Pada tahun 524, maharaja Iostinos I menggubal undang-undang baharu untuk membenarkan bekas-bekas pelakon yang telah berubah berkahwin dengan orang di luar pangkat mereka secara sah jika diizinkan oleh maharaja.[16] Undang-undang tersebut juga menyatakan bahawa anak perempuan pelakon wanita akan bebas untuk mengahwini lelaki daripada mana-mana pangkat. Ini akan membenarkan anak perempuan luar nikah kepada Theodora (yang namanya hilang dalam sejarah) untuk berkahwin dengan salah seorang kaum kerabat Anastasius, maharaja yang terdahulu. Beberapa sumber mendakwa bahawa dia juga mempunyai seorang anak lelaki luar nikah yang bernama Ioannes.[17] Prokopios pernah menulis tentang Ioannes yang datang ke Konstantaniah sebagai seorang pemuda. Ioannes mendakwa bahawa ayahnya telah mengaku ketika nazak bahawa Ioannes ialah anak luar nikah kepada Theodora. Ayah Ioannes berkata beliau membawanya pergi kerana Theodora pasti akan membunuhnya jika ayah beliau tidak lari dan merahsiakan perkara itu. Menurut penceritaan Prokopios, apabila Theodora dapat tahu tentang kedatangan dan apa yang dikatanya itu, Theodora menghantar beliau ke satu tempat yang tidak diketahui secara senyap dan khabar mereka tidak didengari oleh sesiapa sesudah itu. Akan tetapi, menurut seorang sarjana pengajian klasik, James Allan Evans, beliau percaya dakwaan ini tidak benar kerana Theodora pernah mengakui anak perempuan luar nikahnya.[18] Tak lama selepas undang-undang Iostinos diluluskan, Justinianus berkahwin dengan Theodora.[17]
Sebagai Maharani
suntingSewaktu Justinianus menaiki takhta pada tahun 527, dua tahun selepas berkahwin, Theodora dimahkotakan augusta dan menjadi maharani Empayar Rom Timur. Menurut Prokopios, dia mengambil bahagian dalam membuat keputusan, pelan dan strategi politik beliau, melibatkan diri dalam majlis mesyuarat negeri, juga mempunyai banyak pengaruh terhadap beliau. Justinianus pernah memanggil dia "pasangan pertimbangan beta,"[19] di dalam Novel 8.1 (535 TM), iaitu satu undang-undang antirasuah, yang mengatakan bahawa pegawai wilayah mesti mengangkat sumpah kepada maharani dan maharaja.
Sebagai permaisuri, Theodora mempunyai pandangan yang sama dengan Justinianus tentang Empayar Byzantium: Empayar Rom tidak boleh wujud tanpa menguasai Rom. Sejak kecil, beliau dididik bahawa Tuhan itu esa maka hanya satu Empayar Rom boleh dikatakan sah. Oleh sebab mereka ialah satu-satunya maharaja dan maharani yang beragama Kristian, mereka percaya mereka memikul tanggungjawab untuk mencipta keindahan syurga di Bumi.[20] Walaupun baru sahaja bertakhta berbanding maharaja-maharaja yang dahulu, Justinianus dan Theodora tidak ingin mengekalkan status quo. Semua cita-cita dan projek mereka, tidak kira membina gereja, bangunan awam baharu atau mengumpulkan tentera untuk kempen tentera yang besar, memerlukan dana yang banyak. Justinianus dan ketua menteri kewangan beliau, Iohanes dari Kapadokia, mengenakan cukai tambahan terhadap seluruh kaum bangsawan meski mereka terkilan dengan perbuatan yang tidak menghormati status sosial tinggi mereka.[21]
Rusuhan Nika
suntingTerdapat dua buah perkumpulan utama yang sentiasa saling berselisih—Biru dan Hijau—sebelum, semasa dan selepas pemerintahan Justinianus dan Theodora. Mereka bergaduh di jalanan dan apabila menjadi maharaja, Justinianus ingin menjadikan bandar itu lebih aman dan tenteram. Usaha ini tidak dirasakan adil kerana beliau dan Theodora seolah-olah lebih memihakkan kumpulan Biru (Justinianus dikatakan menyukai Biru kerana mereka lebih lembut dengan pendirian mereka manakala keluarga Theodora pernah diabaikan oleh kumpulan Hijau semasa kecil selepas kematian ayah dia; lalu mereka dibantu oleh kumpulan Biru.) Akibatnya, kumpulan Hijau berasa terpinggir dan geram.[22] Dalam rusuhan antara dua kumpulan itu pada awal Januari tahun 532, pegawai bandar Eudaemon menangkap sekumpulan penjahat daripada Hijau dan Biru atas dakwaan membunuh. Mereka dihukum mati tetapi dua orang, seorang Biru dan seorang Hijau, terlepas ketika tempat gantung itu roboh. Kedua-dua kumpulan meminta pengampunan di hipodrom, tempat orang awam boleh merayu kepada maharaja tentang isu-isu semasa. Apabila perlumbaan kedua terakhir untuk hari itu tiba, dua kumpulan itu yang selalunya saling membenci, sama-sama bersorak menuntut pengampunan untuk dua penjahat tadi. Justinianus sedar bahayanya jika kedua-dua kumpulan ini bersatu untuk menyerang Theodora dan beliau, lalu beliau masuk ke istana untuk merancang apa yang akan mereka lakukan.[23]
Perusuh membakar banyak bangunan awam kemudian mengisytiharkan seorang maharaja baharu, Hypatius, anak saudara bekas maharaja Anastasius I. Selepas gagal mengawal orang ramai, Justinianus dan para pegawainya bersiap sedia untuk melarikan diri. Menurut Prokopios, bersama majlis mesyuarat, Theodora membantah meninggalkan istana dan menekankan betapa mulianya mati sebagai seorang pemerintah daripada hidup dalam buangan atau sebagai pelarian mengatakan bahawa, "ungu diraja itu kain kapan yang paling mulia."[24]
Menurut Prokopios, ketika maharaja itu dan penasihat-penasihatnya tetap ingin lari, Theodora menyampuk dan berkata:
Tuan-tuan, keadaan semasa ini terlalu serius untuk saya mengikut adat yang mengatakan bahawa seorang wanita tidak patut bercakap dalam majlis kaum lelaki. Mereka yang kepentingannya diancam bahaya besar sepatutnya berfikir tentang langkah tindakan yang terbaik, bukan adat. Pada pendapat saya, melarikan diri bukan pilihan yang tepat walaupun kita boleh terselamat. Seseorang yang telah dilahirkan ke dunia ini mustahil tidak mati; tetapi bagi orang yang telah berkuasa, menjadi pelarian tidak boleh diterima. Saya tidak mahu kehilangan jubah ungu ini, dan saya tidak mahu melihat hari apabila orang bertemu dengan saya tidak memanggil saya Maharani. Jika tuanku ingin menyelamatkan diri, itu tidak sukar. Kita kaya; laut ada di sana dan kapal ada di situ. Namun, fikir sejenak sama ada sekali tuanku tiba ke tempat yang selamat jika tuanku tidak akan sanggup gadaikan keselamatan itu dengan kematian. Bagi saya, saya setuju dengan peribahasa bahawa "ungu diraja" itu kain kapan yang paling mulia.[25]
Ucapan tegasnya berjaya memotivasikan mereka, termasuk Justinianus yang telah bersiap untuk lari. Selepas itu Justinianus mengarahkan tenteranya yang setia, diketuai oleh dua orang pegawai, Belisarius dan Mundus, untuk menyerang semua pemprotes di hipodrom, membunuh sekurang-kurangnya 30 000 orang pemberontak. Laporan lain memberi angka yang lebih tinggi semakin jauh sumbernya dari Konstantaniah; Zakharias dari Mitilenaios, seorang sarjana dan ahli sejarah, menganggarkan angka kematian lebih daripada lapan puluh ribu orang.[26]
Sesetengah sarjana mentafsirkan penceritaan Prokopios sebagai usaha untuk membuat Justinianus kelihatan lebih pengecut daripada isterinya, dan ucapan Theodora itu telah direka oleh Prokopios. Menukarkan istilah "kezaliman" kepada "ungu diraja", mungkin mencerminkan keinginan Prokopios untuk secara tidak langsung menyamakan Theodora dan Justinianus dengan pemerintah-pemerintah zalim purba.[27]
Walaupun Hypatius mendakwa bahawa beliau tidak mahu menjadi maharaja, beliau juga dihukum bunuh oleh Justinianus. Dalam satu sumber, ini dilakukan kerana desakan Theodora.[28]
Penghujung hidup
suntingBerikutan pemberontakan Nika, Justinianus dan Theodora membina semula Konstantaniah, antaranya sistem saluran air, jambatan dan lebih daripada dua puluh lima gereja, dengan yang paling terkenal ialah Aya Sophia. Justinianus dan Theodora juga sedar bahawa berbahaya jika rakyat empayar dibiarkan tidak puas hati kerana tindakan pemerintahan mereka menjejaskan rakyat. Walaupun begitu, tidak lama kemudian mereka berasa cukup selamat untuk mengembalikan semula dua menteri yang dipecat untuk menenangkan para pemberontak; Ioannes dari Kapadokia sebagai menteri kewangan, Tribonianos sebagai ketua menteri undang-undang. Selepas itu, Justinianus dan Theodora mentafahus tindakan pentadbiran mereka dengan lebih teliti supaya apa yang mereka lakukan adalah lebih wajar apabila melibatkan rakyat. Justinianus dan Theodora tidak berhenti membenci golongan bangsawan selepas cubaan khianat mereka. Sebagai balasan kepada 19 senator yang mengambil bahagian dalam rampasan kuasa Nika, semua estet mereka diranap dan mayat mereka dibuangkan ke tengah laut. Bangsawan yang tertinggal pula dikenakan cukai tinggi dan skim-skim untuk menawan harta mereka. Taktik ini direka oleh Ioannes dari Kapadokia untuk meneruskan pelan-pelan Justinianus dan Theodora untuk membina bandar semula.[30]
Theodora dikatakan suka terhadap istiadat istana. Menurut Prokopios, pasangan diraja itu pernah membuat semua senator, termasuk ketua-ketua agama, sujud kepada mereka setiap kali mereka hadir, dan menegaskan bahawa hubungan mereka dengan militia awam adalah seperti hubungan tuan dan hamba:
Bahkan pegawai kerajaan pun tidak boleh menghampiri Maharani tanpa menghabiskan banyak masa dan usaha. Mereka diperlakukan seperti hamba dan terpaksa menunggu di sebuah bilik kecil yang pengap selama tempoh yang tidak terhingga. Setelah berhari-hari, mungkin ada yang akhirnya akan dipanggil tetapi mereka menghadap baginda dengan penuh ketakutan dan segera pergi. Mereka hanya menunjukkan penghormatan dengan meniarap dan menyentuh kekura tapak kaki Maharani dengan bibir mereka; mereka tiada peluang untuk bersuara atau membuat sebarang permintaan kecuali jika baginda menyuruh mereka berbuat demikian. Pegawai-pegawai kerajaan telah jatuh menjadi hamba yang hina dan baginda ialah tuan mereka.[perlu rujukan]
Mereka juga memantau majistret, untuk mengurangkan rasuah birokrasi.[perlu rujukan]
Pegawai pentadbir Petros Barsimis merupakan sekutu rapat Theodora. Theodora menganggap Ioannes dari Kapadokia pula, ketua pengutip cukai Justinianus, sebagai musuhnya kerana beliau terlalu berpengaruh, jadi Theodora dan Antonina berpakat untuk menjatuhkan kedudukan beliau. Selain itu, Theodora menjalinkan perikatan baharu antara kerabat Maharaja Anastasius dan bangsawan-bangsawan lama yang digabungkan dengan monarki baru keluarga Justinianus. Sejarah Rahsia mengatakan dia cuba mengahwinkan cucu dia Anastasius dengan anak perempuan Antonina dan Belisarius, Ioannina, walaupun ibu bapanya tidak bersetuju. Namun, mereka akhirnya tetap berkahwin. Theodora juga disyaki telah membantu dalam mengaturkan perkahwinan kakaknya, Komito, dengan jeneral Sittas dan anak saudaranya, Sophia, kepada anak saudara Justinianus, Justin II, yang akan menjadi raja.
Theodora juga mengadakan sambutan dan mengutus surat serta hadiah kepada duta-duta Parsi dan yang asing, juga saudara perempuan Kisra I.[31]
Dia membantu wanita-wanita yang kurang bernasib baik, kadangkala "membeli gadis-gadis yang dijual untuk kerja pelacuran, memerdekakan mereka dan membiayai masa depan mereka."[32] Dia membuat sebuah biara di tebing Sungai Dardanelles di sebelah Asia yang dipanggil Metanoia (Taubat), di mana bekas pelacur boleh menyara hidup sendiri.[15] Sejarah Rahsia Prokopios mengatakan daripada menghalang pelacuran paksa (seperti dalam bab Bangunan-bangunan 1.9.3ff), Theodora telah mengumpulkan 500 orang pelacur dan mengurung mereka di dalam biara. Pelacur-pelacur cuba untuk melarikan diri daripada "perubahan yang tidak dialu-alukan" ini dengan memanjat tembok-tembok biara (SR 17). Akan tetapi, penulis sejarah Ioannes Malalas menulis secara positif tentang dia, bahawa dia "telah membebaskan gadis-gadis daripada kuk perhambaan mereka yang celaka."[33]
Justinianus dan Theodora membuat undang-undang yang meluaskan hak-hak wanita. Wanita diberi lebih banyak kebebasan dalam perceraian dan pemilikan harta, dan rogol pula dihukum dengan hukuman mati. Mereka juga melarang pembuangan bayi dan memberikan ibu-ibu beberapa hak penjagaan ke atas anak-anak sendiri. Pembunuhan isteri yang telah berzina juga diharamkan. Prokopios menyebut bahawa Theodora bersimpati dengan wanita-wanita susah, dan di dalam Sejarah Rahsia, dia dituduh memihak isteri-isteri yang berzina. Kanun Justinianus hanya membenarkan wanita menceraikan suami mereka jika mereka didera suami atau si suami ditangkap berzina. Walau bagaimanapun, bukti yang jelas mesti dibawa untuk kes-kes begini.[34]
Prokopios menulis Theodora adalah punca wanita "menjadi rosak akhlak," kerana undang-undang dia dan Justinianus. [35]
Dasar-dasar keagamaan
suntingSanta Theodora | |
---|---|
Maharani | |
Dihormati oleh | Gereja Ortodoks Timur Gereja Ortodoks Oriental |
Tempat keramat | Gereja Hawari Suci, Konstantiniyah kini Istanbul, Turki |
Hari perayaan | 14 November di Gereja Ortodoks Timur, 28 Jun di Gereja Ortodoks Syria |
Atribut | Jubah Maharaja |
sunting |
Oleh sebab Justinianus bukan ketua rasmi mana-mana mazhab gereja Kristian, beliau menumpukan dirinya untuk mengurangkan dan, jika boleh, menghapuskan perselisihan antara mazhab dan di dalam empayarnya. Beliau percaya bahawa sebagai maharaja Kristian, beliau patut cuba bekerjasama dengan imam-imam mazhab. Selain itu, memandangkan Justinianus mengikut ajaran Khalsedon dan Theodora mengikut kepercayaan Miafisitsme, Justinianus berusaha untuk menyatukan semula gereja Konstantaniah dan Rom yang telah berpecah. Beliau inginkan menyatukan gereja untuk berganding tangan dengan Maharaja yang satu (dirinya). Maharaja akan menguruskan hal ehwal manusia manakala gereja akan menguruskan hal ehwal agama. Untuk memastikan kuasa dan autoritinya, Justinianus memastikan undang-undang mengakui bahawa beliau ialah manifestasi undang-undang dan telah diberi kuasa tertinggi oleh Tuhan. Beliau menggunakan undang-undang untuk mengawal bagaimana agama diamalkan, dengan membuat undang-undang yang khas untuknya.[36]
Theodora menentang suaminya menyokong Khalsedon dalam perselisihan mazhab ini.[37] Akibatnya, dia dituduh menyokong ajaran sesat dan menjejaskan perpaduan orang Kristian. Walau bagaimanapun, Prokopius dan Evagrios Skholastikos berpendapat bahawa Justinianus dan Theodora hanya berpura-pura berselisih dengan satu sama lain.
Walaupun Justinianus bermazhab Khalsedon, Theodora membina sebuah biara Miafisitisme di Sykae dan memberi perlindungan di istana untuk imam-imam Miafisitisme yang ditentang oleh kebanyakan orang Kristian Khalsedon, seperti Severus dan Anthimus. Anthimus telah dilantik sebagai Penatua Konstantaniah kerana pengaruh Theodora, dan selepas dikucilkan beliau disembunyikan di kediaman Theodora selama 12 tahun sehingga Theodora mangkat. Apabila Efraim, seorang penatua mazhab Khalsedon, mencetuskan pemberontakan yang ganas di Antokiah, lapan orang uskup Miafisitisme dijemput ke Konstantaniah dan Theodora menempatkan mereka di Istana Hormisdas yang bersambung dengan Istana Besar. Ia pernah didiami Justinianus dan Theodora sebelum mereka menjadi maharaja dan maharani.
Di Mesir, apabila Paus Timotius III meninggal dunia, Theodora meminta bantuan daripada Dioskoros, pegawai pentadbir diraja, dan Aristomakhos, pembesar Mesir, untuk menjadikan salah seorang pengikut Severus bernama Theodosius penggantinya. Dengan melakukan hal ini, Theodora mengakali suaminya yang inginkan seorang pengikut Khalsedon ambil alih. Paus Theodosius I dari Iskandariah, walaupun dengan bantuan tentera maharaja, gagal bertahan di Iskandariah kerana ditentang pengikut Khalsedon Justinianus. Beliau kemudian dibuang negeri oleh Justinianus, bersama-sama dengan 300 penganut Miafisitisme ke kota Delkos di Thrake.
Apabila Paus Silverius menolak permintaan Theodora agar kutukan Paus Agapetus I daripada Paus Antimos dibuangkan, Theodora menghantar arahan kepada Belisarius untuk memikirkan cara untuk singkirkan Silverius. Setelah berjaya, Paus Vigilius dilantik sebagai penggantinya.
Di Nobatia, selatan Mesir, penduduknya diajak memeluk mazhab Miafisitisme sekitar tahun 540. Justinianus mahu mereka mengikuti kepercayaan Khalsedon manakala Theodora mahu mereka menjadi pengikut Miafisitisme. Justinianus mengarahkan mubaligh-mubaligh Khalsedon dari Thebais untuk membawa hadiah dan melawat Silko, raja Nobatia. Apabila Theodora mendengar tentang ini, dia juga menghantar kumpulan mubalighnya sendiri dan meminta Pembesar Thebais untuk melambatkan mubaligh-mubaligh Justinianus supaya mubaligh dia tiba dahulu. Pembesar yang bijak itu menjalankan permintaan Theodora dan menangguh mubaligh Khalsedon. Apabila mereka akhirnya menghadap Silko, mereka disuruh pergi kerana Nobatia telah memeluk Miafisitisme.
Kematian
suntingKematian Theodora dicatat oleh Viktor dari Tunnuna tanpa punca yang pasti tetapi istilah Yunani yang digunakan sering diterjemahkan sebagai "kanser". Theodora mangkat pada 28 Jun 548, pada usia 48 tahun,[38] namun sumber-sumber lain melaporkan bahawa dia mangkat pada usia 51 tahun.[39] Catatan yang terkemudian sering mengatakan ia disebabkan oleh kanser payudara tetapi laporan asal tidak menyatakannya begitu. Sebaliknya, istilah "kanser" mungkin merujuk kepada "ulser bernanah atau tumor ganas".[38] Jenazahnya dikebumikan di Gereja Para Hawari Suci di Konstantaniah, kini Masjid Fatih, Istanbul. Semasa perarakan pada tahun 559, Justinianus menziarah dan menyalakan lilin untuk makamnya.[40]
Historiografi
suntingSumber utama tentang hidup dia berasal daripada karya-karya Prokopios, yang hidup sezaman dengan dia. Prokopios ialah ahli kumpulan tentera yang diketuai oleh Belisarius, ketua panglima perang Justinianus dan pegawai beliau yang paling dikenali disebabkan oleh karya Prokopios.[41] Prokopios menggambarkan Theodora dengan tiga cara yang berbeza. Dalam karyanya Perang-perang Justinianus, diselesaikan sekitar tahun 545, beliau menggambarkan dia sebagai seorang wanita berani yang telah membantu Justinianus dalam usahanya untuk mendapatkan takhta.
Kemudian, beliau menulis sebuah buku berjudul Sejarah Rahsia. Sesetengah orang berpendapat bahawa buku itu mempamerkan kekecewaan beliau dengan Maharaja Justinianus, maharani, dan juga penaungnya, Belisarius. Dalam buku itu, Justinianus digambarkan kejam, mudah disogok, boros dan tidak cekap. Buku itu juga menggambarkan Theodora dengan terperinci, bercakap banyak tentang sifat bengis, negatif dan tingkah laku seksual bebasnya.
Bangunan-bangunan Justinianus karya Prokopios, yang mungkin ditulis selepas buku Sejarah Rahsia, memuji Justinianus dan Theodora, menggambarkan mereka sebagai pasangan yang beragama dan baik hati. Buku ini juga membincangkan tentang kecantikan Theodora. Walau bagaimanapun, perlu dinyatakan bahawa Theodora telah pun meninggal dunia semasa buku itu diterbitkan. Sementara itu, Justinianus masih hidup dan mungkin yang meminta buku itu ditulis.[42]
Ioannes dari Efesus yang hidup sezaman dengan Theodora menulis tentang dia di dalam bukunya yang berjudul Kehidupan Santo-santo Timur dan menyebut tentang seorang anak perempuan luar nikah.[43] Teofanes si Pengaku juga menuliskan tentang beberapa orang lain yang sekeluarga dengan Theodora yang Prokopios tidak sebutkan. Viktor Tunnuna ada menyentuh bahawa Theodora mempunyai pertalian keluarga dengan maharani yang seterusnya, Aelia Sofia.
Menurut catatan sejarah oleh Mikhael dari Syam, Babad 1234, dan Bar Hebraeus, Theodora berasal dari kota Daman berdekatan dengan Kallinikos, Syria. Penceritaan mereka berbeza, mendakwa Theodora ialah anak kepada seorang paderi dan diajar agama Miafisitisme sejak muda. Ini adalah sumber-sumber yang terkemudian mazhab Miafisitisme. Mazhab mereka menganggap Theodora sebahagian daripada komuniti mereka. Ini juga bentuk alternatif versi yang diceritakan oleh Ioannes dari Efesus.[44] Ramai sarjana moden lebih mempercayai Prokopios daripada versi alternatif ini.[43]
Kritikan terhadap Prokopios
suntingRamai ahli sejarah yang muncul dalam beberapa puluh tahun kebelakangan ini mengatakan bahawa kita tidak boleh mempercayai Prokopios sepenuhnya tentang Theodora dan pengaruhnya dalam sejarah.
Prokopios dipercayai sekepala dengan ramai senator yang tidak bersetuju dengan perubahan dan dasar yang Justinianus dan Theodora gubal. Prokopios menegaskan di dalam Sejarah Rahsia (12.12-14) bahawa ramai dalam golongan senator "dicekik" oleh pemungut cukai kerana dasar-dasar Justinianus (dan Theodora) untuk mengutip dan mengambil hartanah dan perabot orang kaya, kemudian dengan "murah hatinya" memberikan kembali hartanah yang dikenakan cukai tinggi kepada pemilik asalnya.[45] Pada satu tahap, Prokopios sehingga membandingkan pemerintahan Justinianus dengan wabak bubon (6.22-23), mengatakan wabak itu lebih baik kerana separuh populasi terselamat, tidak seperti dengan pemerintahan Justinianus.[46]
Dalam Sejarah Rahsia, pemerintahan Justinianus dan Theodora dikritik oleh Prokopios sebagai sangat jauh daripada pemerintahan pemimpin yang "baik". Mereka digambarkan amat berbeza dari segi emosi dan kuasa. Justinianus sentiasa tenang, "mesra dan baik hati"—walaupun sedang mengarahkan harta orang dirampas atau dimusnahkan. Sebaliknya, Theodora digambarkan tidak rasional dan panas baran, kadangkala kerana perkara remeh-temeh atau sindiran. Contohnya, Prokopios menceritakan dua insiden berasingan yang mana semasa prosiding mahkamah dia menuduh lelaki-lelaki yang dituduh melakukan hubungan homoseksual. Perbuatan ini dilihat tidak elok kerana dia seseorang yang dipandang tinggi, dalam penceritaan Prokopios, tidak disukai penduduk Konstantaniah. Apabila satu tuduhan itu dihakimi tidak berasas, Prokopios menulis bahawa seluruh bandar bergembira.[47]
Seorang penyelidik percaya bahawa penulisan Prokopios dalam Sejarah Rahsia seolah-olah menceritakan bahayanya wanita berkuasa. Prokopios, yang berkefahaman tradisional, berpendapat bahawa wanita akan merosakkan kebolehan kepimpinan lelaki yang baik dengan tipu muslihat mereka. Prokopios memberikan dua contoh penglibatan Theodora dalam hal ehwal luar negeri Empayar Byzantium untuk menyokong pandangannya. Pertama, Theodora dipetik di dalam surat kepada duta Parsi menyatakan yang Maharaja Justinianus tidak akan membuat apa-apa tanpa keizinan Theodora. Raja Parsi menggunakan ini sebagai contoh kepada pembesar-pembesarnya untuk menunjukkan mereka sebuah negara yang gagal kerana tiada “negara sebenar dapat wujud jika ia diperintah oleh seorang perempuan.” Kedua, raja Goth bernama Theodahad menyatakan di dalam sepucuk surat kepada Theodora yang mengesahkan bahawa "awak meminta saya beritahu awak dahulu kalau ada apa-apa yang saya nak tanya yang mulia raja, iaitu suami awak." Maharaja Justinianus sendiri juga dikatakan, sebelum menyebutkan perintah, telah membincangkannya dengan “permaisuri kita yang paling agung yang Tuhan telah berikan kepada beta.” Semua petikan ini melanggar kelakuan yang Prokopios menganggap patut. Bukannya perempuan tidak boleh memimpin sebuah empayar—Prokopios percaya bahawa hanya perempuan yang mempunyai sifat-sifat dan kebolehan maskulin sahaja patut memimpin. Theodora tidak menjadi serba boleh atas usaha sendiri tetapi kelemahan Justinianus yang membuatkan Theodora nampak berkebolehan.[48]
Maksud kelakuan "feminin" yang digunakan pada abad ke-6 oleh Prokopios tidak sama dengan bagaimana penulis moden menggunakannya. Kelakuan "feminin" pada abad ke-6 bersifat "bermuslihat", "menyampuk" dan sebagainya menurut pengkaji Averil Cameron. Prokopios tidak menganggap Theodora membantu pelacur-pelacur yang "insaf" satu tindakan baik hati; sebaliknya ia satu lagi usahanya untuk mengganggu status quo yang membuatkan Prokopios berasa jelik. Inilah juga mengapa beliau menyertakan ucapan dia semasa pemberontakan Nika, yang mana Theodora menyampuk majlis lelaki saat mereka ingin melarikan diri daripada perusuh. Niat Prokopios menceritakannya adalah untuk menunjukkan bahawa Theodora melanggar kelaziman masyarakat.[49] Prokopios ialah seseorang yang kuat berpegang pada adat. Menurut Dr. Henning Börm, Kursi Sejarah Purba di Universiti Rostock di Jerman, Prokopios menganggap masyarakat sebagai hierarki: kedudukan manusia lebih tinggi daripada haiwan, orang merdeka lebih tinggi daripada hamba, lelaki lebih tinggi daripada sida-sida, dan lelaki lebih tinggi daripada wanita. Setiap kali Prokopios mengkritik seseorang kerana melanggar peraturan ini, beliau hanya mengikut norma pada masa itu.[50]
Walaupun Prokopios dikira sebagai seorang ahli sejarah kontemporari tetapi sering berat sebelah, membesar-besarkan cerita dan mengulangi khabar angin tidak senonoh (berbanding ahli sejarah lain dari eranya), beliau telah menggambarkan bagaimana nilai-nilai dan kelaziman pada zaman itu sedang berubah, daripada menulis tentang biografi hidup dan perwatakan Theodora semata-mata.[18] Contohnya, menggambarkan Justinianus dan Theodora sebagai syaitan di dalam Sejarah Rahsia mencerminkan apa yang rakyat percaya pada ketika itu. Kejadian yang tidak dapat dijelaskan bermakna ia hasil daripada ketentuan ilahi atau angkara syaitan. Apabila Prokopios tidak dapat menjelaskan tindakan Maharaja dan Maharani menurut kepercayaannya, beliau kembali menggunakan pengaruh luar sebagai satu-satunya penjelasan yang munasabah.[51]
Menggelar Prokopios sebagai ahli sejarah itu tidak sesuai menurut perspektif Averil Cameron, seorang penyelidik. Dalam pandangan beliau, Prokopios lebih tepat disebut sebagai seorang wartawan. Prokopios lebih berfokus pada peristiwa dan rincian daripada menganalisis motif dan penyebabnya. Oleh sebab ini, cara Prokopios menerangkan sesuatu menjadi kurang bernuansa; dan apa yang berlaku adalah hitam putih. Selain itu, sikap keras kepala dan menentang Prokopios terhadap perubahan juga menyebabkan dia kurang dipercayai apabila cuba memahami sebab sesuatu kejadian berlaku dengan lebih mendalam.[52] Ini juga mungkin menjelaskan mengapa Prokopios dalam penulisan beliau amat berbeza berbanding catatan pengarang-pengarang kontemporari yang lain dalam menceritakan kehidupan sehari-hari. Sementara penulis-penulis lain menceritakan pertelingkahan agama antara mazhab dan usaha kerajaan untuk menenangkan mereka, Beliau sangat fokus pada politik sehingga hal ini menghalang beliau memberikan pandangan yang objektif dan adil. Akibatnya, Justinianus dan Theodora digambarkan sebagai karikatur. Dengan membesarkan kekurangan mereka dan mengabaikan kejayaan mereka, pembaca mungkin akan menilai mereka sebagai orang baik atau orang jahat.[53]
Pengaruh yang berkekalan
suntingGolongan Miafisitisme percaya Theodora mempunyai pengaruh yang kuat terhadap Justinianus. Selepas kematian Justinianus, dia berusaha untuk mendamaikan mazhab Miafisitisme dan Khalsedon di dalam empayar. Beliau juga menepati janjinya kepada Theodora untuk melindungi komuniti pelarian Miafisitisme di Istana Hormisdas. Pengikut Miafisitisme yang percaya memori Theodora menggerakkan beliau untuk berbuat demikian. Theodora juga menyokong kerajaan Yakob Baradaios dan mereka bersahabat. Menurut Diehl, kewujudan mazhab Kristian Yakob hari ini diperoleh melalui jasa Baradaios dan Theodora.[54]
Bandar Olbia di Cyrenaica telah ditukar nama kepada Theodorias sempena Theodora. (Bandar-bandar kuno sering kali mengambil nama seorang raja atau ratu sebagai ingatan.) Bandar ini yang kini digelar Qasr Libya terkenal dengan mozek-mozek indah dari abad keenam.
Theodora dan Justinianus digambarkan pada mozek-mozek yang masih ada hingga hari ini di Basilika San Vitale di Ravenna, Itali. Mozek-mozek ini disiapkan setahun sebelum Theodora mangkat pada tahun 547, semasa Byzantium berjaya menawan semula kota itu. Theodora digambarkan dengan persalinan diraja, dengan batu permata yang sesuai untuk seorang maharani. Jubahnya ditenun dengan gambar tiga orang raja yang membawakan hadiah kepada Kristus anak, sebagai simbol dedikasi dia bersama Justinianus dalam memberikan sumbangan kepada gereja. Dalam potret yang ada, Theodora juga digambarkan memegang cawan yang digunakan dalam perjamuan suci. Selain tema keagamaan dalam mozek ini, terdapat juga mozek lain yang menunjukkan pertemuan Theodora dan Justinianus menghadap raja bangsa Goth dan Vandal yang ditawan dalam perang, dikelilingi Senat Rom yang bersorak. Mozek awam yang hebat ini meraikan kedua-dua maharaja dan maharani bukan sahaja atas kemenangan mereka tetapi juga kemurahan hati mereka.[55]
Gambaran dalam media
suntingSeni
sunting- Karya seni The Dinner Party menampilkan tempat untuk Theodora.[56]
- Siri barang kemas Nika daripada Sassi Fine Jewellery diilhamkan oleh sebutir permata yang mungkin milik Theodora dan peristiwa serangan istana diraja pada tahun 532 [1]
Buku
sunting- Count Belisarius. Robert Graves (1938). Sebuah novel sejarah oleh pengarang I, Claudius, yang menampilkan Theodora sebagai salah satu watak.
- Dalam salah satu episod novel fantasi Hendrik Willem van Loon 1942 Van Loon's Lives
- Theodora and the Emperor. Harold Lamb (1952). Novel sejarah yang memfokuskan kehidupan Theodora, hubungannya dengan Justinianus, dan banyak pencapaiannya sebagai maharani.
- The Glittering Horn: Secret Memoirs of the Court of Justinian. Pierson Dixon (1958). Novel sejarah tentang istana Justinianus dengan Theodora memainkan peranan utama.
- The Female. Paul Wellman (1953). Kebangkitan Theodora daripada pelacur menjadi maharani.
- Theodora von Byzanz. Ein Mädchen aus dem Volk wird Kaiserin (1957). Friedhelm Volbach (di bawah nama samaran Rudolph Fürstenberg). Novel sejarah dalam bahasa Jerman.[57]
- The Bearkeeper's Daughter. Gillian Bradshaw (1987). Seorang lelaki muda dari masa lalu Theodora tiba di istana, mencari kebenaran kenyataan tertentu yang dibuat kepadanya oleh bapanya yang sedang tenat.
- The Sarantine Mosaic. Guy Gavriel Kay (1998). Fantasi sejarah yang berdasarkan empayar Byzantium dan kisah Justinianus dan Theodora.
- Dalam novel misteri sejarah One for Sorrow oleh Mary Reed/Eric Mayer, Theodora adalah salah seorang suspek dalam kes pembunuhan yang disiasat oleh John, Lord Chamberlain.
- Immortal. Christopher Golden dan Nancy Holden (1999). Novel Buffy the Vampire Slayer yang menyebut Theodora bekerja dengan seorang drakula Veronique untuk hidup abadi pada 543 TM.
- Theodora: Actress, Empress, Whore. Stella Duffy (2010). Novel sejarah, tentang kehidupan awal Theodora sehingga dia menjadi maharani.
- The Purple Shroud. Stella Duffy (2012). Novel sejarah, tentang hidup Theodora sebagai maharani.
- The Secret History Stephanie Thornton (2020). Kisah hidup Theodora disadurkan menjadi novel.
Filem
sunting- Teodora imperatrice di Bisanzio (Short, 1909) atau Theodora, Maharani Byzantium. Diarah oleh Ernesto Maria Pasquali.
- Teodora, imperatrice di Bisanzio (1954) atau Theodora, Maharani Abdi. Diarah oleh Riccardo Freda. Theodora dilakon oleh Gianna Maria Canale.
- Kampf um Rom (1968) diarah oleh Robert Siodmak, Sergiu Nicolaescu dan Andrew Marton. Dalam filem ini, dia dilakon oleh Sylva Koscina.
- Primary Russia (1985) diarah oleh Gennady Vasilyev. Theodora dilakon oleh Margarita Terekhova
Teater
sunting- Theodora, a Drama (1884), pementasan oleh Victorien Sardou.
Permainan video
sunting- Theodora ialah pemimpin Byzantium dalam permainan video Civilization III, Civilization V dalam kandungan tambahan Gods and Kings, dan pemimpin alternatif dalam Leader Pass Civilization VI.
- Theodora memberikan misi kepada Belisarius, watak utama dalam DLC Last Roman dalam Total War: Attila .
- Theodora ialah watak boleh dimain dalam permainan mudah alih/PC Rise of Kingdoms.
Muzik
sunting- Kumpulan rok progresif Big Big Train menyanyi tentang Theodora, dan mozek Theodora dan Justinianus di Ravenna, dalam lagu "Theodora in Green and Gold" pada album Grand Tour 2019 mereka.
- Oratorio " Theodora " karya George Frideric Handel tidak merujuk maharani ini.
Petikan
sunting- ^ Karagianni 2013.
- ^ Foss, C. (2002). "THE EMPRESS THEODORA". Byzantion. 72 (1): 141–176. ISSN 0378-2506.
- ^ James Allan Evans (2011). The Power Game in Byzantium: Antonina and the Empress Theodora. A&C Black. m/s. 9. ISBN 978-1441120403.
- ^ Michael Grant. From Rome to Byzantium: The Fifth Century A.D., Routledge, p. 132.
- ^ Giorgio Ravegnani (2016). Salerno Editrice (penyunting). Teodora. m/s. 26. ISBN 978-88-6973-149-5.
- ^ The Prosopography of the Later Roman Empire 2 Volume Set., J. R. Martindale, 1992 Cambridge University Press, p. 1240.
- ^ Garland, p. 11.
- ^ Evans, James Allan (2002). The Empress Theodora: Partner of Justinian. Austin: University of Texas Press. m/s. 14. ISBN 0-292-79895-4. OCLC 55675917.
- ^ E, Gibbon (1776). The History of the Decline and Fall of the Roman Empire: 1776–1788. UK: Strahan & Cadell, London. m/s. Chapter xl. ISBN 9780140433951.
- ^ Procopius, Sejarah Rahsia 9.
- ^ Claudine M. Dauphin (1996). "Brothels, Baths and Babes: Prostitution in the Byzantine Holy Land". Classics Ireland. 3: 47–72. doi:10.2307/25528291. JSTOR 25528291. Diarkibkan daripada yang asal pada 23 September 2016.
- ^ Evans, James Allan (2002). The Empress Theodora: Partner of Justinian. Austin: University of Texas Press. m/s. 15. ISBN 0-292-79895-4. OCLC 55675917.
- ^ Cameron, Averil (1996). Procopius and the sixth century. London: Routledge. m/s. 77–78. ISBN 0-415-14294-6. OCLC 36048226.
- ^ Joshel, Sandra R. (Autumn 1995). "Desire and the Discourse of Empire: Tacitus's Messalina". Signs. 21 (1): 64. doi:10.1086/495042. JSTOR 3175122.
- ^ a b Bryce 1911.
- ^ Grau, Sergi; Febrer, Oriol (2020-08-01). "Procopius on Theodora: ancient and new biographical patterns". Byzantinische Zeitschrift (in German). 113 (3): 769–788. doi:10.1515/bz-2020-0034. ISSN 1868-9027.
- ^ a b Garland, Lynda (1999). Byzantine Empresses. Routledge. m/s. 14. doi:10.4324/9780203024812. ISBN 978-1-134-75639-1.
- ^ a b Evans, James Allan (2002). The Empress Theodora: Partner of Justinian. Austin: University of Texas Press. m/s. 16. ISBN 0-292-79895-4. OCLC 55675917.
- ^ Diehl, Charles (1963). Byzantine Empresses. New York: Alfred A. Knopf.
- ^ Brownworth, Lars (2009). Lost to the West: The Forgotten Byzantine Empire That Rescued Western Civilization. New York: Crown Publishers. m/s. 73. ISBN 978-0-307-40795-5. OCLC 297147191.
- ^ Brownworth, Lars (2009). Lost to the West: The Forgotten Byzantine Empire That Rescued Western Civilization. New York: Crown Publishers. m/s. 74. ISBN 978-0-307-40795-5. OCLC 297147191.
- ^ Evans, James Allan (2002). The Empress Theodora: Partner of Justinian. Austin: University of Texas Press. m/s. 40–41. ISBN 0-292-79895-4. OCLC 55675917.
- ^ Evans, James Allan (2002). The Empress Theodora: Partner of Justinian. Austin: University of Texas Press. m/s. 40–42. ISBN 0-292-79895-4. OCLC 55675917.
- ^ Safire, William, ed, Lend Me Your Ears: Great Speeches in History, W.W. Norton & Co., New York, 1992, m/s. 37. ISBN 978-0393059311.
- ^ William Safire, Lend Me Your Ears: Great Speeches in History, Rosetta Books.
- ^ Hamilton, F. J.; Brooks, E. W. (1899). The Syriac Chronicle known as that of Zachariah of Mitylene. London: Methuen and Co. m/s. 81.
- ^ Moorhead, John (1994). Justinian. London. m/s. 47. ISBN 9780582063037.
- ^ Diehl, ibid.
- ^ "Discussion :: Last Statues of Antiquity". laststatues.classics.ox.ac.uk. Dicapai pada 2023-03-17.
- ^ Brownworth, Lars (2009). Lost to the West: The Forgotten Byzantine Empire That Rescued Western Civilization. New York: Crown Publishers. m/s. 81. ISBN 978-0-307-40795-5. OCLC 297147191.
- ^ Procopius, Secret History 30.24; Malalas, Chronicle 18.467
- ^ Anderson & Zinsser, Bonnie & Judith (1988). A History of Their Own: Women in Europe Vol 1. New York: Harper & Row. m/s. 48.Templat:ISBN?
- ^ Ioannes Malalas, Babad Ioannes Malalas, 18.440.14–441.7
- ^ Grau, Sergi; Febrer, Oriol (2020-08-01). "Procopius on Theodora: ancient and new biographical patterns". Byzantinische Zeitschrift (dalam bahasa Inggeris). 113 (3): 783. doi:10.1515/bz-2020-0034. ISSN 1868-9027.
- ^ Cameron, Averil (1996). Procopius and the Sixth Century. London: Routledge. m/s. 81–82. ISBN 0-415-14294-6. OCLC 36048226.
- ^ Angold, Michael (2001). Byzantium: The Bridge From Antiquity to the Middle Ages. New York: St. Martin's Press. m/s. 24. ISBN 0-312-28429-2. OCLC 47100855.
- ^ Lewis, Jone Johnson. “Biography of Empress Theodora, Byzantine Feminist.” ThoughtCo, 22 Julai 2019.
- ^ a b Harding, Fred (2007). Breast Cancer. ISBN 978-0955422102.
- ^ Anderson & Zinsser, Bonnie & Judith (1988). A History of Their Own: Women in Europe, Vol. 1. New York: Harper & Row. m/s. 48.
- ^ Constantine Porphyrogennetos, The Book of Ceremonies, 1, Appendix 14.
- ^ Evans, James Allen (2002). The Empress Theodora. University of Texas Press. m/s. ix. doi:10.7560/721050. ISBN 978-0-292-79895-3.
- ^ "Roman Emperors – DIR Theodora". roman-emperors.org.
- ^ a b Prosopography of the Later Roman Empire, vol. 3, ed. J. Martindale. 1992.
- ^ Garland, p. 13.
- ^ Grau, Sergi; Febrer, Oriol (2020-08-01). "Procopius on Theodora: ancient and new biographical patterns". Byzantinische Zeitschrift (dalam bahasa Inggeris). 113 (3): 779–780. doi:10.1515/bz-2020-0034. ISSN 1868-9027.
- ^ Evans, James Allan (2002). The Empress Theodora. University of Texas Press. m/s. x. doi:10.7560/721050. ISBN 978-0-292-79895-3.
- ^ Georgiou, Andriani (2019), Constantinou, Stavroula; Meyer, Mati (penyunting), "Empresses in Byzantine Society: Justifiably Angry or Simply Angry?", Emotions and Gender in Byzantine Culture (dalam bahasa Inggeris), Cham: Springer International Publishing: 123–126, doi:10.1007/978-3-319-96038-8_5, ISBN 978-3-319-96037-1, dicapai pada 2022-12-19
- ^ Kaldellis, Anthony (2004). Procopius of Caesarea: Tyranny, History, and Philosophy at the End of Antiquity. University of Pennsylvania. m/s. 144–147. ISBN 978-0-8122-0241-0. OCLC 956784628.
- ^ Cameron, Averil (1996). Procopius and the sixth century (ed. 2nd). London: Routledge. m/s. 68–69. ISBN 0-415-14294-6. OCLC 36048226.
- ^ Stewart, Michael Edward (2020). Masculinity, identity, and power politics in the age of Justinian : a study of Procopius. Amsterdam: Amsterdam University. m/s. 173. ISBN 978-90-485-4025-9. OCLC 1154764213.
- ^ Cameron, Averil (1996). Procopius and the sixth century. London: Routledge. m/s. 56. ISBN 0-415-14294-6. OCLC 36048226.
- ^ Cameron, Averil (1996). Procopius and the sixth century. London: Routledge. m/s. 241. ISBN 0-415-14294-6. OCLC 36048226.
- ^ Cameron, Averil (1996). Procopius and the sixth century. London: Routledge. m/s. 227–229. ISBN 0-415-14294-6. OCLC 36048226.
- ^ Diehl, ibid., m/s 184.
- ^ Garland, Lynda (1999). Byzantine Empresses: Women and Power in Byzantium, AD 527-1204. London: Routledge. m/s. 21. ISBN 0-203-15951-9. OCLC 49851647.
- ^ Place Settings. Brooklyn Museum. Retrieved on 2015-08-06.
- ^ Library of Congress Copyright Office (1959). Catalog of Copyright Entries. Third Series: 1958: January-June (dalam bahasa Inggeris). Copyright Office, Library of Congress. m/s. 665. Dicapai pada 24 September 2022.
Rujukan umum dan yang dipetik
sunting- Hans-Georg Beck: Kaiserin Theodora und Prokop: der Historiker und sein Opfer. Munich 1986, ISBN 3-492-05221-5.
- Henning Börm: Prokopios, his predecessors, and the genesis of the Anecdota: Antimonarchic discourse in late antique historiography. Dalam: Henning Börm (ed.): Antimonarchic discourse in Antiquity. Stuttgart 2015, m/s 305–346.
- Bryce, James (1911). . Dalam Chisholm, Hugh (penyunting). Encyclopædia Britannica (dalam bahasa Inggeris). 26 (ed. ke-11). Cambridge University Press. m/s. 761–762.
- James A. S. Evans: The empress Theodora. Partner of Justinian. Austin 2002.
- James A. S. Evans: The Power Game in Byzantium. Antonina and the Empress Theodora. London 2011.
- Lynda Garland: Byzantine Empresses: Women and Power in Byzantium, AD 527–1204. London 1999.
- Hartmut Leppin: Theodora und Iustinian. In: Hildegard Temporini-Gräfin Vitzthum (ed.): Die Kaiserinnen Roms. Von Livia bis Theodora. Munich 2002, m/s 437–481.
- Mischa Meier: "Zur Funktion der Theodora-Rede im Geschichtswerk Prokops (BP 1,24,33-37)", Rheinisches Museum für Philologie 147 (2004), m/s 88ff.
- David Potter: Theodora. Actress, Empress, Saint. Oxford 2015, ISBN 978-0-19-974076-5.
- Karagianni, Alexandra (2013). "Female Monarchs in the Medieval Byzantine Court: Prejudice, Disbelief and Calumnies". Dalam Woodacre, Elena (penyunting). Queenship in the Mediterranean: Negotiating the Role of the Queen in the Medieval and Early Modern Eras. New York: Palgrave Macmillan. m/s. 22. ISBN 978-1137362827.
- Prokopios, The Secret History at the Internet Medieval Sourcebook
- Prokopios, The Secret History at LacusCurtius
Pautan luar
sunting- World History Encyclopedia – Empress Theodora
- The History of the Decline and Fall of the Roman Empire: The Fall of the Roman Empire in the East oleh Gibbon
- Perbincangan mozek oleh Janina Ramirez dan Bettany Hughes: Art Detective Podcast, 21 Disember 2016
Gelaran Diraja | ||
---|---|---|
Didahului oleh {{{before}}} |
Byzantine Empress | Diikuti oleh: {{{after}}} |